MESKIPUN sudah bersara, tapi jauh di sudut hati amat sukar melupakan rakan-rakan seperjuangan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang suatu ketika dahulu pernah bertugas di daerah Setiu dengan menyimpan seribu kenangan.
Selepas bersara, kebanyakan anggota atau pegawai polis
membawa hal masing-masing dan tinggal di kampung halaman mereka yang menyebabkan
hubungan mereka terpisah kerana semasa bertugas dahulu boleh dikatakan mereka
berada satu daerah yang sama.
Senyum tawa dan gurau senda pasti dalam seribu kenangan sentiasa bermain dalam ingatan bagi otai-otai polis terbabit tetapi apakan daya usia telah memisahkan mereka mengakibatkan mereka terpaksa bersara daripada perkhidmatannya apabila tiba masanya.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bekas anggota polis
Che Zawawi Che Zakaria
Menyedari hakikat itu, mantan Sarjan Penguatkuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, Che Zawawi Che Zakaria selaku ketua cawangan Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Cawangan Permaisuri bersama beberapa rakannya menganjurkan Majlis Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di Hasnik Seri Menanti Ikan Celup Tepung (ICT), Rhu Sepuluh, Setiu, Terengganu pada 28 Mei 2022 lalu.
Menerusi program seumpama itu yang merupakan kali kedua diadakan antara lain bertujuan untuk mengutip kembali pelbagai kenangan sama ada kenangan manis ataupun sebaliknya dalam kalangan rakan-rakan yang terpisah itu.
Lebih 200 otai polis daerah Setiu termasuk isteri dan anak-anak yang hadir pada program berkenaan yang begitu menyeronokkan sambil bertaut kembali hubungan mereka yang terputus sejak beberapa tahun lalu.
SEBAHAGIAN pesara polis Setiu bergambar kenangan di Majlis Hari Raya Aidilfitri 2022 di Hasnol Seri Menanti, Rhu Sepuluh, Setiu, Terengganu pada 28 Mei 2022.
ISTERI pesara polis dari PBPM cawangan Permaisuri yang hadir di majlis jamuan hari raya pada 28 Mei 2022.
‘’Saya pun turut gembira melihat kawan-kawan bertemu dalam majlis seperti ini, dapat berbual dan beramah mesra selepas sudah lama mereka tidak berjumpa.
‘’Apa yang mengagumkan kami, otai-otai yang berada di Pulau Pinang dan Kelantan sanggup datang bersama isteri masing-masing untuk meraikan majlis yang kami anjurkan ini,’’ kata Che Zawawi.
Menurutnya, jika program seperti itu tidak dilaksanakan tidak mungkin otai-otai polis terbabit dapat bertemu mata dan beramah mesra dalam kalangan mereka.
‘’Awalnya, kami juga tidak menjangkakan, sambutan otai-otai polis begitu memberangsangkan terhadap perjumpaan majlis Hari Raya Aidilfiri pada kali ini berbanding pada majlis yang sama yang kami anjurkan kali pertama dahulu.
‘’Kami sengaja memilih di lokasi ini kerana kedai Hasnik Seri Menanti ICT terletak di tepi jalan juga berhampiran dengan pantai Rhu Sepuluh yang terbentang luas laut China Selatan berserta tiupan angin begitu menyeronokkan untuk menjamu selera di kedai ini juga terdapat bilik air dan surau untuk memudahkan para pelanggan solat,’’ katanya ketika ditemui di program tersebut pada 28 Mei 2022 lalu.
Che Zawawi berkata, majlis itu meriah bukan sahaja dihadiri
isteri serta anak-anak otai-otai polis terbabit tetapi ia juga turut dihadiri
mantan Ketua Polis Daerah Taiping, ACP (Bersara) Mohammad Taib yang suatu
ketika dahulu pernah bertugas di IPD Setiu dan Pemangku Pengerusi PBPM negeri
Terengganu, Halim Ya.
Sempena dengan majlis itu, pihaknya telah menyumbang bantuan makanan serta sedikit wang kepada dua pesara polis PBPM cawangan Permaisuri yang menghadapi masalah kesihatan.
‘’PBPM kami bukan sahaja menjalankan program hari raya tetapi juga melibatkan program-program kebajikan terhadap ahli-ahli yang layak memerlukannya,’’ ujar Che Zawawi. - KitaReporters
MOHAMMAD TAIB (dua dari kiri) memotong kek di program tersebut.