
Mohd Noor Ali menunjukkan pingat emas berpasukan sepak takraw Sukan SEA Jakarta 1979 yang dimenangi untuk Malaysia. - Kredit foto: Infotakraw
Mohd Noor Ali hanya bermain sekali ketika Malaysia menewaskan Indonesia 3-0 dalam liga sepusingan berpasukan sepak takraw Sukan SEA Jakarta pada 23 hingga 25 September 1979 di Gelora Bung Karno, Senayan.
Beliau yang berusia 34 tahun ketika itu, bergandingan dengan tekong Baharuddin Abu Bakar dan pengumpan atau apit kiri, Faozi Ayob dalam regu pertama negara yang mudah mengatasi Amin Usman, Takdir dan Amrizal 15-8, 15-2.
Perejam atau apit kanan Pulau Pinang ini tetap menjadi antara 12 tenaga penyumbang pingat emas temasya dwitahunan serantau Asia Tenggara edisi ke-10 itu sekalipun hanya di bangku simpanan bagi perlawanan selebihnya.
Skuad negara kendalian Ahmad Daud mengesahkan kejuaraan selepas tiga perlawanan empat penjuru termasuk dengan menundukkan musuh tradisi Thailand 3-0 (15-9, 15-4), (15-4, 15-5), (15-9, 15-0) dan Singapura 3-0 (18-13, 13-15, 15-9), (18-14, 15-7), (15-7, 15-6).
Jasa dan kejayaan Mohd Noor bersama skuad ini tetap terukir dengan tinta emas sepak takraw negara biarpun Allahyarham telah kembali ke rahmatullah dalam usia 79 tahun kira-kira pukul 3.20 pagi 27 Mei 2025 di Hospital Pulau Pinang.
Beliau yang lahir di Alor Setar, Kedah tanggal 3 Disember 1945, meninggalkan seorang balu, Faridah Zainol, 75 dan dua anak lelaki serta seorang anak perempuan berusia 51, 45 dan 38 tahun.

Mohd Noor Ali pernah menyarung jersi Kedah, Perak dan Pulau Pinang di arena sepak takraw kebangsaan. - Kredit foto: CA
“Allahyarham mulanya terjatuh ketika kami sekeluarga mahu menjamu selera di sebuah kafe pada pukul 2.30 petang 24 Mei 2025 lalu dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang dengan ambulans.
“Dia tidak sedarkan diri sejak itu dan menurut doktor, pembuluh darahnya sudah pecah,” kata Faridah yang juga bekas sayap kanan pasukan bola sepak wanita Pulau Pinang dari 1968 sehingga 1970.
Jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Jamek Sungai Nibong Besar selepas solat zuhur dan dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan masjid.
Mohd Noor juga merupakan pesara Jabatan Penjara Malaysia dengan pangkat akhirnya ialah Subinspektor di Penjara Pulau Pinang. Beliau menetap di Sungai Nibong, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Mohd Noor Ali (berdiri, kanan) membarisi skuad pemenang pingat emas Sukan SEA Jakarta 1979 bersama-sama Adnan Saidin (berdiri, dua dari kiri) selain gandingannya, Baharuddin Abu Bakar (depan, tiga dari kiri) dan Faozi Ayob (depan, lima dari kanan). - Kredit foto: Infotakraw
Turut menganggotai skuad emas Sukan SEA 1979 itu ialah Raja Sepak Takraw Asia 1986 - Adnan Saidin, Abdul Rahman Ghani, Jusri Rick, Subari Said, Hassan Yeop, Rahim Kassim, Shukri Ismail, Osman Ahmad dan Sahar Omar.
Mohd Noor memulakan karier sepak takrawnya dengan Kedah pada 1960 kemudian menyertai Perak dan jabatan dari 1964 hingga 1967, manakala bersama Pulau Pinang dan majikannya sejak 1968.
Koleksi pencapaian lainnya termasuk mengadakan pertunjukan sepak takraw di Adelaide, Australia; menjuarai Piala Persatuan Sukan Thailand (TSA) pada 1980 di Nakhon Sawan; dan Pesta Sukan Lembaga Penggalakan Sukan Kebangsaan Singapura.
Beliau turut mewakili pasukan negara menjulang Oskar Khir Johari (lima regu berpasukan senior) pada 27 Disember 1980 setelah menewaskan Singapura 4-1 di Kompleks Sukan Delta di republik itu.
Gandingannya yang bermain dalam regu keempat Malaysia dengan Kamaruddin Salleh dan Faozi menumpaskan Pangat Adon, Ali dan Ajiz Abdullah 15-11, 15-11. - KitaReporters

PINGAT emas sepak takraw Sukan SEA Jakarta 1979 milik skuad sepak takraw Malaysia. - Kredit foto: Infotakraw

SKUAD sepak takraw Malaysia pemenang pingat emas Sukan SEA Jakarta 1979 dengan Mohd Noor Ali (berdiri, dua dari kanan) dan jurulatih, Ahmad Daud (berdiri, tiga dari kanan). - Kredit foto: Infotakraw