
Kejayaan pada Ahad, 25 Januari 2026 itu menjadi lebih signifikan kerana ia dicapai di Istora Senayan, Jakarta - gelanggang yang sinonim dengan tekanan luar biasa, sorakan padu penyokong tuan rumah dan sejarah panjang kehebatan badminton Indonesia.
Tiga pasangan yang mencipta sejarah tersebut ialah Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani (beregu lelaki), Pearly Tan–M. Thinaah (beregu wanita) dan Chen Tang Jie–Toh Ee Wei (beregu campuran) — satu gambaran jelas kekuatan sektor beregu Malaysia ketika ini.
Kejayaan itu juga menyaksikan ketiga-tiga wakil negara membawa pulang hadiah wang kemenangan sebanyak AS$39,500 (RM156,753) bagi setiap kategori.
Dalam konteks sejarah, hanya beberapa negara kuasa besar seperti China, Jepun, Korea Selatan dan Indonesia pernah menjuarai tiga atau lebih gelaran dalam satu kejohanan bertaraf Super 500 dan ke atas.
Malaysia kini secara rasmi menyertai kelompok elit tersebut.Lebih menarik, pencapaian ini berlaku ketika badminton Malaysia sering dilabel bergantung kepada pencapaian individu, bukan kekuatan menyeluruh atau berpasukan, namun Masters Indonesia 2026 mengubah tanggapan itu.

Bagi beregu lelaki, kejayaan Sze Fei–Nur Izzuddin amat bermakna selepas melalui tempoh sukar dan kemarau kejuaraan yang agak panjang. Mereka tampil penuh keberanian menewaskan pasangan tuan rumah Raymond Indra–Nikolaus Joaquin secara straight set 21-19, 21-13.
Nur Izzuddin mengakui kelegaan jelas dirasai selepas kemenangan tersebut, sambil menyifatkannya sebagai titik kebangkitan semula karier mereka.“Ini memang kemenangan yang sangat bermakna untuk kami kerana kami sudah lama bergelut (dengan prestasi). Jadi ia akan menaikkan lagi semangat kami,” katanya.
Sze Fei pula menekankan aspek mental ketika beraksi di Istora yang disifatkan sebagai antara venue paling mencabar dalam dunia badminton.
“Saya rasa memang sangat tertekan bermain menentang ‘seluruh’ Istora, tapi suasananya sangat luar biasa dan terima kasih atas semua sokongan,” katanya.

Tang Jie–Ee Wei pula membuktikan status mereka sebagai juara dunia 2025 bukan kebetulan apabila bangkit selepas tewas set pertama untuk menundukkan pasangan Denmark Mathias Christiansen–Alexandra Boje.
Kemenangan itu turut menamatkan penantian panjang apabila mereka menjadi pasangan beregu campuran Malaysia pertama beraksi pada final Masters Indonesia sejak 2010.
Ee Wei menegaskan faktor kepercayaan antara satu sama lain menjadi tunjang kejayaan mereka, terutama ketika berdepan tekanan tinggi di pentas final.
“Saya rasa sangat gembira dapat menjadi juara. Paling penting, kami terus percaya antara satu sama lain dan saya juga perlu kekal yakin dengan diri sendiri,” ujar Ee Wei.
Kejayaan itu juga disifatkan sebagai bukti kematangan pasangan tersebut dalam mengawal emosi dan tempo permainan, sesuatu yang sering menjadi penentu di peringkat tertinggi.

Sementara itu, Pearly–Thinaah meraih gelaran beregu wanita selepas lawan dari Jepun, Arisa Igarashi–Miyu Takahashi terpaksa menarik diri akibat kecederaan Miyu, namun perjalanan mereka ke final tetap mencerminkan peningkatan prestasi ketara.
Gelaran itu menamatkan penantian 15 tahun Malaysia untuk kejuaraan beregu wanita di Masters Indonesia sejak kemenangan Vivian Hoo–Woon Khe Wei pada 2011.
Thinaah pula menzahirkan simpati terhadap lawan mereka sambil menegaskan fokus sebenar adalah kepada proses peningkatan prestasi pasukan.
“Kami gembira dengan kemajuan permainan kami, tetapi bukan cara ini kami mahu menang di final. Kami benar-benar ingin bermain dan berharap Miyu cepat sembuh,” katanya.

Kejayaan tiga serangkai ini tidak hanya bermakna dari sudut pingat dan gelaran, tetapi menjadi petunjuk kestabilan struktur beregu Malaysia ketika ini.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky, sebelum ini menegaskan Masters Indonesia menjadi medan terbaik untuk menguji aspek fizikal dan mental pemain menjelang Seluruh England.
Prestasi yang ditampilkan di Istora Senayan menunjukkan pemain Malaysia semakin matang dalam mengurus tekanan, sesuatu yang sering membezakan juara dengan naib juara di pentas dunia.
Kejayaan bersejarah ini turut mencuri perhatian legenda negara, Datuk Seri Lee Chong Wei yang menyifatkannya sebagai pencapaian luar biasa dan lambang kebangkitan badminton Malaysia.
“Kemahiran, semangat dan ketabahan jelas terserlah. Malaysia sangat bangga. Teruskan percaya, teruskan berjuang, dan terus kibarkan Jalur Gemilang dengan megah,” katanya.Kata-kata Chong Wei itu bukan sekadar pujian, tetapi pengiktirafan daripada seorang ikon yang pernah melalui tekanan besar menggalas harapan negara.
Dari sudut sejarah, Masters Indonesia 2026 kini berdiri sebaris dengan detik-detik penting badminton Malaysia, termasuk kejayaan treble di Super Series Masters Finals 2008 dan 2009, walaupun dalam era dan format berbeza.
Bezanya, pencapaian kali ini hadir dalam era Jelajah Dunia moden yang lebih kompetitif dengan kepadatan kejohanan dan kekuatan pemain yang jauh lebih seimbang.Lebih penting, kejayaan ini memberikan mesej jelas bahawa Malaysia tidak lagi bergantung kepada satu kategori sahaja, sebaliknya memiliki kekuatan merentas sektor beregu.Ia juga menjadi suntikan keyakinan besar menjelang kejohanan berprestij seperti Seluruh England dan kempen seterusnya dalam kalender Jelajah Dunia.Masters Indonesia 2026 bukan sekadar tiga kejuaraan, tetapi simbol kematangan, kebangkitan dan hala tuju baharu badminton Malaysia, sekali gus membuka lembaran baharu dalam sejarah sukan raket negara. - KitaReporters