Kotex pada 7 Disember 2023 mengumumkan pasukan e-sukan MLBB-nya (Mobile Legends: Bang Bang), Kotex Elimin8tors yang dibarisi segolongan wanita, sebagai janji jenama mereka untuk mempamerkan kepada dunia bahawa ‘Haid atau Tidak, Dia Mampu’.
Pasukan impian itu yang terdiri Fafau, Ecstatic, Rina, Intan, Beyya dan Pika akan menerima sokongan lengkap bagi membantu mereka bersedia untuk MPL (Mobile Legends: Bang Bang Professional League) Malaysia, yang merupakan liga e-sukan paling lama di negara.
Sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap Kotex Elimin8tors dalam kempen ‘Road to MPL’ ini, Kotex akan menyumbang RM100,000 daripada Dana Kotex She Can bagi membangunkan satu ekosistem komprehensif, yang direka bagi mengasah kemahiran dan pengetahuan permainan pasukan itu.
Ia termasuk seorang jurulatih profesional MPL Malaysia, set peralatan spesifikasi yang penuh, rejim latihan intensif selama 6 hingga 8 jam setiap hari, seorang penganalisis untuk memberi cerapan penting, sebuah studio permainan, serta sebuah asrama serba lengkap dan elaun bulanan.
Jurulatih Amoux telah dipilih atas rekod prestasi yang hebat dalam MPL Malaysia, setelah menolong beberapa pasukan menaiki podium MLBB.
Beliau merupakan jurulatih yang bertanggungjawab untuk GeekFam apabila mereka membawa pulang pingat di MPL MY/SG Musim 3 pada tahun 2019. Baru-baru ini pula, beliau telah melatih Team HAQ untuk mencapai tempat ke-5 & 6 di dalam MPL Musim 12.
Intan, Beyya, Fafau, Rina, & Ecstatic
Menurut Allcorrect, walaupun hampir separuh daripada 22.8 juta pemain e-sukan di Malaysia adalah wanita, namun pemain wanita yang berjaya ke arena profesional hanya sekelompok.
Perwakilan wanita yang terbatas dalam dunia e-sukan boleh dikaitkan dengan pelbagai faktor, termasuk ketidaksamaan gender serta kekurangan infrastruktur yang menyokong keperluan khusus wanita dalam permainan e-sukan.
Penajaan gelaran ini yang julung kalinya untuk sebuah pasukan semua wanita telah melakar sejarah dalam industri e-sukan Malaysia.
Pengarah Urusan Kimberly-Clark Malaysia, Lim Yu Chien berkata, “Kami sentiasa berpegang kepada misi untuk memperkasakan wanita dalam bidang di mana kekurangan peluang saksama telah menjadi penghalang untuk pertumbuhan dan kejayaan mereka.
"Justeru, kami percaya bahawa legasi kami dapat diteruskan dengan mewujudkan persekitaran yang saksama untuk wanita dalam arena e-sukan profesional.
"Kotex akan mempelopori usaha pembinaan ekosistem yang lebih baik bagi wanita dalam e-sukan dengan memanfaatkan potensi para atlet ini, serta menyokong kejayaan mereka kerana gender tidak ada apapun kaitan dengan kemahiran permainan.
“Di samping menyokong pasukan kami dan berkempen dengan pelan ‘pemasaran 360’ yang mantap, kami juga berharap untuk menormalisasikan perbualan tentang haid dan mengingatkan wanita dalam industri bahawa haid tidak harus menjadi penghalang untuk kejayaan mereka.
"Bagi kami, hal ini juga relevan dari sudut produk, kerana latihan e-sukan dan pertandingan biasanya mengambil masa yang berpanjangan, dan boleh menimbulkan ketidakselesaan semasa haid.
"Justeru, sokongan tambahan yang kami tawarkan termasuk pad Kotex Soft and Smooth kami yang selesa dan kukuh, dan didatangkan dalam pelbagai saiz untuk disesuaikan dengan aliran darah haid masing-masing,” jelas Lim.
