Seni & Sukan 02 Jun, 2020

Amaran kepada pasukan Liga M! Jangan berlatih lagi masa PKPB

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) bakal bertindak keras terhadap mana-mana pasukan Liga Malaysia 2020 yang didapati degil mengadakan sesi latihan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dijangka berakhir 9 Jun 2020. : KitaReporters

AB. Ghani Hassan mengingatkan pasukan-pasukan Liga M agar jangan berlatih lagi dan patuhi arahan MKN dalam PKPB. - Kredit foto MFL


Amaran itu ditegaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan yang meliputi sebarang sesi latihan berskala kecil, sesi senaman di gimnasium atau sebagainya sejajar PKPB yang dikuatkuasakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). 

Setiap pasukan diminta bersabarlah terlebih dahulu untuk mengadakan sebarang program latihan. Patuhilah arahan PKPB oleh MKN ini selaras pekeliling yang telah diedarkan kepada semua pemegang taruh liga," katanya.  

Dalam siaran medianya pada 31 Mei 2020, MFL katanya, akan sentiasa mengikuti perkembangan dan saranan MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mahupun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum memberikan kebenaran untuk menyambung semula program latihan pasukan-pasukan. 

“Buat masa ini bola sepak masih tidak termasuk antara sukan yang diluluskan penganjurannya

"Jadi aktiviti seperti latihan pasukan, perlawanan persahabatan dan merentas negeri memang tidak dibenarkan dan boleh melanggar Akta 342,” katanya.

LIGA Super dan Perdana sudah dimainkan di stadium kosong tanpa penonton bagi mengelak penularan Covid-19 sejak sebelum PKP pertama pada 18 Mac 2020 lagi malah terus ditangguhkan FAM dan MFL, dua hari kemudian. - Kredit foto MFL


Pada 19 Mei 2020, mesyuarat Menteri-menteri Mengenai Covid-19 dan PKPB hanya membenarkan atlet-atlet sukan individu seperti akuatik terjun dan renang, gimnastik artistik, memanah, karate, badminton dan pelayaran serta sukan para, menjalani Kem Latihan Pusat Program Jalan Ke Tokyo (RTT) Sukan Olimpik 2020 mulai 1 hingga 30 Jun 2020

Sebanyak 207 orang yang kebanyakannya atlet negara, menyertai kem RTT itu di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil (146 orang), Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara (37 orang) dan Pusat Latihan Pelayaran Kebangsaan, Langkawi, Kedah (24 orang).

SOP yang dikenakan terhadap para peserta RTT seperti: 

  • i) Menjalani ujian swab pada hari pertama pendaftaran.
  • ii) Menjalani kuarantin diri di bilik penginapan dari hari pertama sehingga keputusan ujian pada hari kedua atau ketiga dan
  • iii) Menjalani ujian swab pada hari kelima (gejala awal) dan ujian swab hari ke-13 (bukan gejala).

Liga Malaysia (Liga Super dan Perdana) telah ditangguhkan sejak 18 Mac 2020 ekoran kebimbangan terhadap pandemik maut Covid-19, manakala Piala FA yang mahu memasuki pusingan kedua, bulan itu telah pun dibatalkan MFL, begitu juga Piala Pencabar (pasukan-pasukan yang tidak layak ke Piala Malaysia). 

“MFL akan menyediakan permohonan semula perancangan baharu kalendar Liga Malaysia 2020 berserta tatacara pelaksanaan piawai (SOP) latihan pasukan dan perlawanan kepada MKN menerusi KBS selepas PKPB 9 Jun 2020,” katanya. 

Ghani merujuk kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Ahad, 31 Mei 2020) mengenai kesediaan MKN meneliti permohonan MFL untuk menyambung semula Liga Super dan Perdana mulai 1 hingga 27 September 2020 secara separuh saingan tanpa timbal balik, manakala Piala Malaysia dicadangkan dari 17 Oktober hingga 7 November 2020

Jika perancangan itu mendapat kelulusan, maka semua pasukan dijangka memulakan semula sesi latihan pada Ogos 2020 mengikut SOP yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL berdasarkan garis panduan MKN, KKM, KBS mahupun Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) mendahului Liga Super 2020 selepas empat perlawanan sejak 28 Februari hingga 16 Mac 2020. - Kredit foto MFL  


Namun peluang untuk sesi latihan dan Liga M disambung tampak semakin cerah ekoran sesi perjumpaan bersama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan Setiausaha Agung, Stuart Michael Ramalingam dan Ghani secara santai di kediaman Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican baru-baru ini.

DARI kiri, Stuart Michael Ramalingam, Hamidin Mohd. Amin, Reezal Merican Naina Merican dan Ab. Ghani Hassan dalam perbincangan santai di kediaman menteri. - Kredit foto Facebook Reezal


Dalam laman Facebooknya, Reezal berkata, perbincangan secara santai itu bertumpu kepada perkembangan perancangan bola sepak negara dan Liga M semasa dan pasca-PKPB.

"Kami turut membincangkan kaedah dan masa yang terbaik untuk mengemukakan cadangan kepada MKN dalam memohon kelonggaran khas untuk pasukan kebangsaan dan pasukan-pasukan liga.

"Mungkin mereka dapat (dibenarkan) memulakan latihan secara berkala dan berperingkat umpamanya tanpa bersentuhan badan dengan turut mengambil kira kaedah yang dipraktikkan negara-negara luar," katanya. - KitaReporters

0
0
0
0
0
You will be interested