Seni & Sukan 14 Oct, 2021

Terbaiklah RTM! Tonjolkan program nilai-nilai murni! Menerusi tiga program khas Maulidur Rasul!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: farizaum@yahoo.com

Share this

Artis terkenal, Faizal Tahir akan muncul 'Citra Cinta Rasul' yang disiarkan 9 malam 18 Oktober 2021.


SEMPENA sambutan Maulidur Rasul pada 19 Oktober 2021 ini,  program yang berunsurkan nilai murni dan Rasullullah SAW sebagai suri teladan semestinya menjadi pilihan setiap saluran televisyen.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak terkecuali menyusun pilihan program terbaik siarannya menerusi saluran TV1 mulai 18 Oktober hingga 21 Oktober 2021, depan.

Tiga program khas  terbitan JAKIM telah dikenal pasti untuk memberi peluang kepada semua umat Islam yang menonton menzahirkan kecintaan mereka kepada Nabi Muhammad SAW. 


Lagi kisah menarik berkaitan keagamaan



Datuk Ahmad Tarmimi Siregar akan bergandingan bersama Faisal tahir dan Kumpulan UNIC  dalam program khas sempena sambutan maulidur Rasul.


Bermula dengan siaran langsung ‘Citra Cinta Rasul” pada 18 Oktober, pukul 9.00 malam, ia menampilkan bicarawara bersama artis terkenal Faizal Tahir, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar (gambar atas) dan kumpulan UNIC.  

Dihoskan bersama oleh Nabil Ahmad dan Heliza Helmi manakala Terrence Dass bertindak sebagai moderator, program tersebut turut melibatkan beberapa pakar keilmuan sebagai panel iaitu Datuk Dr. Norhafizah Musa (Pensyarah Kanan UTM KL) dan Dr. Ann Wan Seng (Pendakwah).

Penal terlibat akan membawakan perkongsian kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan menjadi punca kuasa kepada pelaksanaan dan penubuhan berbagai agensi berkaitan bagi memelihara kepentingan dan kebajikan orang Islam selain memastikan kesinambungan peradaban Islam di negara ini.


Tiga program khas  terbitan JAKIM  memberi peluang kepada semua umat Islam yang menonton menzahirkan kecintaan mereka kepada Nabi Muhammad SAW. 


Ini dizahirkan melalui sifat Rasulullah SAW yang menjadi contoh dan rahmat bagi sekalian alam. 

Perjuangan Nabi Muhammad S.A.W dalam menyebar luas dan menpertahankan agama Islam dan membentuk Negara Islam Madinah menjadi acuan kepada pembentukan Malaysia yang berbilang agama dan kaum. 

Menyusul esoknya, 19 Oktober 2021 dokumentari khas dengan tajuk “Inspirasi Peribadi Muhammad”, akan disiarkan pada jam 11.00 pagi, membawakan perkongsian kisah petugas media dan pendakwah juga adalah petugas barisan hadapan yang menunaikan amanah dalam usaha menyampaikan informasi berkaitan bahaya virus Covid-19.


Ustazah Asma Harun antara  yang terlibat dalam dokumentari 'Inspirasi Peribadi Muhammad'.


Paparan seorang pengamal media (Bahagian Penyiaran Jakim) yang melaksanakan tugas dan disahkan positif Covid-19 begitu juga salah seorang pendakwah Jakim yang menghadapi situasi sama juga kisah jurukamera RTM yang meninggal dunia dalam melaksanakan tugasan menyampaikan informasi kepada orang ramai turut dipaparkan bagi menerangkan risiko petugas barisan hadapan ini.

Mereka mempunyai tugas masing-masing untuk menjelaskan kepada masyarakat perlunya pematuhan SOP dan pentingnya suntikan vaksin.

Seterusya,  pada pukul 11.30 pagi disambung dengan  Panggung khas RTM dengan tajuk “Lafaz Terindah”,menyiarkan kisah tentang watak utama Angie yang beragama Kristian mula mempelajari agama Islam. 

Hatinya terbuka untuk mengetahui lebih lanjut tentang Islam bermula setelah melihat Ustaz Razif mengajar murid-murid di kelas. 

Perkara tersebut disedari oleh Azman, rakan sekerjanya. Azman terdetik hati untuk memberi bantuan tunjuk ajar mengenai agama Islam hingga Angie akhirnya diberi hidayah memeluk agama Islam atas bantuan lelaki itu. 

Akhirnya Angie berkahwin dengan Azman setelah isteri Azman Suzanna mengizinkannya. 


 

Salah satu babak dalam drama 'Lafaz Terindah' yang akan disiarkan menerusi  Panggung khas RTM menggabungkan tiga pelakon hebat iaitu Zahiril Adzim, Nadiya Nisaa dan Daniella Sya.


Drama ini gabungan mantap tiga pelakon utama Zahiril Adzim, Nadiya Nisaa dan Daniella Sya. 

Sambutan hari memperingati Maulidur Rasul ini turut diimarahkan dengan tayangan Forum Perdana Ehwal Islam Khas pada 21 Oktober pukul 9.00 hingga 10.30 malam dengan perkongsian tajuk “Satukan Cinta” yang mengupas tentang kepentingan dalam menanam rasa kasih dan cinta kepada Nabi Muhammad SAW.

Bersama-sama moderator Ustaz Zakaria Haji Othman dan hos bersama Ustaz Rizal Ramli, penonton dapat menghayati perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam menyebar luas sekaligus mempertahankan agama Islam yang dikongsikan oleh panel Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Senator Haji Ahmad Idris Haji Ahmad dan Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM, Prof. Datuk Dr. Syamrahayu Ab. Aziz.

Apa pun bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my) dan rtm mobile. 

Salam Maulidur Rasul! - KitaReporters.

18
13
0
7
0
You will be interested