Seni & Sukan 10 Nov, 2024

Tahniah pendayung negara! Naib juara Kejohanan Dunia Perahu Naga ICF 2024! Juga kutip sebutir gangsa!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this


PASUKAN negara tetap membanggakan sebagai naib juara acara 10 pendayung terbuka senior 200 meter Kejohanan Dunia Perahu Naga ICF di Filipina biarpun terpaksa akur dengan kehandalan Thailand. - Kredit foto: Masca 


BIARPUN sedikit hampa, kebanggaan tetap terserlah dan dirasai.

Bertanding pada Kejohanan Dunia Perahu Naga Persekutuan Kanu Antarabangsa (ICF) 2024 ternyata menuntut daya tahan mental dan fizikal serta semangat juang yang bukan kepalang tingginya.

Justeru jika ada sebutir dua pingat yang dibawa pulang daripada kejohanan berprestij di Kota Puerto Princesa wilayah Mimaropa, Palawan, Filipina itu, sekalung tahniah dan pujian berhak ditujukan kepada pasukan negara.

Hanya satu lagi podium yang menidakkan skuad negara untuk bergelar juara dunia acara 10 pendayung terbuka senior 200 meter.

Namun pingat perak tetap menjadi penawar kehampaan mereka apatah lagi kejohanan dunia itu disertai 30 negara.

Catatan 49.09 saat meletakkan Malaysia di belakang Thailand, 47.52s manakala Iran di tempat ketiga atau pingat gangsa dengan 49.50 saat.  


PASUKAN negara yang meraih pingat gangsa acara 10 pendayung terbuka senior 2,000 meter. - Kredit foto: Masca


Kenyataan Persatuan Kanu Malaysia (Masca) pada 4 November 2024 menyebut, skuad negara turut memastikan sebutir pingat gangsa sebagai habuan mereka menerusi acara 10 pendayung terbuka senior 2,000 meter. 

Mereka mencatat masa 9 minit 24.42 saat di belakang pasukan Sepanyol, 9:11.51 saat dan Iran, 9:13.66 saat daripada kalangan 12 pasukan pusingan akhir.   

“Bagi acara 10 pendayung terbuka senior 500 meter, pasukan kita berjaya mara ke separuh akhir dan kemudian meraih tempat keempat,” lapor kenyataan berkenaan.

Masca juga berharap pihak-pihak yang berwajib dapat memberikan perhatian dan sokongan atas pencapaian pasukan perahu naga negara yang memberangsangkan ini.

“Masca kini mahu memberikan fokus kepada persediaan pasukan kita dalam menghadapi Sukan SEA Thailand 2025,” lapor kenyataan itu.



Enam pingat emas dipertanding pada temasya dwitahunan ke-33 itu iaitu dua bagi perahu kecil wanita 200 dan 500 meter.

Selebihnya dalam kategori campuran iaitu perahu kecil terbuka 200 dan 500 meter, perahu standard 200 dan 500 meter.  

Bagi kanu dan mendayung pula, sebanyak 12 pingat emas kategori lelaki bakal menjadi rebutan dan sembilan bagi kategori wanita serta tiga dalam campuran. - KitaReporters


ANTARA aksi pasukan pendayung perahu naga Malaysia pada Kejohanan Dunia di Kota Puerto Princesa wilayah Mimaropa, Palawan, Filipina. - Kredit foto: Masca


13
23
0
9
0
You will be interested