Seni & Sukan 25 May, 2020

Rakyat Terengganu lega! UMT dan UniSZA tak jadi digabungkan!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb [email protected]

Share this

PENANTIAN rakyat Terengganu selama lapan bulan untuk mengetahui keputusan kerajaan berhubung penggabungan dua universiti tersohor negeri itu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akhirnya terjawab apabila Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan penggabungan berkenaan. : KitaReporters

Universiti Malaysia Terengganu


Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) 


Keputusan dibuat oleh KPT yang sebelum ini menjadi teka teki sama ada penggabungan yang dicadangan kerajaan itu benar-benar berlaku atau sebaliknya melegakan rakyat negeri itu. 

Menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata keputusan yang dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor dan cabaran semasa.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad 


Katanya, antara lain faktor itu merangkumi perbezaan fokus tujahan yang ketara, penyelarasan fakulti akademik dan institusi penyelidikan sedia ada, selain mengambil kira tahap kesediaan warga kedua-dua universiti dalam membentuk satu identiti tersendiri sebagai institusi pengajian tinggi baharu kelak.

"Kementerian mengambil serius pandangan setiap warga universiti dalam melaksanakan penggabungan ini dan meneliti kesan, jika penggabungan ini diteruskan terutama terhadap pembangunan mahasiswa bagi kedua-dua universiti.

"Penggabungan UMT dan UniSZA juga akan memadamkan kejayaan yang dicapai dalam mencipta identiti serta mengembangkan fokus tujahan masing-masing hingga ke peringkat antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat, 22 Mei 2020.

Kenyataan Media Menteri Pengajian Tinggi berhubungan keputusan tidak menggabungkan UMT/UniSZA

Katanya, penggabungan itu turut dijangka akan membabitkan kos yang tinggi. Justeru, ia tidak akan diteruskan oleh kerajaan.

Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dalam satu kenyataan sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan bersetuju secara prinsip dengan cadangan penggabungan UMT dan UniSZA, selepas keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet pada 4 September 2019. 

Menteri Pendidikan ketika itu, Dr Maszlee Malik, berkata pihaknya telah menubuhkan jawatankuasa penggabungan bagi melakukan segala proses yang berkaitan membabitkan kementerian dan wakil kedua-dua universit terbabit.


Percaturan penggabungan UMT dan UniSZA itu bagaimanapun mendapat tentangan pelbagai pihak, termasuk Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan majlis perwakilan pelajar dan pemimpin setempat.

Bukan sahaja pelajar, tetapi warga pendidik, kakitangan sehingga pekerja amnya. 

Rakyat Terengganu tidak mengira latar belakang politik, agama dan bangsa turut sama berkongsi kesayuan itu.

Bukan setakat bantahan menerusi himpunan dan petisyen diadakan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), hantaran dan komen di laman sosial juga meriah oleh banyak pihak; cendekiawan, ilmuwan dan tidak kurang juga netizen. Mereka mahu kerajaan mempertimbang semula cadangan penggabungan itu.

Bagaimanapun dengan pengumuman Dr Noraini berkenaan ia satu berita yang amat gembira kepada rakyat negeri malah dianggap sebagai hadiah sempena Aidilfitri tahun ini.

Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar 


Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar, ketika mengalu-alukan keputusan kementerian itu berkata, pihaknya menyambut baik keputusan itu sambal bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan.

Katanya, UMT berbesar hati menerima perkhabaran itu yang turut dirasai oleh warga university sewaktu kita  menghadapi pelbagai dugaan ketidaktentuan bagi perancangan hala tuju 2020/2021 dan juga keadaan gentir yang menimpa akibat wabak  COVID-19.

“Seluruh warga UMT dan alumni menzahirkan rasa syukur kerana kebajikan serta peluang pekerjaan bagi kakitangan berstatus bukan tetap pun dapat diteruskan bagi mencurahkan khidmat bakt di UMT yang tercinta,” katanya dalam kenyataan media pada 22 Mei 2020.

Bekas Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh 


Sementara itu, bekas Penteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, turut gembira dan menyambut baik keputusan kerajaan tidak menggabungkan kedua-dua universiti berkenaan kerana kedua-dua universiti berkenaan mempunyai konsep dan falsafah berlainan.

"Saya sememangnya dari awal cadangan yang dibuat oleh kerajaan terdahulu melihat ia amat tidak sesuai dan merugikan rakyat Terengganu," katanya yang juga Ahli Parlimen Besut. - KitaReporters

5
1
0
0
0
You will be interested