JALUR Gemilang merupakan satu perkara yang tidak boleh dipermain atau dikompromi kerana inilah maruah negara dan melambangkan tanah tumpah darah kita, tegas Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin.
Malah pernyataan mohon maaf menerusi laman sosial X oleh Victor, jenama pengeluar jersi Lee Zii Jia yang terpapar Jalur Gemilang terbalik dalam Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) di Hangzhou, China pada 12 Disember 2024, masih tidak mencukupi menurutnya.
Megat Zulkarnain turut mengambil isu kontroversi perseorangan badminton negara itu secara peribadi kerana beliau pernah melalui insiden hampir serupa membabitkan Jalur Gemilang ketika menjadi Ketua Kontinjen Sukan SEA Filipina 2019.
GAMBAR atas menunjukkan baju Lee Zii Jia tajaan Victor yang memaparkan Jalur Gemilang terbalik dan gambar bawah, sedutan kenyataan rasmi permintaan maaf jenama peralatan badminton itu pada 12 Disember 2024. - Kredit foto: media sosial
“Bendera (Malaysia) ialah sesuatu yang kita tidak boleh main-main. Apa pun alasan, benda-benda seperti ini tidak boleh kita biarkan. Setiap kali sangat, sudah menjadi benda budaya baharu pula, salah - maaf, salah – maaf. Saya mengambilnya secara peribadi.
“Sejarah tidak akan boleh melupakan bagaimana saya ketika menjadi Ketua Kontinjen Sukan SEA Filipina 2019, jalur bendera kita tidak cukup. Ini soal maruah kita. Kalau bukan kita yang pertahankan, takkan kita nak harapkan orang lain?
"Bagi saya, tiada kompromi (tolak ansur),” kata Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) ini selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-20 di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Putrajaya pada 13 Disember 2024.
MEGAT Zulkarnain Omardin mengulas isu Jalur Gemilang terbalik pada baju Lee Zii Jia dalam Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou. - Kredit foto: MHH
Megat Zulkarnain juga mengimbas bagaimana beliau menghalang Jalur Gemilang tidak cukup jalurnya yang mahu dikibarkan Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (Phisgoc) di Pusat Dagangan Dunia, Manila pada 1 Disember 2019 ketika majlis penyampaian pingat emas dan perak acara taolu changquan kepada atlet wusyu negara, Loh Choon How dan Wong Weng Son.
“Saya halang dan berhentikan pemberian hadiahnya. Saya merasakan ini maruah kita, ini tanah tumpah darah kita. Walaupun waktu itu disiarkan TV secara langsung ke seluruh Filipina, majlis penyampaiannya terhenti. Semua media Malaysia memberikan liputan.
“Saya menjerit dalam venue itu
memintanya dihentikan kerana ini maruah negara kita. Bendera ialah sesuatu yang
kita tidak boleh main-main. Apa pun alasan, benda-benda seperti ini tidak boleh
kita biarkan.
“Sebagai Ketua Kontinjen, saya ada pilihan, ini tempat orang, tengah secara langsung, Presiden Jawatankuasa Olimpik Filipina mahu beri pingat hari pertama (tetapi) saya hentikan kerana jalur Jalur Gemilang (disediakan Phisgoc) tidak cukup, bagi saya tiada kompromi,” jelasnya lagi.
SKUAD silat utama Malaysia yang menerima Jalur Gemilang daripada Megat Zulkarnain Omardin disasarkan Pesaka, menyamai pencapaian enam pingat emas seperti 2022 atau mengatasinya di Abu Dhabi dari 18 hingga 22 Disember 2024. - Kredit foto: MHH
Sementara itu, kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-20 di samping Kejuaraan Pencak Silat Remaja Dunia Kelima, 2024 dijadualkan berlangsung di Pusat Pameran Kebangsaan Abu Dhabi (ADNEC), Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 18 hingga 22 Disember 2024.
Kejuaraan ini bakal disertai 645 jagoan dari 46 negara peserta dengan edisi ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka pada 2022 menyaksikan pesilat utama kita merangkul enam pingat emas, manakala tiga pingat emas dihadiahi skuad remaja.
“Kali ini kami faham skuad negara bertanding di gelanggang luar tetapi bukan satu ukuran yang menidakkan kemampuan pesilat kita. Sasaran kali ini ialah sama atau lebih daripada pencapaian di Melaka.
“Semua pesilat negara berpotensi untuk menang. Amat tidak adil menyebut siapa (sandarannya). Mereka juga diingatkan, tiada penumpang atau pemakan angin atau pelancong (ke Abu Dhabi).
"Bukan tugas yang mudah tetapi tidak juga mustahil kerana ada kelas berat badan pertengahan seperti B, E dan F terlalu ramai pesertanya dan mengejutkan saya. Bayangkan mereka yang lebih separuhnya pesilat muda, paling tidak, akan melalui lima kali pertempuran untuk sampai jadi juara dunia,” katanya.
Antara pesilat kita yang bakal mempertahankan gelaran di Abu Dhabi ialah Firdas Latib (Kelas Bebas Putra) dan Nor Farah Mazlan (Kelas A Putri) serta yang terbabit dalam kontroversi pengadilan dan penarikan diri atas arahan Pesaka dalam Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 pada 31 Julai 2022, Khairi Adib Azhar (Kelas B Putra). - KitaReporters
MEGAT Zulkarnain Omardin (barisan belakang, bersongkok) bersama-sama skuad silat utama dan remaja (barisan depan dan kedua) ke Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-20, melaungkan sorakan, "Berjaya!" selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang di KKDW, Putrajaya. - Kredit foto: MHH