Seni & Sukan 14 Oct, 2022

Kpg Repek, Pasir Mas ada kolam renang saiz besar! Pasangan pesara TLDM bina untuk riadah penduduk!

@khadijah mohamad nor
Pernah berkhidmat sebagai Wartawan Eksekutif di akhbar Kosmo! selama hampir 14 tahun. Berpengalaman dalam penulisan rencana, sukan, berita dan luar negara. Graduan Universiti Teknologi Mara dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Tesktil. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this


SEPASANG suami isteri yang bergelar pesara tentera membuat kelainan apabila membina sebuah kolam renang bersaiz besar bagi memberi peluang riadah buat penduduk kampung dan sekitarnya.

Zulkifli Zakaria, 46, dan Suhana Daud, 45, masing-masing merupakan bekas Jurulatih Jasmani ketika berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama lebih dua dekad.

Justeru, pengalaman yang mereka miliki sebagai lifeguard (penyelamat) ketika masih bergelar anggota tentera dahulu mahu diteruskan dengan cara menawarkan pusat riadah untuk aktiviti renang yang dinamakan Kolam Renang Z & S Sweet.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kolam renang

Kolam Renang Z & S Sweet yang dibina oleh pasangan pesara tentera, Zulkifli Zakaria dan Suhana Daud sebagai pusat riadah buat penduduk Kampung Repek di Pasir Mas, Kelantan.

Zulkifli dan Suhana merupakan pasangan pesara TLDM yang bergelar Jurulatih Jasmani sepanjang 22 tahun berkhidmat.


“Sebenarnya, idea asal untuk membina kolam renang ini adalah kerana melihat kekurangan tempat riadah di Kampung Repek dan di sekitar Kawasan Pasir Mas. Ia menyebabkan anak-anak akan mandi di sungai dan kawasan tali air yang mampu mendatangkan bahaya buat mereka.

“Dalam masa yang sama, kami mahu memanfaatkan pengalaman dalam bidang renang kerana mempunyai kepakaran sebagai jurulatih jasmani selama 22 tahun kepada masyarakat,” kata Zulkifli yang juga merupakan Jurulatih Skuasy bagi atlet Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Tambah anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu, matlamat mereka adalah untuk memberi kepuasan dan keselesaan kepada para pengunjung yang datang beriadah dan melakukan aktiviti berenang di kolam yang telah disediakan.


Kelas latihan renang intensif dikendalikan sendiri oleh Suhana dan suaminya buat para wanita dan kanak-kanak.


“Selain itu, kami turut mengadakan kelas latihan intensif untuk melatih golongan wanita dan kanak-kanak agar pandai berenang

"Maklumlah, Kelantan antara negeri yang kerap dilanda banjir. Sekurang-kurangnya jika penduduk ada kemahiran berenang yang baik, mereka boleh terhindar daripada perkara seperti lemas dan sebagainya.

“Visi kami selain memberi kepuasan kepada pengunjung, kami juga mahu mendidik dan melatih lebih ramai-ramai kanak-kanak di Kelantan dalam sukan renang,” jelasnya lagi.


Antara pengunjung yang hadir termasuklah pelajar sekolah yang datang secara berkumpulan untuk mengadakan aktiviti.

Sementara itu, Suhana memberitahu kos membina kolam renang tersebut mencecah RM250,000 iaitu menggunakan sebahagian wang persaraan yang mereka terima.

Menurutnya, banyak cabaran yang terpaksa mereka hadapi dalam menyiapkan kolam renang tersebut termasuklah kekangan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara akibat wabak Covid-19.

“Memang benar, projek ini tertangguh agak lama disebabkan PKP. Ini kerana kami mulakan proses pembinaan seminggu sebelum PKP dikuatkuasakan. Oleh itu, para pekerja yang membina kolam ini telah balik ke Sabah dan tidak dapat datang ke Kelantan semula.

“Situasi itu menyebabkan kekurangan tenaga kerja sekali gus menyebabkan progres pembinaannya agak lewat. Namun, kami bersyukur kerana akhirnya ia dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun empat bulan, iaitu seminggu sebelum sambutan Aidiladha (9 Julai 2022) yang lalu," jelas Suhana.


Poster mengenai Kolam Renang Z & S Sweet di Kampung Repek, Pasir Mas, Kelantan.


Ternyata segala penat lelah dan usaha pasangan ini dalam menawarkan fasiliti renang bertaraf profesional, akhirnya terbalas jua dengan sambutan menggalakkan daripada penduduk kampung dan kawasan di sekitar Pasir Mas. 

Kebanyakan mereka berpuas hati kerana dengan adanya kolam renang ini, mereka tidak perlu pergi jauh untuk melakukan aktiviti bersama keluarga.

Ujar Suhana lagi, penyelenggaraan kolam renang tersebut dilakukan sendiri berdasarkan pengalaman yang mereka miliki ketika berkhidmat di dalam TLDM.


Terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak disediakan bagi keselesaan pengunjung cilik.

“Biasanya ia akan diselenggara antara dua ke tiga hari sekali bergantung kepada tahap kebersihan kolam. Malah, kami juga bertindak sebagai penyelamat dalam memantau para pengunjung yang beriadah di kolam ini,” ungkap wanita yang berasal dari Simpang Pertang, Negeri Sembilan ini.

Ditanya tentang harapan mereka, Zulkifli dan Suhana berharap lebih ramai pelanggan dari dalam dan luar Kelantan akan datang untuk melakukan akvititi di kolam renang. 

“Semoga dengan cara ini, kami mampu menaikkan nama Kampung Repek pada masa akan datang,” kata mereka.

Untuk maklumat lanjut, hubungi talian 011-58650877. 

Tahniah Zulkifli dan Suhana. Semoga lebih ramai pesara kerajaan yang berusaha memberi manfaat buat masyarakat dengan kelebihan dan kemahiran yang mereka miliki. - KitaReporters


INFO KOLAM RENANG Z & S SWEET :

- Dibuka setiap hari termasuk cuti umum

- Terdapat dua saiz kolam renang

i) Kolam besar bersaiz 30 x 50 kaki

ii) Kolam kanak-kanak bersaiz 25 x 15 kaki

- Tempat wakaf turut disediakan untuk mengadakan aktiviti BBQ dan sebagainya

- Bayaran serendah RM3 hingga RM8 seorang


Pondok wakaf juga dibina kegunaan pengunjung untuk melakukan aktiviti BBQ dan sebagainya.

28
15
1
7
1
You will be interested