Seni & Sukan 04 Apr, 2023

Video| Siti Nurhaliza teruja Menjaga Cintamu! Lagu OST filem Anwar: The Untold Story! Jadi fenomena!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this

Mengetahui filem ’Anwar: The Untold Story’ bakal menjadi filem fenomena yang mengisahkan kehidupan Perdana Menteri Ke-10 (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin tidak menolak tawaran untuk menyanyikan lagu runut bunyi asal (OST) filem itu.

OST berjudul ‘Menjaga Cintamu’ ciptaan komposer Indonesia, Andi Rianto dan lirik oleh Sekar Ayu Asmara dirakam di studio Cranky Music, milik komposer Aubrey Suwito, baru-baru ini.


Siti Nurhaliza ketika proses rakaman vokal

Siti tertarik dengan lagu itu yang menggambarkan kesetiaan dan pengorbanan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail secara amnya bagi melambangkan wanita yang setia mencintai pasangan. 

Justeru, Siti tidak menolak perlawaan penerbit eksekutif Zukiflee Anwar Ulhaque atau Zunar dan pengarah dari Indonesia, Viva Westi, tambah pula filem ini selain Malaysia ia turut ditayang di Indonesia.

Siti Nurhaliza sudah ada nama di Indonesia dan OST terbaharu ini akan membantu meningkatkan popularitinya di negara itu.


Siti Nurhaliza bersama pengarah filem Viva Westi (kanan). - Kredit foto: IG Bianglala Enterteinment

Andi Rianto membimbing vokal Siti Nurhaliza ketika sesi rakaman dan selesai dalam tempoh sejam.

Beliau menyifatkan rakaman vokal  itu berlangsung cepat kerana kebiasaannya dia mengambil masa dua hingga tiga jam untuk rakaman vokal. Andi menyifatkan Siti Nurhaliza mempunyai kawalan vokal yang baik walaupun terkesan wabak Covid-19 tidak lama dahulu.

Filem ‘Anwar:, The Untold Story’ dijangka ditayang umum di Malaysia dan Indonesia pada 13 Mei 2023.

Tambah Siti, dia juga sudah lama mahu bekerjasama dan menyanyikan karya ciptaan komposer hebat dari seberang, Andi Rianto. 

Jadi Siti berterima kasih atas tawaran penerbit eksekutif, Zunar dan pengarah dan penulis skrip dari Indonesia, Viva Westi kerana memberikan kepercayaan kepadanya menyanyikan lagu ‘Menjaga Cintamu’. 



Filem ‘Anwar: The Untold Story’ terbitan Bianglala Entertainment dengan skrip dan arahan Viva Westi menelan kos kira-kira RM10 juta dan menjalani penggambaran dalam ‘senyap’ ketika Perintah Kawalan Pergerakan pada 2021 sewaktu pemerintahan kerajaan terdahulu.

Pihak penerbit ketika itu menghadapi risiko filem ini tidak dapat ditayang kerana ketika itu ditadbir kerajaan lain. Bagaimanapun filem ini mendapat ‘nyawa baru’ apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai Kerajaan Perpaduan dan menjadi Perdana Menteri.



Filem ‘Anwar: The Untold Story’ mengangkat kisah benar ranjau politik Anwar Ibrahim ketika menjadi Menteri Kewangan dari 1991 hingga dipecat pada 1998. Serta pengalaman pahit ketika berada dalam penjara.

Filem ini mampu memantapkan kewibawaan Anwar sebagai tokoh politik ‘teraniaya’ yang hebat. 

Filem ini hanya menampilkan dua pelakon Malaysia iaitu Farid Kamil sebagai Anwar Ibrahim dan Hasnul Rahmat sebagai Tun Dr Mahathir. Watak bagi anggota keluarga Anwar yang lain dilakonkan oleh pelakon Indonesia.

Mereka ialah Acha Septriasa sebagai Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Saskia Chadwick sebagai Nurul Izzah Anwar. Dewi Irawan sebagai Che Yan (ibu Anwar), Piet Pagau sebagai Ibrahim (bapa Anwar), Felice Lovely Hidayat sebagai Nurul Iman Anwar dan Azzahra Annasera sebagai Nurul Hana Anwar. - KitaReporters



13
12
0
15
0
You will be interested