Seni & Sukan 18 Mar, 2025

Video! Marsha raikan budaya muzik Borneo melalui Misompuru! Gandingkan komposer, artis dari Borneo!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: farizaum@yahoo.com

Share this

.


Dalam keghairahan artis baharu dan lama mengeluarkan lagu raya. Juara Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), Marsha Milan Londoh, 39, mengambil langkah berbeza apabila melancarkan album terbaharunya. ‘Misompuru’, menggabungkan elemen muzik Borneo.

Kelahiran album tersebut ibarat impian menjadi realiti buat penyanyi berasal Sabah tetapi dilahirkan di Michigan, Amerika Syarikat ini selepas dua dekad berkecimpung dalam dunia seni sejak mendapat tempat keempat pada program realiti Akademi Fantasia pada tahun 2005.

Terkini, selepas kejayaan terbesar buat dirinya di AJL39, Marsha terus komited mengukuhkan namanya dengan memilih menghasilkan sebuah album yang menjadi simbol dedikasi dan kecintaannya terhadap muzik serta budaya Borneo.

'Mistompuru', yang membawa maksud “keramaian”, menampilkan elemen budaya Sabah dan Sarawak dalam sebuah karya yang merayakan kebersamaan serta keunikan muzik etnik. 

Dengan lima lagu yang menggabungkan pelbagai genre dan hasil kolaborasi bersama komposer berbakat dari Borneo antaranya seperti Alena Murang, Velvet Aduk, Amir Jahari dan Datuk Francis Landong, album ini dihasilkan bukan hanya untuk pendengar di Sabah dan Sarawak, tetapi juga untuk khalayak di seluruh Malaysia.

Salah satu lagu utama dalam album ini, ‘Nalan Nalan’, merupakan hasil ciptaan Simmy Lor dan Alena Murang dengan lirik yang ditulis oleh Alena sendiri, mengangkat keindahan bahasa Kelabit yang semakin jarang didengar, menjadikannya sebuah karya istimewa yang meraikan warisan budaya etnik tersebut. 



Dengan alunan Sape’ yang memperkaya irama folk pop, lagu ini membawa semangat kebersamaan dan kegembiraan. 

“Saya amat bersyukur kerana Marsha memilih untuk menyampaikan lagu dalam bahasa Kelabit. Ini adalah peluang besar untuk memperkenalkan bahasa yang semakin terancam ini kepada pendengar” komen Alena.

Marsha, yang bersemangat dalam seni muzik, menyambut baik peluang memasukkan lagu dalam bahasa Kelabit ke dalam albumnya.


Marsha dan Velvet Aduk, sama-sama pelajar program realiti nyanyan Akademi Fantasia.


Sementara itu, ‘Lintah Darat’, duet Marsha bersama penyanyi dan komposer Velvet Aduk, tampil dengan sentuhan moden folk yang membangkitkan rasa nostalgia. 

Lagu yang ditulis sepenuhnya oleh Velvet ini diinspirasikan daripada permintaan Marsha sendiri untuk sebuah lagu Sabah yang santai dan mudah dinikmati. 

Velvet menyatakan bahawa lagu ini menggambarkan realiti kehidupan, namun keunikan sebenar terletak pada penyampaian Marsha yang penuh jiwa dan keikhlasan. Lagu ini juga menjadi kesinambungan projek duet mereka selepas kejayaan Sumandak Sabah pada 2018.

“Bila lagu ini diberikan kepada Marsha, dia menyampaikannya dengan caranya sendiri, menjadikan lagu ini lebih unik dan berjiwa." ulas Velvet.



Album 'Misompuru' turut menampilkan ‘Pelangi Pasti,’ sebuah lagu ciptaan Amir Jahari yang juga Juara AJL38 membawa mesej ketuhanan dan motivasi. 

Komposer dan penyanyi berasal dari Kuching, Sarawak ini mengingatkan pendengar bahawa pergantungan terhadap manusia sering membawa kekecewaan, tetapi meletakkan harapan kepada Tuhan akan membawa perjalanan hidup yang lebih baik. 

Amir, yang sememangnya ingin lebih banyak berkolaborasi tahun ini (2025), menyatakan keterujaannya apabila mendapat tahu Marsha ingin menghasilkan sebuah album bertemakan Borneo.

“Tahun ini, saya memang ingin lebih banyak berkolaborasi. Jadi, apabila mendapat tahu Marsha ingin mengeluarkan album Borneo, saya terus tertarik untuk mengetahui lebih lanjut. Marsha sememangnya seorang penyanyi yang hebat dan mempunyai visi yang jelas, menjadikan proses ini lebih mudah dan lancar,” jelas Amir.



Amir dan Alena Murang.

Selain itu, lagu ‘Santai Saja’ yang dihasilkan oleh Rich Estranged dengan lirik oleh Marsha sendiri, menyerlahkan keindahan Sabah dan mengajak pendengar untuk merasai suasana santai di negeri tersebut. 

Menggabungkan elemen pop dan etnik, lagu ini memberikan susunan muzik yang segar serta menggambarkan budaya dan keunikan Borneo. 

Menurut Rich yang juga seperti Marsha, isterinya, Velvet  dan Amir adalah pelajar Akademi Fantasia, proses pembikinan lagu ini mengambil masa sekitar dua bulan dan melalui pelbagai perbincangan kreatif bagi memastikan setiap elemen muzik dan lirik selari dengan konsep yang diinginkan.

“Marsha memberikan sentuhan peribadi dalam lagu ini, menjadikannya lebih dekat dengan dirinya dan mencerminkan jiwanya sebagai seorang artis,” kata Rich atau nama penuhnya, Richard Lawrence.


Marsha turut kolaborasi bersama pasangan suami isteri Rich dan Velvet serta Francis Landong.


Menutup senarai lagu dalam ‘Misompuru’  ialah ‘Hey Aramai Ti’, duet antara Marsha dan legenda muzik Sabah, Datuk Francis Landong. 

Lagu ini mengangkat elemen tradisional dengan rentak Sumazau, melambangkan budaya masyarakat Kadazan, Dusun, Murut, dan Rungus (KDMR), sekali gus menekankan nilai perpaduan dalam komuniti serta meraikan kebersamaan melalui seni, muzik, dan semangat kekitaan.

Dengan kelima-lima lagu pilihan itu, Marsha berharap album istimewanya ini dapat dinikmati semua lapisan masyarakat kerana setiap lagu mempunyai kisah dan melodi tersendiri. 

“Dengan konsep keramaian yang menggabungkan pelbagai elemen budaya, album ini dihasilkan sebagai satu perayaan muzik yang meraikan keindahan kepelbagaian,” ujar Marsha.

Usaha Marsha dalam mengangkat bahasa dan muzik etnik ke arus perdana membuktikan komitmennya terhadap seni dan warisan budaya. sekali gus tidak lokek berkongsi keupayaan rakan-rakan seperjuangannya dalam Akademi Fantasia menyerlah sebagai penyanyi dan komposer berbakat.- KitaReporters


7
11
0
6
0
You will be interested