Seni & Sukan 11 Nov, 2024

Pertembungan KL Thunder, Tentera Udara Thai! Janjikan El Clasico Takraw! Mirip Piala Dunia Istaf!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

SYAHIR Rosdi membantu Kuala Lumpur Thunder menjuarai Divisyen Perdana STL 2024. - Kredit foto: PSM


BAGAIKAN temu janji ulangan epik! Tidak keterlaluan juga jika digelar 'El Clasico de Sepak Takraw' (Sepak Takraw Klasik).

Seperti mana perseteruan Barcelona-Real Madrid dalam La Liga bola sepak Sepanyol, begitu jugalah apabila Malaysia dan Thailand berentap di gelanggang berkeluasan 81.74 meter persegi ini.

Kalau beregu dan antara regu sudah berpihak kepada Malaysia sedangkan Si Gajah Putih menjuarai regu berpasukan Kejohanan Sepak Takraw Piala Dunia Istaf di Kuala Lumpur pada 22 dan 26 Mei 2024 lalu, Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STL) 2024 pula dijangka mengulanginya di Stadium MBSJ, Serdang Jaya, Selangor.

Perlawanan akhir Piala Juara-Juara STL itu pada 17 November 2024 ini pasti ditunggu-tunggu untuk menemukan juara baharu Divisyen Perdana STL 2024, Kuala Lumpur Thunder dan Tentera Udara Diraja Thailand yang seperti bayangan pasukan kebangsaan masing-masing.


AMIRUL Zazwan Amir, apit kiri KL Thunder yang pasti mahu menebus kekalahan kepada regu Thailand yang dianggotai Pichet Pansan dan Wichan Temkort dalam final Sukan Asia Hangzhou 2023 dan Piala Dunia Istaf 2024. - Kredit foto: PSM


Namun mereka perlu memastikan diri sebagai juara Kumpulan A dan B, sekali gus mengelak pertemuan lebih awal dalam separuh akhir pada 16 November 2024 sebaik sahaja tirai saingan disingkap pada 13 November 2024. 

Kelima-lima pemain termasuk simpanan Kuala Lumpur Thunder yang juga pemain Malaysia ialah Syahir Rosdi, Zarif Marican Ibrahim Marican (tekong), Azlan Alias, Redwan Hakim Muhammad (perejam) dan Amirul Zazwan Amir (pengumpan).

Tiga daripada lima pemain Tentera Udara Diraja Thailand iaitu Siriwat Sakha, Pichet Pansan dan Wichan Temkort pula merupakan tonggak juara regu berpasukan Piala Dunia malah pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou 2023 Istaf.

Selebihnya ialah tekong dan apit kanan simpanan, Nichakul Seehakai dan Phutawan Sopa.


PEREJAM kidal, Pichet Pansan dan pengumpan, Wichan Temkort (kiri) ketika beraksi pada Piala Dunia Istaf di Kuala Lumpur, bakal tampil di Serdang Jaya. - Kredit foto: TIA


SERVIS kidal deras dan gelagat Siriwat Sakha yang sesekali menyakat lawan pasti dinanti-nantikan para peminat sepak takraw Malaysia. - Kredit foto: TIA


Phutawan merupakan apit kanan lampai yang pernah menganggotai barisan pemenang pingat emas Sukan SEA Kemboja 2023 dan pada 27 Oktober 2024 lalu, membantu negaranya menjuarai Terbuka China Kerjasama Lancang-Mekong di Nakhon Nanning, China.  

Thailand seperti diduga menjuarai kejohanan yang disertai negara geografi sekitar tanpa mampu dicabar oleh tuan rumah, Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam.

Kali ini format dan acara Piala Juara-Juara STL terhad kepada regu dengan tiga lagi pasukan jemputan luar negara ialah Garuda Indonesia, India Fighters STFI dan MGPC Singapura.  

Empat kelab tempatan pula berdasarkan ranking dan pencapaian pada Divisyen Perdana yang berakhir di Arena Larkin, Johor Bahru pada 3 November 2024 lalu.

Mereka ialah Perak Bison, Selangor Pistons dan Negeri Sembilan Antlers. - KitaReporters


PICHET Pansan (12) bakal bertembung dengan seorang lagi perejam Malaysia, Noraizat Nordin (mengadang) atau perejam import Thailand, Treepong Rawangpai yang mewakili Perak Bison dalam saingan Kumpulan B Piala Juara-Juara STL 2024. - Kredit foto: TIA


ZARIF Marican Ibrahim Marican bakal diharapkan servis gugur dan berhelahnya jika Syahir Rosdi kurang menyengat bertemu Tentera Udara Diraja Thailand. - Kredit foto: TIA 

14
9
0
10
0
You will be interested