Seni & Sukan 20 Sep, 2023

Video| Redza bantu pendatang baharu, Tricia Sinidol jiwai watak! Drama terbaharu Luruhnya Bunga Cinta!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Kak dari mana? Saya Redza,” itulah pertanyaan pertama yang disuarakan pelakon yang hampir setiap  tahun wajahnya tampil dalam drama-drama TV3,  Ahmad Redza Rosli, 31, atau lebih mesra disapa Redza Rosli sahaja.

Sejujurnya inilah pertama kali rasanya Kak Fas disapa terlebih dahulu  oleh seorang artis waima selama hadir menemuramah bintang-bintang terkenal seperti Redza, jarang sekali artis terlebih dahulu memperkenalk dirinya.

Memanglah ini pertama kali mendekati Redza Rosli tetapi jika tidak diperkenal dirinya pun, memang semua kenal siapa gerangannya.


Redza Rosli. - Foto: FAS.


Tersentuh seketika Kak Fas dengan sapaannya sekali gus terserlah sifatnya yang merendah diri walaupun sudah bergelar artis terkenal. 

Mungkinkah kerana Kak Fas dan seorang lagi rakan media lain yang pertama menghampiri ruang di mana Redza dan pasangan pelakonnya, Tracie Sinidol sudah bersedia duduk menanti rakan-rakan media lain yang pada awalnya sudah berada di meja panjang tetapi diminta ke hadapan untuk memudahkan temu ramah disempurnakan dengan lebih selesa.

Apa pun baharulah Kak Fas mengenali lebih dekat pelakon bernama Redza Rosli ini yang dikatakan ‘anak emas’ TV3 waima boleh dikatakan hampir setiap tahun ada sahaja wajahnya dalam drama yang ditayangkan di TV3 sejak 2014.



“Saya bukan ‘anak emas’ ini semuanya rezeki dan alhamdullilah apabila ada masa yang terluang saya tidak menolak rezeki,” ujar Redza yang memegang watak Nuh ketika ditemui pada sidang media drama “Luruhnya Bunga Cinta’ yang akan memulakan episod pertamanya daripada 40 episod keseluruhannya pada 19 September 2023.

Turut hadir bersamanya barisan pelakon terlibat seperti Tracie Sinidol (Nuha), Nabila Razali (Sara), Bella Luna (Aleen), Auni Yusrii (Aara), Aniq Durar (Awal),n dan ramai lagi termasuk Raja Azmi dan Laila Nasir.



Berkongsi lanjut, Redza memberitahu, lakonannya dalam drama yang diadaptasi dari siri drama popular Korea, “Autumn In My Heart’ itu dilakonkannya mengikut kehendak Pengarahnya, Muhamad Riza Baharudin berdasarkan kepada budaya Malaysia.

“Saya tidak mahu meniru seratus peratus seperti gaya pelakon Korea dalam cerita itu, sebab ini pun adaptasi jadi kita perlu sesuaikan mengikut adat dan budaya kita. 

"Saya orang Melayu jadi perlulah kita bawa cara kita,” jelas Redza yang  tidak lokek berkongsi ilmu dan membantu pelakon-pelakon baharu seperti Tracie malah akui beliau sendiri pun masih belajar dan terima teguran.



Menurutnya, setiap teguran yang diterima harus diambil dengan positif bahawa teguran itu tanda orang sayang dan mahu membantu.

“Memanglah ada tekanan apabila melakonkan satu watak dari drama yang popular kerana jangkaan netizen tinggi tetapi saya ikut kehendak pengarah dan melakukan yang terbaik dengan ikhlas  kerana saya percaya keikhlasan itu membantu menjayakan tugasan kita,” tambah Redza.



Sementara itu, ‘heroin’ nya dalam filem ini, Tracie, berasal Sabah akui Redza banyak membantunya dalam lakonan.

“Sudah tentu loghat Sabah saya pekat jadi saya terpaksa hafal bertutur dalam loghat Melayu dan belajar bercakap selama lebih 5 bulan malah itulah cabaran paling berat saya rasakan tetapi saya sahut cabaran itu,” ujar Tracie yang tidak sangka dan terkejut dapat tawaran untuk berlakon watak utama setelah hadir ‘casting’.

