
FARHAN Adam (dua dari kiri), Syahir Rosdi, Azlan Alias, Haziq Hairul Nizam dan Khairul Aman Rosdi (terlindung) girang menjulang trofi acara regu Piala Asia Astaf 2025 bersama-sama jurulatih, Ahmad Mohd. Zin (kiri). - Kredit foto: ST
INI bukanlah kali pertama Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam berjaya meleburkan keangkuhan Thailand selaku kuasa utama sepak takraw dunia.
Tekong, perejam dan pengumpan itu sudah melakukannya pada Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh (hanya regu pertama), Piala Dunia Istaf 2024 dan kini Piala Asia Sepak Takraw Astaf tanggal 15 Mei 2025 di ibu kota.
Ada ketikanya gandingan berkenaan turut disulam dengan Amirul Zazwan Amir, Hanafiah Dollah dan Khairol Zaman Hamir Akhbar termasuk ketika menjuarai sirkit 2 Siri Super Istaf 2015 di Melaka.
Mereka bergelar juara acara regu Piala Asia Astaf 2025 setelah
menumpaskan Sittipong Khamchan (Jakkrit Thinbangbon), Varayut Jantarasena
(Sutthikiart Panseankaew) dan Yodsawat Uthaijaronsri 15-12, 15-9.
Susur galur skripnya dirakamkan oleh liuk-lentuk kaki Azlan yang penuh bijak dan berhelah, diperkasa ketajaman bedilan servis Syahir tanpa melupakan kawalan dan umpanan tepat Farhan.
Servis Sittipong yang kerap terkandas dan terkeluar, rejaman Varayut ditangkis oleh Azlan dan Yodsawat mudah pula menjadi lubuk mata, turut menggarap naratif tumbangnya Si Gajah Putih.

BARISAN Thailand naib juara regu Piala Asia Astaf 2025 (dari kiri), pengurus Supot Tumpracha, Somporn Jaisinghol, Yodsawat Uthaijaronsri, Sittipong Khamchan, Varayut Jantarasena, Sutthiakart Panseankaew dan Jakkrit Thinbanbon. - Kredit foto: ST
Di depan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang di antara lebih 2,000 penonton, regu negara memastikan gelaran itu hanya selepas 51 minit pertarungan tanpa perlu diheret ke set penentuan seperti tradisinya.
Namun untuk menjinakkan Thailand terutama dalam final secara kerap dan konsisten serta meyakinkan yang bertolak daripada dua langkah di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur ini masih satu cabaran atau tembok besar yang perlu diharungi dan diruntuhkan.

SYAHIR Rosdi membedil kawasan Thailand dengan servis derasnya yang ditunggu Jakkrit Thinbangbon dan disaksikan Supot Tumpracha dari luar gelanggang. - Kredit foto: ST
Kita pasti tidak mahu mereka ke Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand (King's Cup) Ke-38 di Hat Yai pada 20 hingga 27 Julai 2025 ini dengan kembali kepada kesudahan lama yang sudah berdekad-dekad - kecundang kepada musuh tradisi ini khususnya dalam acara berpasukan yang kali akhir dimenangi dalam Sukan SEA Manila 1991.
Perlu juga disegarkan semula ingatan bahawa selepas menjuarai regu Piala Dunia Istaf 2024 di Kuala Lumpur, pasukan kita hanya memenangi acara sama dalam King's Cup di Korat hanya dengan menewaskan India, Brunei, Singapura dan China.
Tuan rumah telah memilih untuk ‘menyedekahkan’ acara
ini kepada negara-negara lain Divisyen Perdana juga atas arahan Persekutuan
Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) sejajar dasar pengagihan pingat seperti mana amalan sejak Sukan SEA Laos 2009 dan Sukan Asia Guangzhou 2010.
Tanggal 8 September 2024 dalam perlawanan akhir berpasukan, mereka masih ditumpaskan Si Gajah Putih 2-0 (15-4, 3-15, 11-15),
(13-15, 9-15) yang mengekalkan Piala Raja Thailand - trofi pertandingan
antarabangsa tertua di dunia - sejak 1989.
Kali akhir pasukan negara merampas piala yang khas untuk acara kemuncak kejohanan itu ialah pada 1988 di Bangkok selain 1985.

AZLAN Alias (kanan) melepaskan libasan kalih deras untuk membolosi adangan Varayut Jantarasena sambil diawasi Farhan Adam (kanan). - Kredit foto: PSM
Justeru persoalannya ialah adakah skuad sepak takraw negara hanya memang jaguh kampung? Sekadar gah berkokok dan garang menaji ayam sabung lawan di laman sendiri atau sentiasa garang sekalipun apabila dibawa bertandang di luar rebannya?
Jangan lupa mereka juga bakal bersama kontinjen Team
Mas yang akan menghadapi Sukan SEA Thailand dari 7 hingga 19 Disember 2025
dengan medan sabung seterusnya ialah Nakhon Pathom yang sejauh 56 kilometer
dari Bangkok.
Hanya sekali Malaysia pernah mengucupi pingat emas
sepak takraw di bumi Thailand iaitu Sukan SEAP Bangkok 1975.
Selebihnya hanyalah perak berpasukan mahupun antara regu di Bangkok 1967 dan 1985 serta Chiang Mai 1995 manakala Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) memboikot Sukan SEA Korat 2007 kerana membantah penggunaan bola baharu sintetik bersalut getah.
LALUAN MALAYSIA KE PERLAWANAN AKHIR REGU:
Kumpulan D: Kalahkan Nepal 15-6, 15-6; kalahkan Singapura 15-9, 15-6; kalahkan Filipina 15-9, 15-6.
Suku akhir: Kalahkan Brunei 15-7, 15-4
Separuh akhir: Kalahkan Vietnam 15-8, 15-10.

SYAHIR Rosdi (tiga dari kanan), Azlan Alias dan Farhan Adam meraikan mata regu negara ketika Sittipong Khamchan (18) terduduk kecewa kerana gagal dalam adangannya. - Kredit foto: PSM