NIAT di hati mahu berkongsi cara menggoreng telur dadar yang rangup, namun ‘kuali’ yang digunakan untuk menggoreng pula menjadi topik hangat dibualkan oleh warganet terhadap pelakon yang terkenal dengan ‘punch line’ ‘sup bunjut’, Noorkhiriah Ahmad Shapie. Dah kenapa korang? : KitaReporters
Kredit foto @khiriah17.
Walaupun dilaporkan pelakon drama ‘Nur’ ini malas nak layan komen-komen mengarut, tetapi ternyata dia manusia yang tidak mampu menjadi ‘telinga kuali’ sahaja yang tahan segala tohmahan apabila dikecam guna kuali berkerak dan tidak kelihatan bersih.
“Kalau ikutkan malas nak layan komen-komen mengarut ni tapi kadang-kadang kena beritahu juga. Sampai bila nak kena pijak-pijak.
"Bukan tahap akak nak gaduh-gaduh dengan netizen dah tua dah. Cuma nak beritahu yang kuali berkerak tepi-tepi dia tu adalah karat besi bukan lendir,” jawab Noorkhiriah melalui posting Instagramnya.
Segalanya bermula apabila Noorkhiriah, 41, memuat naik video menggoreng telur dadar menggunakan kuali yang kelihatan berkerak di tepiannya.
“Video tu saja suka-suka hiburkan hati tapi ada yang sakit hati kenapa pula?
"Post kuali berkerak.. malas katanya kalau rajin sangat marilah tolong garas,” tulis Noorkhiriah sambil memperlihatkan kuali sama yang nampak telah digaras sedikit.
Walaupun mendapat komen negatif, terdapat juga komen-komen positif daripada kalangan peminatnya yang rata-rata berpendapat mempunyai kuali berkerak juga di dapur.
Rasanya ramai yang ada kuali macam tu ya tak?
Terbaharu, selepas lebih kurang 9 hari isu kuali dibahaskan, pelakon berasal Raub, Pahang ini dilihat memuat naik kuali yang sama dengan kapsyen ‘dah ada orang tolong gosokkan’.
Malah Noorkhiriah sempat pula membantu berkongsi cerita kisah seorang suri rumah yang sinonim dengan kuali dan membuat bisnes dari rumah.
“Jadi bila kuali menjadi topik hangat, suri rumah ini pun rasa hangat macam kuali penuh minyak panas,” kongsi Pelakon Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin 2010 ini.
Ternyata dalam waktu dirinya dikecam, sempat pula Noorkhiriah memohon netizen membantu dan menyokong perniagaan yang diusahakan suri rumah berkenaan dengan mengikuti laman instagram dia.
Bagi peminat dan pengikut Noorkhiriah seramai 883,000 orang itu, tentu sekali sedar pelakon ini seorang yang bukan sahaja periang malah rela melakukan kebajikan dan membantu mereka yang memerlukan.
Antara kebaikan yang disempurnakan, pada akhir bulan Mei lalu, Noorkhiriah mewakafkan kenderaan pelbagai gunanya (MPV) miliknya sebagai van jenazah kepada sesiapa yang memerlukan secara percuma.
Tindakan itu sebagai bekalan akhirat katanya, “akak tak kaya tapi sebelum meninggal akak nak tinggalkan sesuatu buat semua.”
Noorkhiriah dilaporkan berkata.
Semoga niat dan amal kebajikannya dirahmati Allah dan tidak menjadi isu riak dalam kalangan netizen ya!Apa pun jika korang perasan kebanyakan entri yang dimuat naik dalam Instagrammya sering mendapat sokongan dan komen daripada Ustaz Hadi, selaku 'suami'nya dalam drama 'Nur', siapa lagi jika bukan pelakon Azhan Rani. Itulah namanya sahabat kan, sentiasa menyokong! - KitaReporters