Seni & Sukan 01 Jun, 2021

Video| Pemain naturalisasi dah ada, kacukan pun ada! Tiada alasan tak mampu layak ke Piala Asia!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menyambut ketibaan Cools di Dubai untuk memperkuatkan cabaran Harimau Malaya dalam pertandingan kelayakan Piala Dunia / Piala Asia. Sumber gambar: FAM


TEKA-TEKI siapakah pemain ke-26 yang bakal menyarung jersi pasukan Harimau Malaya pada kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), bermula Khamis, 3 Jun 2021 ini sudah terjawab apabila pemain kacukan Malaysia-Belgium, Dion Cools sah menyertai kem skuad kebangsaan, di Dubai, pada 31 Mei 2021.

Ekoran kemasukan Cools yang berpengalaman mewakili skuad Bawah 18, 19 dan 21 Tahun Belgium, Malaysia kini dibarisi gabungan tiga pemain natarulisasi, enam kacukan dan 17 pemain tempatan yang dilihat kombinasi mantap untuk membawa cabaran negara untuk layak sekurang-kurangnya ke Piala Asia.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Harimau Malaya



Tiga pemain naturalisasi adalah Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula sementara selain Cools, pemain kacukan yang memperkuatkan pasukan kebangsaan adalah Matthew Davies, La’Vere Corbin Ong, Junior Eldstal, Brendan Gan dan Samuel Somerville sambil dilengkapi bintang tempatan seperti Aidil Zafuan Abd Radzak, Farizal Marlias, Norshahrul Idlan Talaha dan Safawi Rasid.

Tidak dinafikan, harapan diletakkan penyokong ke atas skuad bimbingan Tan Cheng Hoe kali ini sangat tinggi yang memungkinkan peminat tidak dapat memaafkan jika kita gagal.

Apatah lagi bagi pengkritik yang hanya menunggu masa sesuai untuk meledakkan ‘peluru berpandu’ ke arah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ekoran rasa tidak puas hati dengan pemilihan beberapa orang pemain.


Kehadiran Liridon atas tiket naturalisasi diharap dapat memantapkan persembahan Harimau Malaya. - Foto FAM.


Malah ada juga secara terang-terangan tidak bersetuju dengan langkah badan induk itu menggunakan khidmat pemain naturalisasi yang dianggap sebagai tidak patriotik.

Salah seorang yang lantang menentang penggunaan pemain naturalisasi adalah legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh.

“Dulu tanpa pemain naturalisasi  pun Malaysia boleh layak ke Sukan Olimpik. Sekarang bawa mereka (pemain naturalisasi) pun tidak boleh bantu catat kemenangan,” kata Santokh kepada Bernama menempelak kekalahan Harimau Malaya 1-4 kepada Kuwait dan 0-2 kepada Bahrain dalam dua aksi pemanas badan baru-baru ini.

Malah tidak dinafikan sentimen ini bukan sahaja dirasai Santokh malah dikongsi sebahagian penyokong yang masih terbuai dengan kehebatan bola sepak Malaysia pada era 1970-an dan awal 1980-an.


Gabungan pemain naturalisasi, kacukan dan tempatan menjadi resipi untuk Cheng Hoe membentuk skuad yang mantap bagi menghadapi UAE, Vietnam dan Thailand pada kelayakan Piala Dunia / Piala Asia. Foto: FAM


Apa pun, hakikatnya, skuad Harimau Malaya perlu membawa pulang keputusan positif dari UAE bagi membuktikan bahawa langkah diambil oleh FAM itu adalah tepat bersesuaian dengan tuntutan bola sepak masa kini sebagaimana dipraktikkan oleh banyak negara termasuk kuasa besar bola sepak dunia seperti Sepanyol dan Perancis.

Berdasarkan pemain dimiliki sekarang yang dianggap sebagai kombinasi terbaik, Harimau Malaya tidak mempunyai pilihan kecuali menempah tiket sekurang-kurangnya ke Piala Asia.

“Layak ke Piala Dunia itu mungkin satu mimpi tapi dengan pemain yang kita ada sekarang, tak ada sebab kita tak mampu layak ke Piala Asia,” kata jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim.

“Kita sudah ada pemain naturalisasi. Kita juga ada pemain kacukan. Jadi, tiada alasan kalau kita tak layak. Saya yakin, penyokong juga tidak akan menerima apa juga penjelasan kalau kita gagal.

“Tidak dinafikan, situasi ini akan memberi tekanan kepada Cheng Hoe. Malah, tidak keterlaluan kalau saya katakan, ia adalah misi ‘do or die’ kepada beliau selaku jurulatih,” kata Irfan.


Irfan Bakti melihat Harimau Malaya kini mempunyai barisan pemain terbaik untuk melaksanakan misi layak sekurang-kurangnya ke Piala Asia. - Kredit foto: BH


Mengulas peluang Malaysia dalam kelayakan itu, Irfan berkata agak sukar untuk skuad negara menewaskan UAE, pada Khamis, 3 Jun 2021 ini, namun perlu memanfaatkan perlawanan menentang Vietnam dan Thailand yang dianggap setara dengan kemampuan kita.

“Memang susah nak ‘makan’ UAE yang berada pada kelas berbeza dengan kita tapi kita masih ada peluang untuk tewaskan Vietnam dan Thailand. Inilah perlawanan yang perlu kita manfaatkan,” katanya,” ujar jurulatih Kuching City FC itu.

Sementara itu seorang lagi jurulatih berpengalaman, Wan Jamak Wan Hassan, di atas kertas, Malaysia memang sepatutnya mampu layak sekurang-kurangnya ke Piala Asia.

“Memang tiada alasan untuk gagal selepas kita membuat ‘pelaburan besar’ ke atas pemain naturalisasi. ‘Harga’ yang perlu kita bayar untuk dapatkan mereka bukan murah iaitu taraf kerakyatan. Kita bukan bagi kerakyatan ‘percuma’.


Wan Jamak (kiri) berharap pemain naturalisasi dapat membalas kepercayaan yang diletakkan ke atas mereka dengan membawa kejayaan kepada skuad negara. - Foto: Kuching City FC.


“Sudah tentu kita mahu mereka membalas balik dengan membawa kejayaan kepada skuad kebangsaan. Kalau tidak ia adalah pelaburan yang merugikan bukan sahaja kepada bola sepak tapi juga negara,” katanya.

Menurut Wan Jamak, walaupun berdasarkan barisan pemain yang ada, beliau memiliki keyakinan tinggi kepada anak didik Cheng Hoe, namun yang menentukan kejayaan adalah pemain yang diturunkan pada hari perlawanan.

“Saya harap mereka bermain demi lencana di dada tidak kira sama ada anda pemain naturalisasi, kacukan atau pemain tempatan. Anda semua sekarang turun sebagai rakyat Malaysia!” tegas Wan Jamak. - KitaReporters


Cheng Hoe berdepan cabaran getir serta misi 'hidup atau mati' dalam membawa misi negara ke Piala Asia/Piala Dunia. - Foto: FAM


Pemain naturalisasi, Guilherme De Paula merupakan rekrut terbaharu skuad kebangsaan bagi menajamkan jentera serangan Harimau Malaya. - Foto: FAM.

0
0
1
0
0
You will be interested