.
Setelah sekian lama dinantikan, SonaOne, ikon hip hop tempatan, kembali menggegarkan persada muzik dengan single terbaharunya, "Stamina," yang dilancarkan pada 7 Julai 2025 lalu setelah tiga tahun menyepi dengan lagu terakhirnya. 'Satu Malam Di Temasek' feat Joe Flizzoe pada tahun 2022.
Menerusi platform penstriman digital, lagu 'Stamina' ini mengajak pendengar menyelami perjuangan dalaman untuk mempertahan ketenangan dan kekuatan hati di sebalik kekacauan hidup.
"Stamina" menampilkan sisi yang lebih introspektif dan matang daripada artis tersebut.
Pemilik bernama penuh Mikael Adam Mohd Rafae Michel Lozac’h, 36, ini menyifatkan lagu itu sebagai "tentang mengekalkan 'cool' dalam situasi sukar. Bila kita nak luah, tapi kita tahan, berharap orang tu tak hilang begitu sahaja."

Menurutnya, proses kreatif untuk "Stamina" dibina secara spontan -- bermula daripada rangkap vokal “mmm-mmm-mmm” yang dirakam secara rawak, namun kekal hingga ke versi akhir.
“Saya tak fikir terlalu banyak. Saya hanya ikut rasa. Ini stamina emosi -- ketahanan hati, bukan fizikal semata-mata,” tambahnya.
Beliau turut memuji kolaborator K1O kerana membantu memperhalusi lirik akhir, manakala komposer Wolfy pula membantu dalam pembentukan struktur lagu daripada draf awalnya.
"Kadang-kadang lagu terbaik datang bila kita berhenti cuba dan biarkan ia mengalir,” tambah SonaOne yang juga dikenali dengan gelaran Kid Kenobi.

Beliau juga menekankan kepentingan untuk mengekalkan intipati awal lagu itu.
"Demo 'Stamina' sendiri sudah memiliki jiwa. Kami hanya memperindahnya tanpa menghilangkan perasaannya. Saya mahu mengekalkan rasa asli itu. Dari lakaran ke gambaran penuh, ia berkembang, tetapi degupan jantungnya tidak pernah hilang,” ulasnya.
Bagi SonaOne "Stamina" bukan sekadar pelancaran tersendiri, tetapi juga permulaan kepada hasil karya yang lebih besar.
Beliau membayangkan fasa akan datang yang dinamakan "Kenobi season," atau 'musim Kenobi' menjanjikan "lebih banyak muzik, lebih banyak visual, dan lebih banyak cerita."
Fasa baharu ini, menurut artis tersebut, menandakan keyakinan yang diperbaharui dalam pendekatan kreatifnya.
"Sekarang saya lebih yakin nak berkarya dengan cara saya sendiri,” kata penyanyi yang membawa pulang trofi Anugerah Juara Lagu ke-29 (2015) melalui nyanyiannya bersama Joe Flizzoe dalam lagu 'Apa Khabar'. Sebelum itu, lagu tersebut juga memenangi anugerah Lagu Hip Hop Terbaik pada Anugerah Industri Muzik pada 2014.

Dan khabar terbaharunya kini, SonaOne komited untuk menyampaikan seni yang jujur tanpa bergantung kepada gimik atau sensasi palsu.
‘Tiada gimik, tiada sensasi palsu -- hanya karya jujur dengan produksi yang berkualiti,” jelasnya. Fokus utamanya sekarang, beliau mahu kekal pada karya yang ikhlas dan produksi yang berkualiti.
"Kalau lagu ni kena tepat dengan perasaan para pendengar, itu dah cukup bagi saya,” beliau menyimpulkan. - KitaReporters