.
Impian pelakon legenda Fauziah Datuk Ahmad Daud, lebih dikenali sebagai Ogy, 62, untuk bertemu dengan guru seni yang dikagumi dan dihormatinya, iaitu seniman Ahmad Yatim, atau nama sebenarnya Mohd Yatim Talib, 81, akhirnya tercapai setelah bertahun-tahun berpisah.
Setelah mendapat tahu Ahmad Yatim kini uzur, Ogy cuba mencari di mana Ahmad Yatim tinggal. Pertemuan diatur oleh pelakon Sobri Anuar Tarmizi.
Ahmad Yatim kini tinggal di rumah keluarga di Chembong, Rembau, Negeri Sembilan bersama adik dan anak-anak buahnya.
Ziarah raya Ogy baru-baru ini disambut mesra oleh pelakon teater dan filem veteran berkarisma itu. Ahmad Yatim mula bergiat dalam teater sejak 1970.


Dalam pertemuan itu Ahmad Yatim menceritakan bagaimana dia boleh hilang deria penglihatan.
Menurut Ahmad Yatim ketika menjadi pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Sebaik sampai di rumahnya di Serdang, dia berasa sakit di belakang kepala (leher) dan mendapati penglihatannya semakin kabur dan terus menjadi gelap (tidak dapat melihat). Mujur ketika kejadian dia sudah sampai ke rumah.
Tambah Ahmad Yatim, terdapat pihak yang bertanyakan sama ada dia mahu buat pembedahan namun dia masih belum memikirkannya.


Dalam ziarah raya itu, perbualan turut melibatkan pertemuan pertama mereka bermula dengan filem ‘mega’ ketika itu ‘Abang’ pada 1981.
Ahmad Yatim selain berlakon sebagai Faizal Din dia turut menjadi guru lakonan bagi pelakon ‘Abang’. Ketika itu Ogy baru berusia 19 tahun dan diberi peranan sebagai adik iaitu Dila Din.

Atas sifat sahabat dia menerima tawaran berlakon dalam filem ‘Abang’ arahan Rahim Razali.
Filem ‘Abang’ terbitan Fleet Communications Sdn. Bhd mendapat sambutan sederhana daripada penonton dengan hanya berjaya mengutip kira-kira RM683 ribu.

Antara filem yang dilakon oleh Ahmad Yatim ialah ‘Abang’ (1981), ‘Sumpah Di Bumi Merkah’ (1981), ‘Pemburu’ (1982), ‘Anak Sarawak’ (1989), ‘Perempuan Melayu Terakhir’ (1999) dan ‘Abnormal: Buas’ (2024) sebagai pelakon utama, pembantu atau sampingan.

Kini pelakon berkarisma ini lebih menumpu soal ibadat dan melupakan terus bidang lakonan.