Seni & Sukan 24 Jun, 2024

Arrayan buktikan bapa borek anak rintik! Skuad Harimau B-16 tunjuk belang! Belasah Timor Leste 5-0!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

SAYAP kanan B-16 Malaysia, Arrayan Hakeem Norizam (belakang, kiri) meraikan pesta gol terhadap B-16 Timor-Leste dengan rakan sepasukan termasuk  penjaring gol kedua, Izzuddin Afif Nazarudin (9) dan Tengku Hasyri Shah Meerza Tengku Hazman (17). - Kredit foto: FAM


"ANAK harimau yang kian mengasah kuku dan taring". Satu pepatah ciptaan baharu buat penjaring gol keempat pasukan Bawah 16 Tahun (B-16) Malaysia, Arrayan Hakeem Norizam pada 23 Jun 2024 di Stadium Sriwedari, Surakarta, Indonesia.

Sayap kanan ini membantu skuad remaja negara meratah B-16 Timor Leste 5-0 ketika membuka tirai saingan mereka, sekali gus menerajui carta mata Kumpulan C Kejohanan B-16 ASEAN (atau Kejuaraan B-16 AFF) 2024 setelah B-16 Thailand dan B-16 Australia terikat 0-0.

Arrayan, 14, kini di landasan tepat dan dinanti-nantikan untuk mengikut jejak bapanya, Norizam Ali Hassan yang pernah digeruni ramai penjaga gol Liga Perdana Satu Malaysia sehingga bergelar pemilik Kasut Emas 2001 sekalipun tampil sebagai pemain gantian.


PENJARING dua gol yang juga perantara, Awal Wafiy Ahmad Syukri (10) melolosi kawalan pemain B-16 Timor-Leste di Stadium Sriwedari, Surakarta, Indonesia. - Kredit foto: FAM


Namun pendukung watak utama pastilah Awal Wafiy Ahmad Syukri yang menyerlah dengan dua gol minit ke-66 dan 89 buat skuad kendalian Javier Jorda Ribera ini, manakala dua lagi disumbangkan oleh Izzuddin Afif Nazarudin dan Fahmi Nor Farizamal pada minit ke-35 dan 55.

Dua lagi generasi kedua pewaris bekas pemain kebangsaan, Rizzqin Uqail Muhammad Sany dan Tengku Hasyri Shah Meerza Tengku Hazman menganggotai kesebelasan utama.

Rizzqin, bek kanan dan Hasyri, perantara B-16 ialah anak kepada bekas penjaga gol dan perantara Harimau Malaya era akhir 90-an hingga awal 2000-an, Muhammad Sany Fahmi dan Tengku Hazman Raja Hassan.


BEK kanan B-16 Malaysia, Rizzqin Uqail Muhammad Sany (2) melepaskan rembatan kencang ke kawasan kubu B-16 Timor Leste. - Kredit foto: FAM 


Namun Ribera, 37, menyedari ujian lebih getir anak-anak buahnya menanti di stadium sama pada 26 Jun 2024 iaitu B-16 Australia.

Warga Sepanyol ini audio sidang media pascaperlawanan kiriman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), berkata, “kami kena bersedia dengan satu daripada pasukan terkuat pertandingan ini, Australia.  

“Saya sedar mereka ada kelebihan segi fizikal, pengalaman dan persediaan,” rujuknya kepada lawan yang dikendalikan oleh Bradley Maloney, bekas ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Malaysia dalam Sukan SEA Vietnam dan Piala Asia B-23, 2022. 


PENGURUS pasukan B-16 Malaysia, A. Christopher Raj (kiri) dan Javier Jorda Ribera pada sesi latihan menjelang menentang B-16 Australia di Padang Latihan Kota Barat, Surakarta pada 24 Jun 2024. - Kredit foto: FAM


Sekalipun berkenduri gol di Surakarta, kata Ribera, “kami menghormati Timor Leste dan pemain-pemain bermula dengan baik apabila mencipta lebih banyak peluang untuk menjaringkan gol."

Mengenai mengapa hanya 1-0 yang mampu dicatat B-16 negara sehingga 45 minit pertama katanya, “saya mengubah suai sedikit aksi mereka dalam babak kedua selepas mendapatkan maklum balas para pemain.” - KitaReporters


SEPERTI Tengku Hazman Raja Hassan, Tengku Hasyri Shah Meerza Tengku Hazman turut mewarisi peranan perantara milik bapanya itu dalam perlawanan dengan B-16 Timor-Leste. - Kredit foto: FAM

11
16
0
21
0
You will be interested