Seni & Sukan 24 Dec, 2024

Gila Hindustan! Video| Klimaks Bobby diubah saat-saat akhir! Sepatutnya pasangan kekasih mati lemas!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

.


DUA adegan filem 'Bobby'... saat gembira Raja dan Bobby memadu kasih (kiri) dan saat sayu bertemu kembali selepas terpisah.


PASANGAN kekasih, Bobby (Dimple Kapadia) dan Raja (Rishi Kapoor) sepatutnya mati pada klimaks ‘Bobby’, filem blockbuster arahan pelakon tersohor Raj Kapoor keluaran tahun tahun 1973. Tetapi mereka hidup untuk meraikan kejayaan cinta.

Ada cerita di sebalik perubahan skrip dalam filem cinta remaja yang hingga kini masih terpahat dalam memori peminat, termasuk di Malaysia, walau pun sudah 51 tahun berlalu.

Raj Kapoor sudah 36 tahun pergi pada Jun 1988 dalam usia 64 tahun. Rishi Kapoor pula meninggal pada April 2020 dalam usia 68 tahun. Dimple Kapadia kini sudah berusia 67 tahun.

Pelakon utama lain ‘Bobby’ ialah Prem Nath (Jack Braganza, bapa Bobby), Pran (Mr Nath, bapa Raja), Prem Chopra (sebagai Prem Chopra), Farida Jalal (Alka), Sonia Sahni, Aruna Irani dan Durga Khote.


PASANGAN cinta remaja Raja dan Bobby melalui getir cabaran cinta namun berakhir bahagia.


Bobby’ kisah cinta terhalang Raja dan Bobby akibat tidak direstui bapa Raja, Mr Nath kerana mereka keluarga kaya sedangkan bapa Bobby, Braganza, adalah seorang nelayan. Nath tidak mahu anaknya berkawan, apa lagi bercinta dengan anak seorang nelayan.

Mereka dipisahkan agar tidak berjumpa. Namun bau cinta membolehkan Raj menghidu di mana kekasihnya berada. Kedua-duanya bertemu dan melarikan diri. 

Mr Nath dan Braganza berusaha menjejaki mereka dan berjaya mengesan di mana mereka berada.

Penjahat (Prem Chopra) dan kuncu-kuncunya terbaca dalam akhbar kisah Raja dan Bobby dicari, turut mengejar mereka bagi memperoleh wang ganjaran. 

Terkepung serta merasakan cinta akan berkubur, Raja dan Bobby nekad terjun daripada tebing tinggi curam ke dalam sungai mengalir deras. Mereka lebih rela mati daripada cinta terpisah.


Raj Kapoor selaku pengarah memberi panduan kepada anaknya Rishi Kapoor dan Dimple Kapadia pada set penggambaran 'Bobby'.


Sepatutnya setelah terjun, pasangan kekasih itu mati lemas dan berakhirlah kisah cinta mereka. Itu skrip asal. 

Tetapi di layar perak, kesudahan cerita tidak begitu. Pasangan kekasih itu diselamatkan oleh Mr Nath dan Braganza. Cinta mereka menang. Kebahagiaan jadi milik mereka.

Tetapi tahukah anda sebenarnya penyudah atau ending yang disaksikan di layar perak itu lari daripada skrip asal. Menurut skrip asal yang digarap oleh Raj Kapoor, klimaks cerita bukan ‘happy ending’  tetapi tragedi sedih.


Nath memberi amaran kepada anaknya, Raja, agar menjauhkan diri daripada Bobby.


Raj Kapoor mahu kisah cinta tersebut berakhir seperti kisah Laila Majnun dan Romeo Juliet. Dia menggarap ‘Bobby’ dengan penyudahan pasangan kekasih itu mati setelah terjun. Apa yang berlaku bapa Raja dan Bobby yang melihat kejadian di depan mata terjun untuk menyelamatkan anak masing-masing.

Skrip diubah begitu rupa di mana Braganza menyelamatkan Raja sementara Mr Nath menyelamatkan Bobby. 

Inilah detik peralihan yang menyedarkan Mr Nath betapa dalamnya cinta Raja dan Bobby. Permusuhan bertukar persahabatan. Cinta anak-anak direstui. Kerana masih muda, mereka perlu menamatkan pelajaran dahulu.

Kenapa Raj Kapoor mengubah skrip sehingga pengkhiran duka ‘Bobby’ pada menjadi ‘happy ending’

Individu yang mencadangkan Raj Kapoor mengubah skrip ialah Prem Nath, pelakon yang membawa watak bapa Bobby. Dia juga adalah abang ipar kepada Raj Kapoor. Adik Prem Nath, Krishna ialah isteri Raj Kapoor.


DARI kiri, Pran sebagai Nath, bapa Raja; Prem Nath sebagai Braganza, bapa Bobby dan pasangan kekasih remaja Bobby (Dimple Kapadia) dan Raja (Rishi Kapoor) dalam filem blockbuster 'Bobby' keluaran tahun 1973 arahan Raj Kapoor. 


Perkara ini diceritakan oleh Monty, anak Prem Nath. Menyedari penyudah ‘Booby’ adalah sedih, Prem Nath mencadangkan kepada Raj Kapoor ia diubah kepada kegembiraan. Ia tidak harus berakhir seperti tragedi Romeo dan Juliet atau Laila Majnun.

Sehingga peringkat di mana pasangan kekasih itu terjun dari tebing, skrip tidak berubah. Yang berubah ialah selepas terjun. 

Prem Nath syorkan kepada Raj Kapoor agar diolah skrip di mana dia menyelamatkan Raja dan Mr Nath menyelamatkan Bobby. Bagaimana pun kata Prem Nath, selaku pengarah Raj Kapoor membuat keputusan akhir.

Raj Kapoor menerima cadangan Prem Nath. Penggambaran di lokasi yang separtutnya berakhir setelah Raja dan Booby terjun lalu mati, diteruskan dengan adegan mereka diselamatkan.

Barangkali kru filem pun tertanya-tanya mengenai perubahan tersebut. Tetapi hikmahnya besar. Cadangan yang dikemukakan oleh Prem Nath membawa kejayaan besar kepada ‘Bobby’, antara filem paling berjaya pada 1973.


PREM NATH (kiri) dan Pran membawa watak Braganza dan Nath, masing-masing bapa kepada Bobby dan Raja. Pran dan Prem Nath antara watak utama dalam 'Bobby'.


Kejayaan ini mengangkat nama Rishi dan Dimple serta mengembalikan kegemilangan Raj Kapoor. Raj hampir kehilangan segala-galanya apabila filem ‘Mera Naam Joker’ yang dibuat sebelum itu dengan belanja besar gagal di pasaran sedangkan dia telah belanja berhabis-habisan.

Akibat kegagalan filem itu, Raj Kapoor tinggal sedikit wang untuk membuat satu filem. Dia memilih kisah cinta remaja dengan menampilkan anaknya Rishi dan Dimple dalam ‘Bobby’. Kejayaan besar filem itu adalah pengubat duka kerugian sebelumnya. - KitaReporters


Pengarah Raj Kapoor memberi penjelasan kepada Dimple Kapadia (kanan) sebelum penggambaran salah satu babak filem 'Bobby'.

 

12
15
0
13
0
You will be interested