
MOHD. Fahmi Mohd. Hatta (tengah) menjulang piala juara Footgolf Terbuka FG Loong di sebuah resort di Jiujiang, China sambil diapit oleh naib juara, Qiang Ma (kiri) dan Fairus Basar. - Kredit foto FH
SATU lagi sejarah sukan negara terukir di sebuah resort di Jiujiang, China pada 13 Julai 2025 lalu yang kali ini membabitkan sejenis sukan baharu, footgolf.
Sembilan belas birdie dan satu eagle (144 tendangan, 17 di bawah par) membolehkan Mohd. Fahmi Mohd. Hatta muncul pemain Malaysia pertama menjuarai Terbuka FG Loong anjuran Persekutuan FootGolf Antarabangsa (FIFG).
Pemain Kelab Footgolf Gemilang Empire ini memenangi kategori Terbuka kejohanan yang berstatus 250 dalam kalendar Jelajah Dunia FIFG ini setelah menewaskan pemain tuan rumah, Qiang Ma selaku naib juara dan rakan senegara Malaysia pemenang tempat ketiga, Fairus Basar serta 23 pencabar lain.
Kejayaan itu juga membawanya memungut 716 mata, sekali gus mencerahkan peluangnya untuk layak ke Piala Dunia Footgolf (Individu) 2026 di Acapulco, Mexico, kata anak jati Gombak, Selangor ini dalam kiriman mesej.
“Gelaran Terbuka FG Loong turut telah menempatkan saya di ranking ketiga Asia dan nombor satu negara setakat 15 Julai 2025.
“Misi saya seterusnya ialah Pusingan Akhir Utama 1000 Terbuka Jepun di Lapangan Bibai, Sapporo, Jepun pada 5 hingga 8 Ogos 2025,” katanya dalam kiriman mesej kepada media Malaysia.

POSTER ucapan tahniah oleh Kelab Footgolf Gemilang Empire atas kejayaan Mohd. Fahmi Mohd. Hatta di Jiujiang. - Kredit foto: FH
Fahmi, 44, menganggap Terbuka Jepun lebih getir memandangkan saingannya bakal diperhangat dengan kehadiran ramai pemain terbaik dunia dari seluruh Asia, Eropah dan Amerika.
“Inilah kejohanan yang menjadi tumpuan seluruh pemain khususnya dari Asia untuk mengumpul sebanyak mungkin mata kejohanan dalam kejohanan berstatus 1,000 itu (Jelajah Dunia FIFG).
“Saya akan melakukan persiapan secara rapi. Inilah medan penentu kemampuan saya untuk memasuki ranking antara 100 terbaik dunia sekali gus layak ke Piala Dunia Footgolf 2026,” katanya.


GAMBAR atas dan bawah - antara aksi hebat Mohd. Fahmi Mohd. Hatta dalam kategori Terbuka, Footgolf Terbuka FG Loong di Jiujiang. - Kredit foto: FH
Footgolf ialah sejenis sukan kacukan di mana pemain menyepak bola sepak ke dalam sebiji cawan (cup) dengan sekurang mungkin untuk menang.
Sukan ini dimainkan mirip golf kecuali pemain menggunakan bola sepak dan bukannya bola golf.
Pemain perlu menendang bolanya dan bukannya dengan memukul dengan menggunakan kayu golf, ke arah cawan yang bergaris pusat 50 hingga 52 sentimeter (cm) dan sedalam 28 cm di lapangan golf.

MOHD. Fahmi Mohd. Hatta (depan, tengah) dan rakan sepasukan negara menayangkan Jalur Gemilang dan piala kejuaraannya dalam Footgolf Terbuka FG Loong yang berstatus 250 Jelajah Dunia FIFG. - Kredit foto: FH