Seni & Sukan 27 Aug, 2020

Tiada layanan istimewa bila di set! Lisa tetap ditegur Yusry

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Pelakon Lisa Surihani, 34,  akui tidak terlepas daripada ditegur pengarah Yusry Abdul Halim yang juga suaminya apabila berada di set penggambaran sesebuah karya. Malah katanya, teguran Yusry bukan sahaja sama seperti yang dialami pelakon lain malah lebih terbuka tanpa diselindungi dengan ayat-ayat berlapik pun. : KitaReporters


“Entahlah secara automatik apabila kami bersama dalam set penggambaran saya tidak memanggilnya dengan panggilan manja sebagai isteri tetapi menghormati kedudukannya sebagai pengarah,” ujar Lisa Surihani Mohamed ketika ditemui pada majlis sidang media ‘Malaysiaku, Kita Selamat Bersama’ anjuran ASTRO di TPC Kuala Lumpur pada Selasa, 25 Ogos 2020 lalu.

Kehadiran Lisa di situ sebagai salah seorang pelakon dalam telemovie bertemakan Merdeka,  'Aku Posmen, Kau Latifah, Dia Joseph' yang bakal disiarkan di saluran Astro Ria  sempena kempen 'Malaysiaku, Kita Selamat Bersama' bagi meraikan program-program menarik ASTRO pada bulan menyambut Hari Kebangsaan Malaysia ke-63 tahun ini.



Menyambung cerita, Lisa memberitahu, di luar set baharulah Yusry sedar yang dia berani menegur Lisa lebih daripada pelakon lain.   “Dia kata, kalau orang lain saya tak berani tegur terbuka macam ini,” cerita Lisa yang mengakui sifat suaminya yang difahami membuatkannya tidak rasa berkecil hati atau marah dengan teguran berkenaan. 

Terbaharu, Lisa berlakon dalam drama bersiri 16 episod, "Pelindung Seorang Puteri'  di samping Datuk Farid Kamil arahan Yusry yang baharu sahaja tamat di saluran Astro Ria. Drama tersebut mengembalikan lakonan Lisa bersama Farid Kamil selepas 10 tahun sejak  lakonan terakhir mereka bersama dalam filem 'Lagenda Budak Setan' pada tahun 2010.

Dalam pada itu, Lisa memberitahu Yusry pernah mengesyorkan agar dia mencuba menjadi pengarah kerana berpendapat isterinya itu sudah bersedia. “Sejujurnya saya belum bersedia menjadi pengarah, itu jawapan saya kepada Yusry,” akui Lisa terus terang.

Menurut Lisa, ketika ini beliau lebih bersedia dan selesa berperanan sebagai pengacara atau hos  seperti yang dilakukan dalam program “Tanya Dr. Emelda”.


Katanya,  program tersebut banyak mengajarnya ilmu kesihatan yang amat berguna kepadanya sebagai isteri dan ibu.

“Sebelum ini banyak perkara yang saya tidak tahu tapi kini sudah tahu bagaimana nak menggunakan teknik CPR jika berlaku kecemasan dan perlu menyelamatkan nyawa,” tambah mahasiswa jurusan undang-undang dari United Kingdom (UK) ini.

Ditanya apakah beliau tidak mahu meneruskan kerjayanya dalam bidang perundangan, Lisa tidak rasa perkara itu sesuatu yang mahu dilakukan setelah menceburi industri seni apatah lagi setelah bergelar isteri.

“Jika saya mahu menjadi peguam atau pegawai undang-undang apa sekali pun, saya perlu mengikuti kursus pascasiswazah selama 9 bulan untuk peperiksaan CLP (certificate of legal practice) dan ini tentu sukar dan memakan masa. Jadi agak payah untuk teruskan kerjaya itu melainkan menggunakan apa yang dipelajar dalam tugasan harian seperti meneliti kontrak dan sebagainya,” jawab Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia sebanyak dua kali ini.

Menyentuh perayaan Hari Kebangsaan, Lisa mendedahkan rasa teruja apabila pernah menyaksikan perbarisan secara langsung di Dataran Merdeka sebelum berkahwin.

“Seronok sebenarnya apabila berada di sana daripada menonton di kaca TV,” ceritanya sambil memberitahu setiap tahun beliau akan memasang bendera di hadapan rumah dan selalu mengajak anak-anak melihat bunga api sambil mengajar mereka melaungkan ‘Merdeka! Merdeka! Merdeka!. 

Untuk rekod, Lisa berkahwin dengan Yusry Abdul Halim pada 23 Februari 2012 dan pasangan ini dikurniakan sepasang cahaya mata, Yahaira Leanne, 5, dan Yusof Leonne, 3. - KitaReporters

Foto Kredit: Instagram @lisasurihani.

2
1
0
0
0
You will be interested