Seperti Redza, beliau juga ada menonton drama asal Korea itu tetapi membawa wataknya mengikut kehendak pengarah dengan gaya tersendiri.

“Apabila mereka  memilih saya memegang watak utama bermakna mereka percaya dengan kebolehan saya jadi saya perlu memberikan yang terbaik untuk menghidupkan watak diberi,” tambah Tracie memperlihat wajah terujanya dan berharap selepas ini dapat tawaran berlakon pelbagai watak sama ada komedi, aksi atau thriller.


Tracie Sinidol.


Tambah Tracie menjawab pertanyaan media mengenai bidang nyanyian, walaupun beliau suka meyanyi tetapi masih belum menanam impian ke arah itu kerana lebih suka menceburi diri dalam lakonan dengan mencuba pelbagai watak.

Pelakon yang dikatakan mirip wajah Mira Filzah ini bagaimana pun mengakui  hanya sebahagian sisinya sahaja yang ada menyerupai aktres itu dari satu angle tetapi sebenarnya wajah mereka tidaklah serupa sangat.

Bercerita lanjut terhadap watak sedih yang sering dibawanya melalui “Luruhnya Bunga Cinta’, Tracie memberitahu, sebelum hadir ke set penggambaran beliau akan mengambil 'mood' dengan menanam perasaan sedih dalam dirinya. 

"Dalam drama ini banyak babak menangis yang saya perlu hadapi jadi saya perlu lembutkan hati dan banyak berdiam  sebelum 'shooting' agar dapat membina karakter sedih itu,” cerita Tracie.



‘"Luruhnya Bunga Cinta’ terbitan Global Station Sdn Bhd ini yang ditaja oleh Nivea bakal menemani penonton bermula pada 19 September 2023, setiap hari Isnin hingga Jumaat pada pukul 7.00 malam menerusi slot Akasia dan strim di iQIYI satu jam selepas siaran di TV3. 

Drama bersiri 40 episod berbanding 16 episod pada drama Korea  ini ditulis skripnya oleh Hafiz Halim, Intan Zarina Mohd Yasin dan Farah Bani. 

'Luruhnya Bunga Cinta' berkisahkan takdir dua gadis yang tertukar sejak bayi dan perubahan mendadak dalam hidup mereka selepas masa silam tersebut terbongkar beberapa tahun kemudian. 

Versi Malaysia ini juga memperkenal Sara, watak baharu lakonan Nabila Razali yang pasti menyuntik elemen segar dalam kisah cinta yang menyayat hati ini. 



Kisah bermula apabila Jamaludin dan Adita yang sedang menunggu kelahiran anak perempuan mereka, Aara (Auni Yusri)  mengambil keputusan untuk melahirkan bayi di klinik tempatan di sebuah daerah kecil kerana hujan ribut  melanda kawasan tersebut. 

Jalan utama ke laluan bandar besar ketika itu pula terhalang oleh sebatang pokok besar yang tumbang. Secara kebetulan, Noriah yang sedang sarat mengandung juga melahirkan anak perempuannya, Nuha (Tracie Sinidol) di tempat yang sama. 

Label tag nama ibu di katil bayi masing-masing telah terjatuh dan tersalah letak. Insiden ini menyebabkan Nuha dan Aara tertukar identiti mereka kemudiannya dibawa pulang oleh keluarga yang berasingan.

Drama asal Korea, “Autumn in My Heart’ yang popular  pada tahun 2000, dibintangi Song Seung-heon, Song Hye-kyo dan Won Bin ini  pernah disiarkan di TV3 dan mendapat sambutan hangat daripada penonton sehingga ramai yang menitiskan air mata menonton pengakhirannya. 

Begitu hebat impak maksimanya pada hati penonton.

Nak tahu samakah sambutan dan impaknya ‘Autumn In My Heart’ dalam versi Malaysia, degan tajuk ‘Luruhya Bunga Cinta’ ini, jangan lupa tonton drama ini. - KitaReporters

12
11
0
14
0
You will be interested