.
Nama Elliza Razak mungkin jarang didengar walaupun sudah lama berada di dalam industri sebagai bekas pelajar Akademi Fantasia (AF) musim ke-3 sewaktu Mawi dinobatkan sebagai Juara AF3 pada tahun 2005.
Pada waktu itu, Elliza cuma dapat bertahan sehingga minggu ke-2 apabila tersingkir. Namanya kembali disebut media apabila baru-baru ini dia mendedahkan sudah bercerai dengan suami yang dikahwininya, Khairul Adzwan Nasir, selama 12 tahun pada Februari 2024 setelah tiada lagi persefahaman dalam perkahwinan.
Elliza, 40, juga mendedahkan pernah menjadi mangsa keganasan rumah tangga dengan bekas suaminya sehingga terpaksa memfailkan perceraian disebabkan sudah tidak tertahan menanggung derita.
Terkini, ibu kepada sepasang cahayamata, Ellisya Khairul Adzwan, 10, dan Emmir Khairul Adzwan, 8, ini kembali menyinari dunia hiburan dengan single terbaharunya, 'Urai'.
Lagu balada ini merupakan kerjasama pertamanya bersama Alternate Records dan menampilkan sentuhan tiga komposer terkenal - Iqie Hugh, Omar K, dan Shazriq Azeman.
'Urai' mengisahkan perjalanan cinta yang berakhir secara tak terduga, membawa tema kehilangan dan perjuangan menerima kenyataan pahit.
“Lagu ini membawa emosi yang kuat tentang perasaan sedih, kecewa, dan akhirnya keinginan untuk melepaskan diri daripada belenggu kesakitan cinta yang telah berakhir.
"Liriknya sangat puitis, dengan penggunaan metafora seperti ‘daun cinta’ dan ‘bunga cinta’ untuk menggambarkan perjalanan emosi dan realiti pahit sebuah hubungan yang terlerai,” ujar Elliza seolah membayangkan pengalamannya sendiri apabila secara jujur beliau menyambung, ‘Saya percaya ramai dapat merasakan hubungannya dengan pengalaman mereka sendiri. Dengarkan dan rasai kejujuran dalam setiap bait lagu ini.”
Beliau yakin ‘URAI’ akan mencuri hati pendengar dengan melodi yang menyentuh perasaan dan lirik puitis yang penuh makna!
Menurut Elliza, cabaran terbesar dalam menghasilkan 'Urai' adalah dengan menyampaikan emosi mendalam tanpa kehilangan keaslian suara beliau.
“Lagu ini benar-benar menguji vokal saya. Ia membawa elemen unik dengan penyusunan melodi yang berbeza daripada single-single saya sebelum ini yang lebih kepada genre catchy. Lagu ini memerlukan saya untuk benar-benar mendalami lirik dan melodi supaya mesej dapat sampai kepada pendengar,” tambahnya.
Kerjasama bersama Iqie Hugh, Omar K, dan Shazriq Azeman merupakan pengalaman bermakna bagi Elliza.
“Saya merupakan penggemar Omar K sejak lama dan sangat mengagumi karya Iqie Hugh serta pengalaman Syazriq dalam industri musik,” ujar Elliza sambil mengaggap mereka sangat profesional dan memahami visinya untuk lagu ‘Urai’.
Dengan 'Urai', Elliza meneroka dimensi baharu dalam seni muziknya, menyeimbangkan gaya khasnya dengan elemen segar yang diyakini akan memukau pendengar lama dan baharu.
Lagu ini juga dipilih sebagai runut bunyi (OST) untuk drama Akasia, ‘Akad Yang Terlindung’, yang bakal bersiaran mulai 14 Januari 2025 di TV3.
Sementara itu, memberikan pandangannya. Iqie Hugh memuji dedikasi Elliza sepanjang proses rakaman.
“Elliza Razak seorang artis yang berbakat, karismatik, dan sangat profesional. Suara lunaknya memberikan dimensi istimewa kepada URAI,” ulas Iqie sambil memaklumkam lagu tersebut wajib didengar kerana melodi dan mesejnya mampu membangkitkan emosi pendengar.
Iqie mengajak peminat dan pendengar untuk merasai kejujuran dan emosi yang dibawakan oleh Elliza Razak melalui ‘Urai’.
Untuk rekod, selain dikenali sebagai penyanyi, Elliza Razak turut mencipta nama dalam dunia lakonan, pentas teater, dan sebagai pelakon suara untuk rancangan Disney, drama Korea, kartun, serta drama radio.
Terkini, dengan 'Urai', Elliza kembali menghangatkan industri seni hiburan dan membuktikan kehebatannya dalam menyampaikan emosi mendalam melalui muzik.
Semoga ibu tunggal ini terus tabah mengharungi kehidupan membesarkan anak-anak keseorangan! - KitaReporters
Anak-anak adalah kekuatan Elliza...