
HECTOR Hevel (13) meraikan gol pertama Harimau Malaya terhadap Nepal dengan Dion Cools (21), Harith Haiqal Adam Afkar (6) dan Shahrul Saad (3) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. - Kredit foto: FAM
TIDAK sampai seminggu pun, Hector Hevel membuktikan hak dan kenapa dia wajib berada dalam kesebelasan utama Harimau Malaya malah pelaburan membawanya lebih daripada berbaloi.
Malah hanya pada penampilan sulung menyarung jersi kuning itu, perantara menyerang berdarah warisan Belanda ini sudah menggegar gawang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.
Gol kedua rembatan kaki kirinya mendorong langkah kanan Malaysia minit ke-30 pada kempen Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 Kumpulan F itu sebelum dilengkapkan oleh La’Vere Corbin-Ong untuk kemenangan 2-0 menerusi tolakan jarak dekat minit ke-71.

LA'VERE Corbin-Ong (tiga dari kanan) diberikan tahniah atas gol pelengkap kemenangan 2-0 terhadap Si Gurkha oleh rakan sepasukan Harimau Malaya termasuk Arif Aiman Hanapi (12), Harith Haiqal Adam Afkar (tiga dari kiri), Romel Morales dan kapten, Matthew Davies (2). - Kredit foto: FAM
“Satu daripada hari terbaik dalam hidup saya (apabila) bermain untuk negara (Malaysia) dan saya gembira ramai penyokong yang menyokong kuat kami.
“Saya gembira dapat memberikan kemenangan dan menggembirakan mereka. (Tercapai juga) sasaran utama untuk membanggakan mereka dengan kami,” kata Hevel, 28, selepas perlawanan pada 25 Mac 2025 lalu biarpun hanya disaksikan 7,895 hadirin stadium yang mampu memuatkan 40,000 orang.
Bekas pemain remaja Bawah 16 dan 20 Tahun Belanda ini memberitahu, dia dalam masa persediaan dan kehadiran yang singkat sedaya upaya berkomunikasi dengan rakan sepasukan di luar dan dalam padang.
“Gol itu datang daripada serangan yang bagus. Kami berlatih merapati lawan ke kotak penalti. Kemudiannya apa yang diusahakan, berlaku dengan baik.
“Rakan sepasukan dan kakitangan pasukan membantu saya apabila saya datang sini untuk menyesuaikan diri dan berlatih dengan gigih,” katanya yang menjadi antara ramuan Revolusi Harimau Malaya yang dicanang sejak 16 Disember 2024 lalu.
Hevel turut berikrar untuk memberikan segalanya demi negara angkatnya ini terutama apabila kempen kelayakan bersambung 10 Jun 2025 menentang Vietnam sama ada di Stadium Nasional, Bukit Jalil atau kekal di Iskandar Puteri.
“Jika kami terus meningkat sebegini, gigih dan yakin dengan apa yang kami buat, pasukan negara boleh layak (ke pusingan akhir di Arab Saudi) biarpun akan tiba lawan-lawan yang getir (juara Kejohanan ASEAN itu dan Laos),” katanya lagi.

FAISAL Halim menikmati lebih 16 minit akhir separuh masa kedua menentang Nepal dan mengembalikan keserasiannya dengan Arif Aiman Hanapi di sayap . - Kredit foto: FAM
Faisal Halim pula menganggap rindu dendamnya yang hampir setahun kepada Harimau Malaya sudah terubat dengan kemasukannya sebagai pengganti bek tengah Dion Cools pada minit ke-74.
“Alhamdulillah, terima kasih semua rakyat Malaysia, FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (Pemangku Sultan Johor) dan ketua jurulatih Peter Cklamovski yang memberi peluang dan semangat.
“Hampir setahun saya tidak bersama pasukan kebangsaan, buat kali pertamanya menyarung kembali jersi ini. Amat-amat rindu sebenarnya,” rujuknya pada penampilan akhir menentang Oman dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Bukit Jalil tanggal 26 Mac 2024 lalu.
'Mickey’ (julukannya) yang menjadi mangsa serangan simbahan asid pada 5 Mei 2024 lalu di Petaling Jaya, Selangor mengakui berdepan ‘The Gorkhalis’ (Si Gurkha) satu permulaan terbaiknya malah anugerah terbesar selepas mengalami lecur badan dan muka yang agak teruk.
“Peter tanya saya kalau pilih saya, bolehkah beri 100 peratus dan mahu main untuk pasukan negara? Jawapan saya, ya. Dia juga berpesan sebelum masuk padang supaya banggakan keluarga saya dan buat yang terbaik,” kata sayap kiri bertubuh cilik berusia 27 tahun ini.
“Walaupun dapat peluang bermain, saya rasa banyak lagi saya perlu perbaiki untuk perlawanan berikutnya. Memang agak lain, tak macam seperti sebelum ini, sebagai saya yang pemain utama dan normal. Sekarang Mickey sudah buktikan boleh beraksi, cuma perlukan masa untuk jadi yang terbaik,” katanya.

PETER Cklamovski seperti mana ketua jurulatih negara terdahulu, Kim Pan-gon dan Pau Marti Vicente membuat langkah kanan pada penampilan sulungnya. - Kredit foto: FAM
Seolah-olah menyedari ramai pemain Muslim negara yang akan menyambut Aidilfitri minggu depan, Peter menegaskan, “ayuh kita rayakan tiga mata dalam saku ini. Kita cakap fasal Vietnam lain kali.
“Pemain-pemain sudah berikan segalanya untuk meraih kemenangan. Saya tahu yang akan datang lawan lebih getir,” kata warga Australia ini yang menikmati malam pertama dengan tiga mata, sekali gus membawa Harimau Malaya mengekori Pahlawan Bintang Emas di anak tangga kedua Kumpulan F.
Kehebatan tuan rumah penghuni ranking ke-132 dunia diakui pengendali Si Gurkha (ke- 175), Matthew Ross: “Jelas sekali Malaysia pasukan yang lebih baik, bermutu tinggi dan punya pemain berkemahiran individu hebat yang mahu kami miliki.” - KitaReporters

HECTOR Hevel (13) melarikan bola daripada buruan penyerang Nepal, Ayush Galan dalam perlawanan Kumpulan F Kelayakan Akhir Piala Asia 2027. - Kredit foto: FAM
MALAYSIA: Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Matthew Davies, Shahrul Saad (Safawi Rasid), Harith Haiqal Adam Afkar, Romel Morales (Paulo Josue), Endrick Dos Santos (Daniel Sang Ting), Arif Aiman Hanapi, Hector Hevel, Nooa Hamzah Laine, Dion Cools (Faisal Halim), La'Vere Corbin-Ong (Nazmi Faiz Mansor).

LA'VERE Corbin-Ong (22) mengawal bola dengan kaki kirinya sambil cuba diasak penyerang Nepal, Mani Kumar Lama. - Kredit foto: FAM