.
Meneliti judul-judul lagu yang dibawa penyanyi berstatus ibu tunggal, Bella Astillah (BA) ini dapat disimpulkan bekas isteri Alif Aziz ini sudah berani ‘move on’ dengan kehidupan seharian bersama dua anak kandungnya.
Apatah lagi pemilik bernama sebenar, Dayang Nabellah Awang Astillah, 32, sentiasa aktif dan viral dengan teman rapatnya, siapa lagi jika bukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 33, selepas Ahli Parlimen Muar itu muncul sebagai ‘cameo’ dalam muzik video ‘Tapi Bukan Denganmu’.
Boleh dikatakan di mana ada Bella di situ adanya Syed Saddiq (SS) walau pun diberitakan beliau terpaksa mengambil tawaran menjadi ‘model’ di samping Bella dalam usaha mengumpul dana bagi kawasannya disebabkan gagal dalam percubaan untuk memperoleh peruntukan Kerajaan. Ekoran itu, dilaporkan Syed Saddiq berjaya memperoleh sumbangan RM1 juta untuk Muar.


Terbaharu pula, dilaporkan kedua-dua selebriti yang tengah panas ini menghasilkan pula minyak wangi baharu dengan sebuah jenama terkenal yang dikongsi dalam platform masing-masing dengan catatan oleh Bella berbunyi ‘Daripada Parlimen ke Parum, kini kami membut wangian bersama’.
Ditulis juga Syed Saddiq menyumbang kesemua RM100,000 ‘ambassadorship’ dengan Dolcea kepada Parlimen Muar.
Begitu antara kisah yang sering menjadi perhatian netizen waima kedua-dua mereka sentiasa aktif memuat naik aktiviti masing-masing.
Bagi Bella ketika kembali merujuk dengan Alif Aziz ketika dalam tempoh iddah pada tahun 2019, pasangan ini sempat merakamkan single bersama dengan tajuk lagu ‘Tetap Di Sini’ sekali gus membayangkan kisahnya yang tetap bersama suami sehinggalah selepas bercerai pada 13 Jun 2024, terhasillah pula single ‘Tapi Bukan Denganmu’ di mana Syed Saddiq tampil sebagai ‘cameo’ video muziknya.

Dan tahun ini (2025), Bella mengumumkan pula single terbaharunya berjudul ‘Lebih Indah Berpisah’ di mana sekali lagi dapat dibayangkan ia sebuah kisah dirinya yang kini sudah menemui kebahagian yang dicari.
Ciptaan komposer dan pemuzik terkenal Indonesia, Ade Govinda, “Lebih Indah Berpisah” ini hadir dengan penuh makna, membawa kisah tentang kekuatan hati untuk melepaskan cinta yang tidak lagi menghargai, demi membuka lembaran hidup yang lebih indah.
“Bermula daripada cadangan tajuk yang asalnya sedikit berbeza, akhirnya saya dan Ade Govinda sepakat untuk memilih perkataan indah sebagai teras utama judul ini, mencerminkan sisi positif daripada sebuah perpisahan.
“Lagu ini ditulis dengan penuh jiwa dan semangat oleh Ade, menggambarkan keberanian untuk berpisah dengan penuh keikhlasan,” kata Bella.

Bellau berharap lagu ini mampu memberikan kekuatan kepada mereka yang sedang berhadapan dengan kesedihan dalam kehidupan percintaan mereka.
“Saya mahu lagu ini diterima dengan baik, dan menjadi teman kepada sesiapa yang sedang melalui fasa sukar dalam hidup mereka. Saya juga berharap lagu ini bukan sahaja diterima baik di Malaysia, malah juga di Indonesia,” tambah Bella.
Menurutnya, projek ini menjadi platform untuknya mencabar diri sendiri, memperbaiki mutu nyanyiannya dan berkembang sebagai seorang artis.
"Saya buat lagu ini bukan untuk bersaing dengan sesiapa, tetapi untuk diri saya sendiri dan untuk menjadi lebih baik," jelas Bella sambil memaklumkan rasa terharu dapat bekerjasama dengan Ade dan pasukannya sebagai satu kenangan yang sangat berhagra dan tidak dapat dilupakan.
Sambung Bella, sewaktu proses rakaman, suasana di studio sangat positif dan penuh sokongan.
“Ini menjadikan pengalaman rakaman bebas tekanan. Malah, dengan semangat dan sokongan mereka, saya rasa lebih bersemangat untuk memberikan yang terbaik,” akhirinya.

Bella bersama Ade Govinda.
Sementara itu, Ade berkata, lagu "Lebih Indah Berpisah" bukan sekadar sebuah melodi, tetapi luahan jiwa tentang keberanian melepaskan dan memilih jalan baharu demi kebahagiaan diri.
"Lagu ini mengisahkan tentang seseorang yang berani mengambil keputusan untuk berpisah apabila cintanya tidak lagi dihargai. Lagu ini membawa mesej bahawa berpisah bukanlah sebuah kegagalan, tetapi satu langkah berani menuju kehidupan yang lebih indah, berbanding terus berjuang seorang diri dalam hubungan yang tidak seimbang.
“Jika cinta anda tidak dihargai, semoga lagu ini memberi keberanian untuk mengambil keputusan yang tepat. Kehidupan selepas berpisah boleh menjadi jauh lebih indah daripada apa yang kita bayangkan,” ulas Ade Govinda.
Memuji ketabahan dan komitmen yang dilalui artis muda seperti Bella, Ade Govinda memaklumkan rasa kagumnya terhadap tahap profesionalisme penyanyi itu, bukan sahaja dalam nyanyian malah dalam lakonan video muziknya juga yang menunjukkan kesungguhan luar biasa..
“Tidak banyak wanita yang mampu menunjukkan ketabahan jiwa sedemikian,Bella memang hebat,” tegas Ade. - KitaReporters
