.
Sejak akhir-akhir ini trend penyanyi menyampaikan lagu-lagu berinspirasikan kisah sendiri semakin meningkat sama ada lagu biasa atau pun lagu raya seperti yang ditampilkan Dato Seri Siti Nurhaliza (Raya Nak Ke Mana) dan anak buahnya Umairah (Tak Balik Raya) mahu pun lagu daripada ibu dan anak, Sharifah Zarina bersama Athalia, ‘Ooha Raya’.
Malah ramai lagi artis-artis dilihat menghasilkan lagu daripada pengalaman sendiri. Tak terkira bilangannya.
Terkini, dengan melodi yang memukau dan lirik yang menyentuh kalbu, pendatang baharu dalam persada muzik, Julia Duclos, turut mengambil konsep sama pada single terbaharunya, ‘Look And See’.
Tentu ada yang tertanya-tanya siapa Julia Duclos ni, macam jarang dengar je namanya?

Sebenarnya, Julia boleh dianggap orang baharu tetapi lama waima sudah memiliki sebuah EP, “Illusion” (2020) yang dirakam dan diterbitkan di sebuah studio di Stockholm, Sweden, yang pernah menerbitkan lagu daripada nama-nama besar dalam industri muzik seperti kumpulan K-pop popular, Girls Generation, duo pop Australia The Veronicas, dan DJ terkenal dari Norway, Kygo serta ramai lagi.
Selain itu, terdahulu juga, Julia turut mempunyai tiga single berjudul ‘Further’ (2018); Running’ (2019) dan remix ‘Running' (Sea Travel Remix) pada tahun 2020.
Penyanyi berdarah kacukan Perancis-Cina dan Parsi ini sudah bersedia untuk terus melakar namanya di persada muzik perdana tempatan melalui ‘Look And See’ atau jika diterjemahkan berbunyi ‘Lihat dan Tengok’.
Mungkin sudah sampai masanya untuk Julia ‘lihat dan tengok’ apakah keberadaannya kini mampu menghangat dan mewarnai industri seni muzik setelah hampir lima tahun menyepi tanpa lagu baharu.
“Saya tahu ini baru permulaan. Saya dan pasukan saya sedang berkembang bersama, jadi saya teruja dengan apa yang akan datang,” ujar Julia dalam satu temu bual.
Lagu yang sangat peribadi ini mencerminkan perjuangan Julia dengan konflik dalaman, keraguan diri, dan perjalanan untuk mengutamakan dirinya.
Dengan lirik yang mengungkapkan emosi tulen dalam mengatasi cabaran, "Look and See" berfungsi sebagai suatu lagu penenang untuk mereka yang menghadapi rintangan dan sebagai peringatan kuat tentang kekuatan yang datang daripada pemerkasaan diri.

"Saya menulis 'Look and See' pada suatu masa ketika saya benar-benar bergelut dengan konflik dalaman dan keraguan diri. Saya mahu lagu ini menggambarkan dialog dalaman yang saya alami pada ketika itu.
"Ia seperti memberi motivasi kepada diri saya melalui cabaran saya, mengingatkan diri bahawa tidak mengapa untuk memperjuangkan kepentingan terbaik saya sambil tetap menjaga orang lain,” cerita Julia.
Proses penciptaan "Look and See" merupakan usaha kolaboratif yang berkembang secara semula jadi.
Julia bekerjasama dengan Joek, seorang penerbit dari Malaysia, dan ini merupakan kali pertama beliau bekerja dengan seseorang dari rantau ini.
Keserasian antara mereka amat jelas, dan mereka membiarkan lagu itu berkembang secara organik tanpa memaksa sebarang pengaruh luar.
“Kami tidak mahu memaksa apa-apa. Kami hanya biarkan ia menjadi apa yang ia harus jadi sewajarnya,” tambah Julia.
Proses dari demo hingga lagu akhir juga unik di mana Julia dan Joek menghabiskan banyak masa untuk memperbaiki susunan dan lirik lagu tersebut.
Salah satu detik penting dalam produksi adalah apabila Julia menambah gitar yang dirakam bersama abangnya, yang membantu membawa tenaga lagu tersebut hidup, terutamanya pada bahagian lagu yang mencabar.

Video muzik (MV) untuk "Look and See" turut mencerminkan visi kreatif Julia. Dengan konsep yang diilhamkan oleh animasi gelap, fantasi, dan juga unsur seram, video ini menawarkan pengalaman mendalam ke dalam dunianya..
"Bahagian visual dalam seni saya sentiasa menjadi sesuatu yang saya ingin terokai lebih dalam," tambahnya.
Menurut Julia, video tersebut adalah pengenalan kepada dunianya malah amat mencabar bagi dirinya untuk mencipta sesuatu yang boleh dirasai olehnya dan peminat pada tahap yang lebih mendalam.
Proses penggambaran video muzik ini merupakan satu pengalaman baru yang mengujakan untuk Julia sekali gus rasa sangat teruja untuk berkongsi hasilnya dengan peminat.
Memandang ke hadapan, Julia lebih fokus untuk terus melancarkan muzik baru dan bekerjasama dengan artis lain di studio.
“Matlamat saya dalam masa terdekat adalah untuk terus melancarkan muzik dan memperluaskan peluang saya untuk bekerja dalam bidang yang saya minati. Kolaborasi adalah kunci, dan saya teruja untuk bekerja dengan artis lain untuk mencipta sesuatu yang istimewa,” akhirinya.
Apa pun bagi yang baharu mahu mengenali siapa Julia Duclos jangan terkeliru dengan Julie Duclos dah, yang merupakan seorang pelakon dan pengarah Perancis. Bak kata orang, 'Sama tapi tak Serupa' ya... - KitaReporters
