Seni & Sukan 30 Jan, 2026

Krisis, kelegaan dan pembaharuan! Apa selepas semua Exco FAM angkat kaki? Reset dan pemulihan?

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this
Berita gembira mengenai tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang dibenarkan kembali beraksi buat sementara waktu susulan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sedikit meredakan tekanan yang menghimpit bola sepak negara sejak beberapa bulan lalu.


Namun, kelegaan itu hadir seiring keputusan besar yang mengubah landskap pentadbiran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) badan induk itu meletakkan jawatan secara berjemaah dan serta-merta pada Rabu, 28 Januari 2026.

Peletakan jawatan kolektif ini bukan sekadar langkah simbolik, sebaliknya dilihat sebagai tindakan strategik untuk melindungi kepentingan bola sepak negara daripada risiko penggantungan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Dalam tempoh sama, keputusan CAS membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman ke atas tujuh pemain warisan memberi isyarat bahawa masih wujud ruang keadilan perundangan, meskipun keputusan muktamad hanya akan diketahui pada penghujung Februari 2026 ini.

Dua perkembangan ini -- kelonggaran sementara terhadap pemain dan pengunduran keseluruhan Exco FAM -- jelas saling berkait serta mencerminkan usaha FAM melakukan ‘reset’ sebelum proses penilaian lebih menyeluruh dijalankan.

Bekas Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menegaskan bahawa keputusan meletakkan jawatan dibuat secara sebulat suara dan tanpa sebarang kepentingan peribadi.

“Tujuan utama kami adalah untuk menjaga reputasi dan kepentingan FAM serta mengurangkan risiko lebih buruk yang boleh menjejaskan bola sepak Malaysia secara keseluruhan,” katanya.


Sidang media mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Khas FAM dari kiri; Noor Azman Rahman, Mohd Yusoff Mahadi, Windsor Paul John dan Vahid Kerdani di Kelana Jaya.

Menurut beliau, sebab kedua peletakan jawatan adalah untuk menegakkan prinsip tadbir urus yang baik dan akauntabiliti, khususnya ketika keyakinan awam terhadap badan induk sukan berada pada tahap yang rapuh.

“Kami juga mahu memberi ruang sewajarnya kepada FIFA dan AFC untuk menilai, meneliti dan jika perlu menangani perkara berkaitan urus tadbir serta pentadbiran FAM tanpa sebarang konflik persepsi,” jelasnya.

Mohd Yusoff menambah, pengunduran Exco turut bertujuan memastikan sebarang pembaharuan yang perlu dilaksanakan dapat dijalankan secara bebas, telus dan berasaskan kepercayaan.

“Ini juga satu isyarat bahawa khidmat kepada bola sepak Malaysia lebih utama berbanding tempoh jawatan. Walaupun kami diberi mandat empat tahun, kami sanggup berundur selepas 11 bulan demi kepentingan lebih besar,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa langkah itu penting untuk memulihkan keyakinan penyokong, pihak berkepentingan dan komuniti bola sepak secara keseluruhan terhadap kredibiliti FAM.


Barisan Exco FAM bagi penggal 2025-2029. 


Dari sudut Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Windsor Paul John mengesahkan badan induk Asia itu akan memantau secara rapat situasi FAM dalam tempoh interim ini.

“Kami hadir atas jemputan FAM untuk membantu membuat penilaian menyeluruh. Kita mahu lihat apa yang lemah dan apa jurang yang ada sebelum meletakkan tanda aras baharu yang selari dengan standard persatuan bola sepak moden,” katanya.

Menurut beliau, satu pasukan khas AFC yang diketuai Timbalan Setiausaha Agung AFC, Vahid Kerdani bersama konsultan akan melakukan penilaian terperinci sebelum laporan akhir dibentangkan kepada pihak berkepentingan pada Kongres FAM.
“Matlamat kami adalah untuk menjadikan FAM sebuah persatuan yang lebih mantap sebelum kongres diadakan,” katanya lagi.
Mengulas operasi FAM dalam tempoh tanpa Exco, Windsor menjelaskan bahawa mandat penuh diberikan kepada Setiausaha Agung dan Bendahari FAM untuk memastikan urusan pentadbiran dan kewangan berjalan seperti biasa.
“Ini tidak bercanggah dengan Statut FAM. Prosedur membenarkan setiausaha agung dan bendahari menggalas tanggungjawab tersebut dalam tempoh interim,” jelasnya.

Infografik dijana oleh Kecerdasan Buatan (AI).


Dalam konteks ini, peranan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menjadi tonggak utama bagi memastikan kelangsungan operasi harian, termasuk hubungan dengan FIFA dan AFC.

Beliau turut mengesahkan bahawa persidangan rayuan CAS berkaitan tujuh pemain warisan dijadual berlangsung pada 25 atau 26 Februari 2026, sekali gus memberi kejelasan kepada perancangan pasukan kebangsaan.

Terdahulu pada Ogos 2025, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub meletakkan jawatan sebagai Presiden FAM selepas hanya enam bulan menghuni kerusi panas di Kelana Jaya itu.

Selepas peletakan jawatan Exco, persoalan besar yang timbul adalah hala tuju Kongres Pemilihan dan pembentukan barisan kepimpinan baharu FAM.

Dalam pada itu. dari sudut perundangan sukan, Statut FAM secara prinsipnya tidak menghalang mana-mana individu yang meletakkan jawatan secara sukarela daripada bertanding semula sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif.

Sekatan hanya terpakai sekiranya wujud penggantungan, hukuman tatatertib atau dapatan bersalah muktamad di bawah Kod Etika FIFA, AFC atau FAM.

Justeru, bekas Exco yang berundur secara berjemaah masih berpeluang dicalonkan semula, tertakluk kepada syarat kelayakan serta proses pemilihan yang diperuntukkan dalam statut.

Akhirnya, krisis ini berpotensi menjadi titik perubahan penting buat bola sepak Malaysia sama ada sebagai permulaan pembaharuan sebenar atau sekadar episod sementara untuk memulihkan kepercayaan antarabangsa. - KitaReporters

13
14
0
17
0
You will be interested