Seni & Sukan 01 Sep, 2020

Selepas Selamanya! Usop mahu jadi Pencinta Setiamu pulak!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Lagu-lagu bergenre balada sebelum ini mampu mengangkat anak didik Hazama, Muhammad Saiful Naim Mohd Noor atau lebih dikenali dengan panggilan Usop ke puncak kejayaan apabila berjaya meraih tontonan mencapai 18 juta menerusi video muzik lagu “Selamanya’.  : KitaReporters



Lagi cerita-cerita berkaitan penyanyi:

https://kitareporters.com/search?search=usop


Kini, dengan single terbaharu “Pencinta Setiamu’ mampukan Usop mengekalkan kedudukan tertinggi waima lagu tersebut lari dari kebiasaan lagu-lagu balada yang dinyanyikan sebelum ini? 

Sebelumnya, lagu “Aku Yang Bersalah’ pun berjaya meraih tontonan sebanyak 15 juta dan terkini video muzik ‘Pencinta Setiamu’ yang dilancarkan pada 28 Ogos 2020 lalu sudah mencatatkan tontonan sebanyak lebih 142,000 (setakat pukul 1 tengah hari, 1 September 2020).

Apa pun yang pasti peminat Naib Juara Mentor 2017 ini tentu mahu mendengar dan menonton kemampuan Usop memperlihatkan sisi cerianya sebagaimana yang dipersembahkan dalam rancangan Big Stage 2020 minggu ke-2 lalu.  

Melalui lagu ‘Hati’ nyanyian asal Hael Husaini ketika itu, Usop dengan gayanya yang tersendiri dan ceria mampu menghiburkan penonton sehingga dua juri tetap, Dayang Nurfaezah dan Faizal Tahir memberikan markah 90%, manakala komposer Ajai 70%…. satu angka yang jauh meninggalkan peserta lain.


Terbaharu, ‘Pencinta Setiamu’ hasil ciptaan komposer-komposer hebat seperti Aepul Roza, Argo, Sharul Kamal dan Daus SRK dengan genre ska yang rancak dicipta bagi membangkitkan mood ‘happy’ buat sesiapa yang mendengarnya.

Mengulas tentang single terbaharunya itu, Usop berkata, “saya anggap lagu ini ‘fun’ dengan sedikit elemen yang gila-gila dan mempunyai unsur jenaka yang amat diperlukan, tatkala kita berada dalam fasa PKP yang getir dan adakalanya kita perlu berhibur untuk menceriakan suasana.” 

“Pencinta Setiamu’ menceritakan tentang seorang jejaka yang merasakan dialah yang paling tampan di kampungnya.  Dengan berbekalkan kemewahan dan senyuman yang menawan, dia berjaya menggoda beberapa gadis di kampungnya walaupun sudah mempunyai beberapa teman wanita lain. 

“Idea untuk lagu ini dicetuskan oleh Feros Sayna (Ketua Label Rocketfuel Entertainment) sendiri yang merasakan saya perlu keluar dari zon selesa dan menonjolkan karakter sebenar saya yang lebih kelakar dan mencuit hati,” dedah penyanyi berasal Kulim, Kedah ini yang sering dibayangi dengan label “penyanyi kampung’.


Apa pun, baik penyanyi kampung ke penyanyi bandar ke, semua itu bukan pengukur kejayaan jejaka berusia 23 tahun ini betul tak kerana beliau telah membuktikan lagu nyanyiannya mampu mencecah jutaan tontonan?

Menurut Usop, proses rakaman ‘Pencinta Setiamu’ yang memakan masa selama sebulan dilakukan sebelum PKP lagi waima setiap komposer yang terlibat dalam penghasilan lagu berkenaan sangat profesional kerana mereka bijak menaikkan mood dan karakternya yang agak pemalu agar lebih bebas ketika rakaman berlangsung.

“Saya berharap agar single ini dapat diterima ramai dan menghiburkan semua peminat saya di luar sana dan pencinta muzik tanah air khususnya kerana kali ini saya tampil dengan genre yang lebih ‘happy’ berbanding lagu-lagu saya yang sebelumnya,” tambahnya.

Lagu ‘ Pencinta Setiamu ’ sudah boleh dimuat turun dalam iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music.

Manakala video lirik dan muzik lagu ‘ Pencinta Setiamu ’ ini  boleh ditonton secara eksklusif dalam saluran YouTube Rocketfuel Entertainment. Moh! Kita jenguk gelagat Usop menyampaikan lagu terbaharunya ini. - KitaReporters

2
0
0
0
0
You will be interested