Seni & Sukan 03 Sep, 2022

Terbaiklah Kampung Sawah Ring! Tubuh Sahabat Komuniti Desa! Jadi barisan hadapan Keluarga Malaysia!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


WALAUPUN tinggal di pedalaman atau kampung terpencil bukan alasan bagi penduduknya untuk tidak sama-sama menikmati sebuah kemerdekaan dengan penuh kedamaian serta keamanan dan seterusnya dapat diwarisi pula kepada anak-anak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambar, Tangkak, Johor, Sahrihan Jani, berkata negara pernah dijajah dan menghadapi pelbagai cabaran serta ancaman seperti kegawatan ekonomi di samping politik, namun rakyat seharusnya dapat bersatu untuk berganding bahu bersama pemimpin bagi menghadapi masalah itu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas)


“Dengan cara sebegini sahaja kita mampu menghadapi pelbagai cabaran itu dengan jaya tanpa membezakan fahaman politik yang dipegang demi kesejahteraan hidup pada masa depan dengan lebih cemerlang,” katanya ketika berucap merasmikan Program Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Program Sahabat Komuniti Desa (SKoD), KEMAS Daerah Tangkak bersama Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sawah Ring, Bukit Gambir, Tangkak, pada 20 Ogos 2022 lalu.

Sahrihan turut mengucapkan tahniah kepada semua masyarakat setempat khusus penduduk Kampung Sawah Ring yang sentiasa memberi kerjasama baik dalam setiap program kemasyarakatan yang diadakan dan beliau pula sering menghadiri aktiviti yang diadakan itu. 

“Amat membanggakan Kampung Sawah Ring sudah menempa pelbagai kejayaan dan yang terbaharu apabila terbabit dengan pameran pada MAHA Serdang, Selangor baru-baru ini,” ujar beliau pada majlis yang turut dihadiri Pengarah KEMAS Negeri Johor, Zamri Mohamad dan Ketua Kampung Sawah Ring, Minhad Saidon.


Sahrihan Jani melakukan gimik penubuhan Sahabat Komuniti Desa, Kampung Sawah Ring.


Objektif Bulan Kemerdekaan dan SkoD diadakan itu adalah bagi menyemai semangat cintakan negara dan patriotisme, mewujudkan persekitaran kampung dalam suasana ceria pada Bulan Kemerdekaan, dan membina semangat perpaduan dan kekitaan serta silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.

Sempena program berkenaan ahli jawatankuasa terbabit menyusun pelbagai aktiviti untuk disertai penduduk termasuklah senamrobik, pertandingan basikal berhias, mewarna kanak-kanak, sepak raga bulatan, dart, bowling padang, gubahan lipatan tuala, memasak kuih lapis dan gotong royong memasang bendera. 

Program itu turut diserikan dengan nyanyian lagu Bangsa Johor, Negaraku, lagu patriotik seperti Jalur Gemilang, Keranamu Malaysia dan Tanggal 31.


Sahrihan (baju merah) dan Zamri Mohamad melepaskan burung merpati sebagai gimik perasmian Program Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Program Sahabat Komuniti Desa (SKoD), KEMAS Daerah Tangkak bersama Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sawah Ring, Bukit Gambir, Tangkak, pada 20 Ogos 2022 lalu.


Sementara itu, Zamri ketika berucap berkata, SKoD merupakan satu program di bawah penyelarasan Jabatan KEMAS dan dilaksanakan di 182 kawasan Parlimen luar bandar bermula 2022 yang berperanan seperti rukun tetangga dengan fokus kepada komuniti luar bandar.

Menurutnya, jawatankuasa SKoD akan berperanan sebagai barisan hadapan ketika berlaku bencana seperti banjir dan sebagainya, manakala programnya seperti aktiviti kesedaran kesihatan, amalan gaya hidup sihat dan menangani isu keselamatan serta kebajikan penduduk kampung. 

Jelasnya, selain itu program SKoD yang dianjurkan turut memberi tumpuan kepada memupuk semangat patriotisme seperti sambutan Hari Kebangsaan dan hari-hari kebesaran Islam.


Pertandingan basikal berhias mencuit perhatian ramai pada program berkenaan.


“Tahniah kepada penduduk Kampung Sawah Ring kerana terpilih dalam program SKoD di Parlimen Ledang dan saya berharap usaha tanaman padi diteruskan kerana selain dapat menjana pendapatan ia juga boleh dijadikan sebagai pusat agropelancongan,” katanya.

Beliau turut mengumumkan peruntukan untuk menaik taraf dan membaik pulih bangunan Tabika KEMAS Kampung Sawah Ring bagi memberikan keselesaan kepada guru dan muridnya. - KitaReporters


Senamrobik disertai pelbagai peringkat umur peserta mendapat sambutan ramai.


Sahrihan menyampaikan hadiah kepada seorang peserta yang menyertai pertandingan diadakan sempena program itu.

29
10
0
10
0
You will be interested