Seni & Sukan 21 Nov, 2024

Yeoh, perginya Bapa Muhibah Bola Keranjang! Jurulatih tim emas 1989! Tokoh FIBA, ABC, SEABA, MABA!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

YEOH Choo Hock berwibawa dan berjaya sebagai pemain, ketua jurulatih, pegawai teknikal dan pentabdir sukan bola keranjang Malaysia, Asia Tenggara, Asia dan dunia. - Kredit foto: MOM 


MENDIANG Datuk Yeoh Choo Hock akan sentiasa dikenang sebagai jurulatih pasukan bola keranjang lelaki negara yang terakhir mengalungi Malaysia pingat emas Sukan SEA pada 25 Ogos 1989 di Kuala Lumpur.

Sehingga hari ini, pingat itu merupakan hanya yang kedua pernah diraih Malaysia selepas Sukan SEA Jakarta 1979 dengan sukan ini mula memasuki temasya serantau dwitahunan tersebut pada 1977 juga di ibu negara.

Dia yang menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Cyberjaya, Selangor pada 15 November 2024 lalu dalam usia 80 tahun, meninggalkan seorang balu, Hong Eu Thee dan dua anak perempuan, Yeoh Ee Leen dan Yeoh Ee Von.

Choo Hock yang pernah menyarung jersi pasukan Perlis dalam Kejohanan Kebangsaan Piala Agong 1969, dilahirkan pada 10 Disember 1944.

Terdahulu bekas Setiausaha Agung dan Naib Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) dari 1990 hingga 2011 ini, dimasukkan ke hospital itu kerana kesukaran bernafas, lapor media.

Skuad negara menjuarai liga sepusingan bola keranjang lelaki Sukan SEA Ke-15 di Stadium Negara, Kuala Lumpur setelah menewaskan Singapura 106-93, Filipina 107-99, Thailand 104-86 dan Indonesia 113-74.

Antara pemain negara handalan didikannya ialah Wong Chee Keong dan Oi Guan Siu.


POSTER ucapan takziah dalam laman sosial Majlis Olimpik Malaysia (MOM) buat keluarga Yeoh Choo Hock. - Kredit foto: MOM


Choo Hock, bekas pendidik, pensyarah dan nazir pendidikan jasmani yang bersara awal pada 1983, menceburi karier kejurulatihan pasukan lelaki dan wanita kebangsaan dari 1975 hingga 1989.

Juga sebagai jurulatih dan pengurus, dia memimpin pasukan lelaki Malaysia yang membawa pulang dua pingat perak daripada Sukan SEA Singapura 1983 dan Jakarta 1987 selain menduduki tempat ketujuh Sukan Asia New Delhi 1982 daripada 13 negara peserta.

Bersama MABA, dia turut pernah menjadi Timbalan Setiausaha Agung dari 1984 hingga 1990 manakala dengan Liga Bola Keranjang Malaysia (MBL), dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dari 1995 hingga 2006.

Ketokohannya sebagai pentadbir turut diiktiraf antarabangsa apabila menyandang pula jawatan Penasihat Teknikal kepada Setiausaha Agung Konfederasi Bola Keranjang Asia (ABC, kemudiannya Persekutuan Bola Keranjang Antarabangsa (FIBA) Asia) dari 1983 hingga 1990.

Peranan-peranan lainnya di arena pentadbiran termasuk Setiausaha Agung Persatuan Bola Keranjang Asia Tenggara (SEABA) 1994-2015 sehingga menjangkaui FIBA Asia selaku Timbalan Setiausaha Agung (1994-1998), Setiausaha Agung (1998-2012) dan Setiausaha Agung Kehormat (sejak 2012).


YEOH Choo Hock yang dikurniakan Anugerah Kepemimpinan Sukan MSN 2015, diapit oleh Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan, Mohd. Al-Jufferi Jamari (pencak silat) dan Pandelela Rinong (akuatik terjun). - Kredit foto: MOM


Malah beberapa jawatan kanan FIBA pernah disandangnya seperti Ahli Jawatankuasa Teknikal (1990-1994), Ahli Lembaga Pusat (1998-2006), Ahli Majlis Pentadbiran (1998-2006) dan Naib Presiden (2003-2006) serta Bendahari dan Naib Presiden Persatuan Bola Keranjang Komanwel (CBF), 1983-1997 dan 1998-2006.

Choo Hock juga berpengalaman luas dalam hal-ehwal teknikal penganjuran bola keranjang antarabangsa sepanjang 1990-an dan 2000-an yang meliputi Kejohanan Dunia, Kejohanan Asia dan Kejohanan Persatuan Bola Keranjang Asia Tenggara (SEABA), Sukan SEA 1985, 1991, 1993, 1997, 1999, 2001 dan 2003, Sukan Asia 1990, 1994, 1998, 2002 dan 2010 serta Sukan Olimpik 1992, 2000, 2004 dan 2008.

Pelbagai bentuk penghargaan jasa juga menjadi miliknya seperti Anugerah Pengiktirafan Ulang Tahun Ke-40 ABC 2000, Anugerah Sepanjang Hayat John Wooden 2001 oleh Persatuan Bola Keranjang Amerika Syarikat (USBA), Anugerah Si Pengubah FIBA Asia 2012, Anugerah Kepemimpinan Sukan Majlis Sukan Negara 2015, Ahli Dewan Terbilang Majlis Olimpik Malaysia (MOM) 2015 dan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat MABA 2024.


YEOH Choo Hock menerima anugerah FIBA. - Kredit foto: MABA


DINA Rizal (kiri) dan Yeoh Choo Hock (empat dari kiri) bergandingan menjayakan penganjuran karnival bola keranjang bertiga (3x3) muhibah, Bola Keranjang Anda Saudaraku Piala Datuk Yeoh Choo Hock 2015. - Kredit foto: DR


Antara segala kejayaan pasukan negara dan pencapaian serta pengiktirafan sebagai pentadbir, Choo Hock sebenarnya berhak digelar ‘Bapa Muhibah Bola Keranjang Malaysia’ kerana wawasan dan keazamannya untuk menjadikan sukan ini disertai pemain berbilang bangsa dan bukan lagi seperti kerap dicop ‘sukan dominan kaum Cina’.

Sebuah kejohanan untuk pemain bukan Cina pernah diperkenalnya, pada 1973 hingga 1974 sebelum dihidupkan semula pada 1995 dengan dipanggil Piala Sedap malah dia pernah mewujudkan satu kempen penggalakan, ‘Bola Keranjang Demi Keamanan’.

Pada 1974, kegigihan dan cita-cita besar Choo Hock itu turut berjaya melahirkan Piala Hamdan dan Piala Zainab, dua pertandingan bola keranjang antara sekolah berasrama penuh lelaki dan perempuan sehingga sukan ini popular pada kalangan pelajar kaum bumiputera Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Pada 2015, seorang penggiat badan bukan kerajaan sukan SportsUnite, Datuk Dina Rizal mengambil inspirasinya dan memajukan wawasan muhibah itu dengan menganjurkan karnival bola keranjang bertiga (3x3), Bola Keranjang Anda Saudaraku (U R My Bro) Piala Datuk Yeoh Choo Hock. - KitaReporters


PRESIDEN MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (kiri) menyampaikan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat MABA kepada Yeoh Choo Hock dalam Majlis Makan Malam MABA pada 27 Januari 2024 di Kuala Lumpur. - Kredit foto: MOM


 

TIM bola keranjang negara pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 kendalian Yeoh Choo Hock dalam satu majlis pada 2017. - Kredit foto: NG

14
8
0
10
0
You will be interested