Seni & Sukan 20 Feb, 2022

Video| Tahniah Zulin Aziz! Sah bergelar isteri Farhan Norzaini! Ibarat magis dunia fantasi Disney!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Bayangkan Zulin Aziz dahulu dan pemilik nama penuh itu, Farah Azleenda Abdul Aziz sekarang? Tak ubah seperti lagu penyanyi cilik Indonesia, Tegar ‘Aku Yang Dahulu dan Bukan Yang Sekarang’.

Sekarang Zulin Aziz, 33, sah bergelar isteri kepada rakan kongsi perniagaannya, Farhan Norzaini, 35, apabila dengan sekali lafaz mereka diijabkabulkan  di Masjid Negara, kira-kira jam 9.20 pagi ini, Ahad, 20 Februari 2022 oleh Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Ehsan Mohd Hosni.

Majlis akad nikah yang berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Agama Islam Kuala Lumpur (JAWI) menyaksikan pasangan mempelai diijabkabulkan berwalikan abang pengantin perempuan, Shah Rezza Abdul Aziz.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Zulin Aziz


Kredit foto: @CTSProduction.



Pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM80 dan lima dulang hantaran berbalas tujuh dengan wang hantaran berjumlah RM30,000. Mereka berpakaian sedondon putih rekaan pereka fesyen Ezuwan Ismail.

"Dia menerima saya seadanya sewaktu zaman saya berisi dan kini berjaya menurunkan berat badan. Saya percaya dialah yang akan membimbing diri ini ke jalan diredai dan menjadi bapa kepada bakal anak kami kelak. Insya-Allah," ujar Zulin yang dahulunya berbadan gempal.

Bekas penyampai radio Suria FM itu berharap kehidupan bersama suami yang melamarnya ketika di Madinah sewaktu mengerjakan umrah, akan dipermudahkan waktu mendatang,

"Saya sering digambarkan dengan cinta sejati selama ini. Begitu juga dengan fantasi dunia kartun Disney yang membahagiakan antara dua karakter kartun.



"Namun sebelum dua karakter kartun itu bersatu, pelbagai dugaan juga ditempuhi. Di alam realiti juga, saya sendiri melalui pahit getir dalam mencari cinta sejati,” kenang Zulin usai majlis nikah.

Menurutnya, kehadiran Farhan dua tahun lalu bagai magis yang mengubah persepsi bahawa kemarau panas berpanjangan itu berakhir dengan kehadiran pelangi setelah hujan.

“Kesungguhan dan keluhuran hati Farhan menjadi penambat hati saya, Dia seorang yang bertanggungjawab dan pandai mengambil hati keluarga dan  seorang pendengar yang setia. Saya selesa bersama dengannya bahkan boleh meluahkan apa sahaja kepadanya,” tambah Zulin.


Pada majlis malam berinai. - Kredit foto @zulinaziz.


Sementara itu, Farhan atau nama penuhnya, Mohd Farhan Norzaini melihat Zulin sebagai wanita yang mempunyai hati  tulus dan ikhlas serta pandai mengambil hati keluarganya. 

"Alhamdulillah, bersyukur Allah satukan kami selepas dua tahun kenal bermula sebagai kawan, seterusnya bercinta dan kini jadi suami dan isteri,” ujar Farhan dalam perasaan bercampur memandangkan ini antara hajat  dan doa daripada arwah ibu, rakan dan semua yang mengenali  mereka.

Mengakui masing-masing pernah melalui fasa dikecewakan, turun naik kehidupan serta perhubungan, Farhan paling terkesan apabila Zulin bersamanya mengharungi detik paling hitam dalam hidup iaitu ketika kehilangan arwah ibu pada Oktober 2021 lalu. 

"Di situ saya tahu wanita inilah yang saya mahu sehidup semati. Malah arwah ibu pernah berpesan jika mahu memilih calon isteri, pilihlah wanita yang boleh menjaga saya seperti mana arwah menjaga saya. Dan Zulin ada ciri-ciri lengkap semua itu," kongsi Farhan.



Berhubung soal menimang cahaya mata bagi setiap pasangan yang berkahwin, Zulin dan suami belum dapat memberikan kata putus melainkan berserah kepada rezeki mendatang,

“Kami menerima saja rezeki yang Tuhan berikan. Saya pun lagi tujuh tahun nak menginjak usia 40 tahun,” ulasnya pendek.

Pun begitu, Zulin dan suami melahirkan rasa beruntung kerja dalam bidang sama iaitu perniagaan ‘Sambal Tujuh’.

“Jadi sambil bekerja selitlah mana sempat nak berbulan madu. Rancangnya macam nak ke Turki, tapi situasi semasa pandemik COVID-19 pun membimbangkan. Belum ada kata putus," kata Zulin yang mengikatkan tali pertunangan pada 28 Januari 2022 lalu.

Pasangan sama padan sama cantik itu dijangka akan diraikan dalam sebuah majlis resepsi di  premis acara, Magica Grand Hall, Shah Alam pada malam ini. - KitaReporters



11
10
0
12
0
You will be interested