Sudah terang lagi bersuluh, isu siapa pengarah yang menggantikan Areel Abu Bakar yang digugurkan kini bukan lagi topik hangat yang perlu dipanjang dan dibahaskan untuk filem epik kedua Studio Kembara, ‘Pendekar Awang: Darah indera Gajah’.
Telah pun dimaklumkan penerbit eksekutifnya sendiri yang juga penulis lakon layar dan skipnya, Shaharudin Mat Dali berkongsi tenaga bersama Saiful Reza Shukor sebagai pengarah bersama karya berkenaan.
Persoalannya kini, mampukah filem ‘spin off’ dari filem pecah panggung ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ ini duduk sama tinggi, atau lebih baik sehingga boleh memperoleh kutipan jauh lebih baik daripada RM97 juta atau pun tidak mencapai harapan penonton untuk menonton sebuah karya lebih agung?
Timbang taranya bergantung kepada penonton bijaksana waima seperti kehendak penerbitnya, ‘Pendekar Awang: Darah Indera Gajah’ adalah filem untuk seisi keluarga.
“Sasaran saya filem ini dapat menarik 4 juta penonton ke pawagam khususnya memberi hiburan bermanfaat kepada seisi keluarga dengan meningkatkan rasa cinta kepada tanah air, menghargai pengorbanan pejuang-pejuang tanah air dahulu kala serta meningkatkan semangat positif lagi terpuji dalam kalangan anak muda,” ujar Pengerusi Eksekutif/Penerbit Studio Kembara, Abdul Rahman Mat Dali selesai majlis tayangan perdana ‘Pendekar Awang: Darah Indera Gajah’ yang berlangsung di GSC IoI City Mall, Putrajaya pada hari ke-2 tahun baharu 2024.
Selain itu katanya, filem ini turut mengangkat peranan wanita dalam perjuangan mempertahan kedaulatan tanah air apabila diperkenal barisan srikandi yang dibarisi pelakon wanita diterajui Nur Fazura sebagai ‘Sayang’ isteri kepada suaminya. Pendekar Awang lakonan Fattah Amin serta pasangan adik beradik, Heliza dan Hazwani Helmi dan pelakon/penyanyi Indonesia, Tissa Baini Azzahra.
Barangkali dengan penampilan pelakon Indonesia, Tissa serta Reza Hillman, seorang pemuda Indonesia yang berbakat besar dalam seni mempertahan diri serta bekas atlet pencak silat, filem ini bakal di pasarkan di negara jiran serumpun itu?
“Insya-Allah ada perancangan untuk membawa filem ini ke tayangan di Indonesia khususnya di beberapa daerah tertentu yang penduduknya berjiwa Melayu,” ujar Shaharudin kala ditemui.
Sementara itu, melihat kepada aksi dan penampilan srikandi lakonan Fazura terutama, beliau hanya mengambil masa yang singkat untuk mempelajari cara menunggang kuda serta memanah,
“Sejujurnya saya cuma mengambil masa 3 hari sahaja untuk belajar memanah jadi itulah cabaran yang paling berat saya pikul termasuklah rasa seram apabila menunggang kuda,” ujar Fazura berhubung wataknya.
Menurut Fazura atau lebih mesra disapa Faz, walau pun pernah belajar menunggang kuda ketika kecil namun tetap rasa seram dengan risko kecederaan.
“Setiap kali ada adegan menunggang kuda saya selalu berdoa agar tidak jatuh hingga boleh menjejaskan saluran peranakan terutama kerana takut nanti saya sukar pula untuk menimang cahaya mata lagi,” jelas Faz yang sentiasa mengukiran senyuman.
Dan sepert Faz, suaminya, Fattah Amin turut akui lakonannya membawa watak Pendekar Awang juga agak mencabar.
“Sebenarnya saya berlatih menunggang kuda sebelum filem ‘Mat Kilau’ memulakan penggambaran lagi kerana sebagai pelakon kita perlu bersedia lebih awal supaya dapat memberikan yang terbaik. Itu antara latihan paling saya rasakan mencabar selain seni mempertahankan diri,” tambah Fattah.
Tidak bercerita panjang lebar lagi berhubung wataknya disebabkan kekangan masa untuk bersiap sedia ke majlis malam gala yang akan berlangsung dalam masa tiga jam sahaja lagi waktu itu, Fattah bagaimana pun melahirkan rasa puasnya dapat tawaran berlakon semula watak utama selepas berperanan sebagai Awang dalam ‘Mat Kilau - Kebangkitan Pahlawan’ sebelumnya.
Dimaklum, hampir kesemua watak pahlawan yang beraksi dalam filem ini, seperti penampilan pertama Nadhir Nasar serta Amir Ahnaf dalam sebuah filem aksi, memperlihat mereka sendiri melakukan adegan berlawan yang nampak tidak mengecewakan.
“Ini adalah filem pertama saya, memang rasa gementar tetapi dengan adanya sokongan pelakon-pelakon hebat ia membantu saya memberikan yang terbaik agar mesej yang hendak disampaikan pengarah melalui watak saya itu kesampaian,” ujar Nadhir yang melihatkan kecemerlanganya pada watak yang didukung sebagai ‘Tahir’.
Pendekar Awang: Darah Indera Gajah yang menelan kos sebanyak RM15 juta bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia pada 11 Januari 2024 ini.
Turut berlakon Namron, Ali Karimi, Amerul Effendi, Geof Andre, Wan Hanafi Su dan ramai lagi.
Terdahulu, selepas tayangan perdana kepada media, ‘Pendekar Awam’ sekali lagi ditayangkan pada majlis Malam Gala untuk tontonan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang diiringi bersama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan dif-dif kehormat lain.
Abdul Rahman Mat Dali (kiri) di samping Yang di-Pertuan Agong dan Fahmi Fadzil di Malam Gala 'Pendekar Awang' di IOI City Mall pada 2 Januari 2023. - Kredit foto: Bernama.com
Filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah menyelongkar kisah perjalanan Tok Gajah bersama para pahlawan yang tidak didendang yang tidak pernah diberitahu sebelumnya.
Peristiwa di dalam filem ini berlaku selepas kebangkitan pahlawan melayu di Kuala Tembeling, Jerantut dan Temerloh, Pahang. Secara ringkasnya, British memburu Tok Gajah dan Awang mesti segera menyelamatkannya daripada ditangkap dan dibunuh.
Adakah filem in akan memecah rekod filem terbitan Studio Kembara sendiri atau 'Mat Kilau' tetap kekal No 1 dalam dunia perfileman tempatan, anda penentunya.
Tonton dahulu, baharu komen ya! - KitaReporters
Antara kostum dan peralatan senjata yang digunakan dalam filem 'Pendekar Awang' turut dipamerkan.