Seni & Sukan 02 Jul, 2024

Pestabola Merdeka 2024! Sparring bagi Harimau Malaya? Tajikistan kembali! Lebanon, Filipina hadir!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

FAM mengundang Tajikistan, Lebanon dan Filipina ke Pestabola Merdeka 2024 - tiga pasukan yang gagal layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dijadualkan September 2024 seperti mana Harimau Malaya. - Kredit foto: FAM 


SATU pasukan yang lebih kuat, yang keduanya lebih kuat sedikit dan ketiga, lebih kurang kuatnya.

Tajikistan, Lebanon dan Filipina menjadi dua daripada tiga gerangan lawan yang bakal disabungkan dengan skuad negara pada Pestabola Merdeka Ke-43 dari 2 hingga 10 September 2024 ini.

Tajikistan ialah juara bertahan dan menghuni ranking ke-102 dunia diikuti Lebanon yang menarik diri lebih awal pada edisi 2023, di ranking ke-117 manakala Filipina, jiran serantau Asia Tenggara, ke-147.

Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon yang juga naib juara 2023 dan kini menduduki ranking ke-135 dunia, akan menjadi tuan rumah di ‘kandangnya’, Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Berformat dua perlawanan ‘play-off berkembar - menang jumpa menang, kalah lawan kalah’, Pestabola Merdeka dilangsungkan dalam kalendar perlawanan September yang turut menawarkan mata ranking dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). 


IMBAS kembali asakan sayap kiri Harimau Malaya, Faisal Halim ke gawang Tajikistan dalam final Pestabola Merdeka Ke-42 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 17 Oktober 2023. - Kredit foto: FAM


Senarai tiga pasukan undangan Pestabola Merdeka 2024 itu diumumkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman dalam laman sesawang rasminya pada 1 Julai 2024.  

“Tarikh majlis undian Pestabola Merdeka Ke-43, 2024 akan dimaklumkan kemudian bagi menentukan pasukan mana bakal bertembung dalam dua separuh akhir, penentuan tempat ketiga/keempat dan perlawanan akhir serta hari-harinya,” katanya.

Kejohanan bersejarah hasil ilham Bapa Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra ini kembali disajikan FAM pada 2023 selepas terhenti selama sedekad sejak kali akhir diadakan di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 2013. 


NOOR AZMAN RAHMAN


“FAM berharap para penyokong Harimau Malaya turut memeriahkan Pestabola Merdeka 2024 dengan datang beramai-ramai ke Stadium Nasional memandangkannya berlangsung dalam Bulan Kebangsaan selepas Hari Kebangsaan, 31 Ogos 2024 dan menjelang Hari Malaysia, 16 September 2024,” katanya.


KALI akhir pertembungan Lebanon dan Malaysia (jersi putih) pada 2018 menyebelahi pasukan Asia Barat itu 2-1 dalam Kelayakan Piala Asia 2019 di Beirut. - Kredit foto: FAM  


Tajikistan yang layak secara laluan percuma ekoran penarikan diri Palestin, menghampakan Harimau Malaya 2-0 dalam final di Bukit Jalil pada 17 Oktober 2023 namun tuan rumah menumpaskan India 4-2 ketika separuh akhir, empat hari sebelumnya.

Pemilihan Tajikistan, Lebanon dan Filipina kali ini dipercayai sebagai ‘sparring pemanas badan’ Malaysia menjelang pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac 2025.

Kali akhir bertemu, Lebanon menewaskan Malaysia 2-1 dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2019 Kumpulan B di Stadium Kota Sukan Camille Chamoun, Beirut pada 27 Mac 2018.

Skuad kita juga memenangi Siri Tiga Negara FAS 2-0 menentang Filipina tanggal 23 Mac 2022 di Stadium Nasional, Singapura.  


HARIMAU Malaya (jersi hitam kuning) menumpaskan Filipina atau digelar Azkals 2-0 di Singapura pada 2022 - perlawanan pertama yang dikendalikan warga Korea Selatan, Kim Pan-gon. - Kredit foto: FAM


Seperti Harimau Malaya, ketiga-tiganya tidak akan terbabit dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 pada September 2024 setelah gagal melepasi pusingan keduanya, awal Jun 2024.

FAM juga dipercayai memilih Filipina ke Pestabola Merdeka sebagai persediaan skuad Pan-gon menghadapi Kejohanan ASEAN Ke-15 dari 23 November hingga 21 Disember 2024.

Malaysia, juara 2010, telah diundi dalam Kumpulan A kejohanan yang dulunya Piala AFF dengan juara bertahan, Thailand, Singapura, Kemboja dan pemenang pusingan kelayakan antara Brunei dan Timor-Leste. - KitaReporters


TAJIKISTAN hanya bermain sekali ekoran penarikan diri Palestin malah terus bergelar juara Pestabola Merdeka 2023 dengan kemenangan 2-0 terhadap Malaysia. - Kredit foto: FAM

15
12
0
12
0
You will be interested