Seni & Sukan 04 Jun, 2021

60 filem: Farid Kamil 'Masih Ada Rindu' dunia lakonan! Buat comeback selepas 4 tahun berehat!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Farid Kamil di samping Mimi Lana dalam 'Masih Ada Rindu'.


PENGARAH dan pelakon, Farid Kamil, 40, berdoa agar dijauhkan daripada orang-orang yang mempunyai niat buruk terhadapnya namun menerima segala ketentuan Allah SWT atas apa yang telah tertulis dan berlaku ke atas kehidupannya selama ini.

“Apa yang terjadi telah tertulis, saya berserah diri pada yang maha Esa kerana dia lebih mengetahui apa seterusnya akan terjadi namun saya bersyukur pengalaman yang dialami secara tak langsung mematangkan saya dan memberi satu rahmat berbeza yang tidak pernah saya rasa sebelum ini,” ujar Farid Kamil Zahari.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Farid Kamil

Kredit foto: Instagram Farid Kamil @ faridkamilz


Mengulas lanjut mengenai kisah silamnya yang terpalit kes jenayah, suami kepada pelakon Diana Danielle ini memberitahu, beliau tidak pernah rasa takut untuk hidup  atau pun rasa malu kerana kebenaran itu wujud malah sedar di mana kedudukannya.

“Jika dah ditakdirkan tubuh badan tak mampu memberi alunan sama atau getaran sama bermakna di situlah titik penamat dan pemisahnya sama ada saya perlu bersara atau tidak,” akui Farid ketika ditemu bual pada sidang media drama ‘Masih Ada Rindu’ secara dalam talian pada 2 Jun 2021.



Hadir bersama dalam sidang media virtual berkenaan, pengarah drama ‘Masih Ada Rindu' Osman Ali serta pelakon baru, Dayang Areeda

'Masih Ada Rindu’ merupakan drama bersiri terbaharu yang mula disiarkan di slot Akasia TV3 pada 2 Jun 2021 menggandingkan Farid Kamil dan Mimi Lana, setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 7 malam.

Drama bersiri 16 episod terbitan Nuansa Sdn Bhd ini  merupakan adaptasi daripada novel karya Mimie Afinie  turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Halim Radzi, Aishah Ilias, Fahmy Reza, Aleza Shadan, Rahim Jailani dan Kuna.

Ini juga merupakan drama ‘comeback’ Farid Kamil setelah empat tahun berehat malah menganggap kemunculannya dalam drama bersiri lebih kepada menghormati tawaran pengarahnya Osman Ali yang dilihat sebagai seorang pengarah berkaliber dalam menghasilkan karya berkualiti.



“Selama ini saya memang tidak berapa minat berlakon drama rantaian disebabkan waktu penggambaran yang memakan masa panjang tetapi disebabkan oleh Osman Ali saya terimanya,” jelas Farid sambil menambah kata pengalaman bekerjasama dengan Osman Ali dirasakan selesa kerana rakan pengarahnya itu bersedia berkongsi pendapatnya dalam penambahbaikan produksi.

“Kami saling melengkapi dan belajar antara satu sama lain,” tambah Farid yang berharap dapat bekerjasama Osman untuk menerbitkan sambungan filem ‘Anak Halal’ yang pernah dilakonkannya bersama Maya Karin pada tahun 2007 terbitan Tayangan Unggul ketika itu.

“Saya teringin membawa kembali watak remaja jalanan, Inderaputra sebab nak tahu apa kesudahannya hala tuju watak itu,” ujar Farid yang mengakui selektif dalam memilih tawaran berlakon selain  daripada Osman Ali.

Sehubungan itu, Farid turut mendedahkan bakal menjalani latihan seni silat bagi persiapan watak sebuah filem yang turut digarap Osman Ali.

“Saya perlu berlatih silat di dalam sungai yang deras alirannya selama 10 hari dan sekiranya berjaya barulah saya menerima tawaran untuk berlakon,” ujar Farid.



Menambah lanjut, Osman Ali  (gambar atas) memberitahu, karya tersebut masih dalam garapan namun ia bergenre 'drama thriller' yang bercerita mengenai  manusia yang berdepan ketidakadilan dalam kehidupan.

“Ada elemen seram dalam cerita ini,” tambah Osman ringkas tanpa mahu bercerita panjang mengenai perancangannya itu.

Pun begitu, Farid Kamil melahirkan harapan mampu terus berkarya bagi melengkapkan impiannya untuk membintangi 100 buah filem, mengatasi 66 buah filem yang dicatatkan oleh Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee.

“Sedar tak sedar, saya sudah membintangi 60 buah filem dan tinggal lagi 6 buah filem bagi menyamai rekod Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Namun harapan saya mahu habiskan 100 buah filem bagi melengkapkan biografi saya dalam perfileman tetapi apa pun berbalik kepada rezeki masing-masing, Itu doa saya,” Farid berharap.



Tidak menaruh harapan tinggi, beliau bagaiamana pun terima andainya tiba waktu untuk bersara lebih awal.

“Pembabitan anak sulong saya, Muhammad dalam filem ‘Remp-It 2' petanda saya sudah boleh bersara kerana telah meninggalkan legasi kepada anak dalam bidang lakonan, Itu sudah cukup memuaskan perjalanan seni saya,” tambah Farid sambil mengakui memang  tiada istillah umur penamat bagi seorang pelakon.

“Apa pun saya sudah bersedia jika itulah ketentuan dan aturan yang maha Esa buat saya,” akhiri Farid. - KitaReporters


1
0
0
0
0
You will be interested