Majlis Anugerah Pertandingan Seni Usaha Tegas Heritage (UTH) telah mengangkat 21 bakat muda Malaysia yang telah mengetengahkan keunikan dan gambaran luar biasa mereka tentang kekayaan budaya di Malaysia melalui sentuhan seni.
Majlis pada 12 November 2024 ini telah meraikan 25 karya pemenang menerusi 5 kategori lukisan seperti arang atau pensil, minyak pastel atau dakwat, media campuran, minyak atau akrilik, cetakan dan cat air.
Pemenang tempat pertama untuk setiap kategori adalah seperti berikut:
- Ivy Thor (dari Equator College) dengan karya berjudul “Pulau Betong fish Craft” di bawah kategori Arang/Dakwat/Pensil.
- Goh Jia Yu (dari Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology) dengan karya berjudul “Nyonya Reminiscenenes” di bawah kategori Cat Air.
- Wong Sze Yoong (dari Universiti Malaya) dengan karya berjudul “Life in the Neighborhood” di bawah kategori Minyak/Akrilik.
- Wan Nor Shafikah (dari Universiti Malaysia Sabah) dengan karya berjudul “Perkahwinan Campur: Restu “MINUIDO”” di bawah kategori Media Campuran.
- Ching Min Ly (dari Dasien Academy of Art) dengan karya berjudul “Sacred Illumination” di bawah kategori Cetakan.
Pertandingan seni pada tahun ini memberi fokus tema “Warisan Malaysia,” dengan memberi penekanan terhadap warisan budaya.
Henry Tan, Pengerusi Pertandingan Seni UTH 2024 berkata, “Tema tahun ini Warisan Budaya Malaysia, memberi dorongan kepada kepada bakat-bakat baharu ini meneroka warisan budaya kita.
"Menerusi perjalanan seni ini, kami berharap ia akan meningkatkan kecintaan kepada sejarah, tradisi dan adat kita – membentuk artis warisan untuk generasi seterusnya.
"Dengan memahami identiti budaya, ia akan membangkitkan rasa bangga dan hormat kepada kepelbagaian kita. Ilmu ini membina jambatan menerusi budaya, memupuk persefahaman, dan mengetepikan prejudis.”
Penyertaan yang kami terima pada tahun ini (2024) adalah sebanyak 353 penyertaan daripada institusi awam dan juga swasta serata Malaysia, termasuk Sabah dan juga Sarawak.
Peningkatan jumlah penyertaan mencerminkan peningkatan minat terhadap karya seni dalam kalangan generasi muda dan juga usaha para pendidik yang mengiktiraf Pertandingan Seni Usaha Tegas Heritage adalah platform yang bernilai untuk para pelajar mereka menajamkan bakat seni.
Henry menambah, “Kami teruja dengan peningkatan penyertaan tahun ini (2024), dari segi konsep dan teknikal.
"Kami mengalakkan para artis berbakat ini untuk terus berkarya, menghasilkan karya mencetuskan pemikiran dan juga memberi impak.”
Henry Tan
sementara itu, Ar. Prama Nathan, Ketua Juri pertandingan ini berkata, “Kami sangat berterima kasih kepada Usaha Tegas atas platform yang diberikan kepada para pelajar kami.
"Peluang seumpama ini akan membuka ruang dan membantu meningkatkan skil mereka untuk kejayaan di masa akan datang.
"Kami berharap pengalaman ini akan memberi inspirasi kepada mereka untuk terus menghasilkan karya yang lebih baik dan membawa kelainan.”
Ar. Parama Nathan telah membarisi panel juri berserta – Bibi Chew, Suridah Jalaludin dan Syahrul Niza Ahmad Zaini dari Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara dalam penjurian pemenang karya edisi ke-25 tahun ini (2024).
Juga hadir pada penyampaian anugerah adalah wakil-wakil dari institusi seperti ALFA University College, Dasien Academy of Art, Equator College, University Malaysia Sabah, UiTM dan Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara.
Pertandingan Seni Usaha Tegas adalah pertandingan tahunan yang ditaja oleh UTSB Management Sdn Bhd, dalam mencungkil bakat muda di Malaysia terutama mereka di kolej dan university.
Lima kategori pertandingan adalah arang/pensil/dakwat; minyak/akrilik; media campuran; catan, dan warna air.
Pemenang telah menerima hadiah berupa wang tunai, vaucar TGV, trofi dan juga sijil penyertaan. - KitaReporters/Kenyataan Media