Sebagai sebahagian daripada program penajaan ini, pasukan itu juga akan menerima bekalan pad Kotex Soft and Smooth selama tempoh satu tahun.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang menambah, “Dunia e-sukan terus didominasi oleh lelaki, di mana bakat dan sumbangan wanita sering dipandang remeh dan tidak dihargai.
"Ini adalah realiti yang kita mesti ubah – bukan hanya demi keadilan dan kesaksamaan, tetapi juga untuk memastikan kita tidak lagi mengabaikan potensi besar yang dimiliki para atlet wanita Malaysia kita.
"Saya yakin penajaan gelaran Kotex Elimin8tors akan menjadi inspirasi untuk memecahkan halangan dan memperkasakan atlet wanita kami untuk mengambil tempat yang sepatutnya dalam arena e-sukan profesional, di samping memacu kita ke arah industri e-sukan yang lebih saksama.
“Inisiatif sedemikian selari dengan visi kerajaan untuk menjadikan Malaysia hab e-sukan serantau. Kesungguhan kami ditonjolkan dengan peningkatan peruntukan bajet kepada RM30 juta untuk pembangunan e-sukan, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawan 2024.
"Ia adalah harapan Kementerian saya supaya inisiatif ini hanyalah satu permulaan untuk lebih banyak lagi tajaan dan tawaran komersial bagi wanita dalam industri e-sukan.
"Saya menyeru agar lebih banyak entiti korporat tampil ke hadapan dan mencontohi Kotex untuk menyokong atlet wanita dalam e-sukan dan sebagainya,” seru Hannah.
Ketua Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan MPL Malaysia di Moonton Games, Fikri Rizal Mahruddin berkata, “E-sukan MLBB menawarkan platform yang inklusif dan pelbagai di mana atlet e-sukan yang beraspirasi tinggi boleh bebas mempamerkan kebolehan dan mengekspresikan diri mereka – tanpa mengira gender mereka.
"Kami telah menyaksikan sendiri bakat atlet wanita MLBB kami, apabila pasukan wanita negara kami berjaya menaiki podium pada Sukan SEA ke-32 di Kemboja. Kami berbesar hati untuk mengalu-alukan Kotex Elimin8tors ke arena kompetitif MLBB.”
Fikri turut menyuntik motivasi kepada Kotex Elimin8tors dengan mesej khas.
“Semoga berjaya pada musim hadapan! Perjalanan anda akan menjadi inspirasi kepada wanita-wanita muda di seluruh negara dan membuka jalan kepada lebih ramai wanita untuk menceburi industri e-sukan. "Pertempuran di Land of Dawn sedang menanti anda!” ujarnya.
Baru-baru ini, Kotex Elimin8tors telah memulakan latihan dan berpindah ke asrama dan studio permainan mereka.
Menurut pengurus pasukan itu, Belle, sokongan sedemikian sudah lama ditunggu-tunggu.
“Sebagai bekas pemain dalam kancah MLBB, saya cukup memahami kekurangan yang dihadapi atlet e-sukan wanita di Malaysia. Kami tidak mempunyai infrastruktur, sokongan dan publisiti yang sama seperti rakan seperjuangan lelaki kami, walaupun kebanyakkan kami turut memiliki potensi besar.
"Jadi, penerimaan tawaran sedemikian daripada Kotex adalah sangat bermakna dan istimewa buat semua wanita dalam industri kami.
"Ini adalah julung kalinya sebuah jenama menyediakan sokongan kepada pasukan semua wanita yang meliputi pembangunan holistik, dari latihan hinggalah kesejahteraan dan kewangan.
"Ia bukan sahaja membolehkan Kotex Elimin8tors membuktikan diri mereka dalam MLBB, tetapi juga meningkatkan kehadiran wanita dalam e-sukan pada masa hadapan.” - KitaReporters/Kenyataan Media