Seni & Sukan 14 Jan, 2023

Dulu Nabila-MK Clique! Aku Terluka! Kini Nabila-Khai! Selagi Ku Ada! Pasangan comel jika nak bersatu?

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


“Kalau lah kali ini orang pilihan hati Khai Bahar memang sepadan macam pinang di belah dua… comel dua dua… sesuai sungguh hangpa dua."

Begitu antara komen-komen netizen melihat gambar dan kolaborasi penyanyi popular Khai Bahar dan Nabila Razali ketika digandingkan dalam lagu duet pertama mereka, ‘Selagi Ku Ada’ ciptaan sepenuhnya komposer dan penyanyi Amylea Azizan.

"Kalau betul kan bagus," komen salah seorang peminatnya.

Lagi



Bagi peminat kedua-dua penyanyi ini pasti sudah mendengar lagu berkenaan waima ia merupakan runut bunyi drama ‘Kerana Cinta Itu Ada’, lakonan  Nabila sendiri bersama pelakon Aedy Ashraf yang kini sedang bersiaran dalam Slot Akasia TV3 setiap Isnin  hingga Jumaat jam 7 petang.



Pemilik nama sebenar Nur Nabila Mohd Razali, 30, melahirkan rasa syukurnya projek istimewanya bersama ‘Raja Smule’, gelaran Khai Bahar atau Muhammad Khairul, 28, ini berjalan lancar dan gembira dengan respons luar biasa peminat walaupun sebelum lagu ini dilancarkan secara rasmi pada 11 Januari 2023.

Iya, Khai Bahar dan Nabila Razali membuka tirai tahun baharu dengan buah tangan istimewa buat peminat mereka menerusi lagu duet 'Selagi Ku Ada' yang dilancarkan secara rasmi bertempat di Dadi Cinema, Pavilion, baru-baru ini.

“Alhamdulillah, saya bersyukur rancangan untuk menghasilkan lagu duet berjalan lancar. Juga berterima kasih kepada Khai yang sudi untuk menjadi rakan duet saya,” ujar Nabila Razali atau lebih mesra disapa Bella pada majlis pelancaran yang turut dihadiri pasangan duetnya Khai Bahar.


Dari kiri: Brandon Chan, Hermond Cheng, Prakesh Swaminathan, Khai Bahar, Nabila Razali, Adila Ramly dan Ivan Koh (dua dari kanan).


Bersama mereka adalah Brandon Chan, Ketua Perniagaan Baru, Universal Music Malaysia; Hermond Cheng, Pengarah, A&R, Pemasaran & Promosi, Universal Music Malaysia & Ketua Rakaman Def Jam Malaysia; Prakesh Swaminathan, Pengurus Kanan, Alternate Records & Talents; Adila Ramly; Pengarah, Global Keynote dan Pengarah; dan Ivan Koh selaku Pengarah Komersial & Strategi Digital, Universal Music Malaysia. 

‘Selagi Ku Ada’ merupakan lagu duet kedua Nabila Razali selepas melancarkan ‘Tak Ingin Usai’  bersama penyanyi sensasi dari Indonesia, Keisya Levronka dan tujuh single sebelum ini, manakala lagu duet ketujuh bagi Khai Bahar. 

Malah ini juga julung kalinya Bella berduet dengan penyanyi solo lelaki selain berkolaborasi dengan kumpulan Inteam menerusi  lagu ‘Setanggi Syurga’ pada tahun 2020.




Dan bagi Khai Bahar, gandingan kali ini merupakan kerjasama yang sememangnya ditunggu-tunggu. 

“Alhamdulillah, ini adalah kolaborasi yang saya nantikan dan bersyukur semuanya berjalan seperti dirancang. Malah pertama kali dengar lagu ciptaan Amylea membuatkan saya teruja dan berharap peminat juga dapat jatuh cinta dengan lagu ini,” ujar penyanyi yang mencetuskan popularitinya melalui lagu ‘Bayang’ ini.

Mungkinkah ada ‘bayangan’ atau ‘tanda-tanda’ Khai dan Nabila menjadi pasangan kekasih seperti yang dibayangkan oleh peminat menjadi kenyataan? Atau ia masih kekal bayangan kepada Bella seperti yang dibayangkan menjadi ‘pengantin’ dalam muzik video lagu ‘Aku Terluka’ bersama MK Clique?


Menjadi pasangan pengantin bersama MK Clique adalah bayangan gimik pada muzik video Nabila melalui lagu 'Aku Terluka'.


Apa pun yang pasti ‘Selagi Ku Ada’ mengisahkan tentang pasangan yang terpaksa berjauhan dan merindukan satu sama lain setelah satu krisis menyebabkan mereka berdua terpisah.

Namun selagi masih ada waktu mereka akan cuba untuk kembali bersama. 

Dan inilah gambaran yang dipersembahkan dalam muzik video 'Selagi Ku Ada' menjalani penggambaran selama dua hari di sebuah resort di Janda Baik, Pahang arahan sendiri oleh pengarah drama ‘Kerana Cinta Itu Ada’ iaitu Azri Izhar

Lebih menarik, lagu ini merupakan kolaborasi empat syarikat merangkumi Nabila Razali Entertainment, Global Keynote, Alternate Records Sdn Bhd & Grateful Music Entertainment dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia.

Lagu & muzik video rasminya boleh distrim dan ditonton dalam semua platform streaming dalam saluran YouTube Nabila Razali Entertainment manakala single lagu tersebut juga  sudah boleh didengari dalam semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music. - KitaReporters



10
14
0
10
0
You will be interested