Seni & Sukan 10 Dec, 2021

Video| Kejohanan Gusti Lengan Kebangsaan! Perang Gusti Lengan 95kg! Jake lwn Jolly! Siapa jagoan?

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

JAKE Chia Jun Kit (kanan) membuat demonstrasi gusti lengan dengan rakan sepasukan pada sidang media di Sungai Way. - Kredit foto: MyArm


KALAU si anak, Joffey Jolly sudah bergelar juara dunia kategori 70 kilogram (kg) pada Kejohanan Dunia 2019 di Rumia, Poland, bagaimana pula dengan bapanya, Jolly Johnson?

Jolly biarpun lebih menguasai kategori Master (lebih 40 tahun), tetap menjadi lawan yang dihormati juara kebangsaan keseluruhan 2019, Jake Chia Jun Kit.  


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan gusti


JAKE Chia Jun Kit, jagoan kategori 95kg manakala Safuan Asif (kanan) dalam 57kg. 


"Tekad saya ialah mempertahankan gelaran keseluruhan kebangsaan walaupun saya tahu tentangan hebat pasti akan datang daripada Jolly. Pada 2019, ketika saya menang di Cyberjaya, dia turut bergusti lengan dalam kategori Master. Jadi mungkin kekuatannya berkurangan apabila menentang saya kemudian.

"Namun kali ini saya percaya Jolly akan lebih bersedia dan gagah untuk menyaingi sesiapa sahaja," kata Jake, juga juara bertahan kategori 95kg (tangan kanan) pada sidang media Kejohanan Gusti Lengan Kebangsaan 2021 anjuran Persekutuan Gusti Lengan Malaysia (MyArm). 


JOLLY Johnson (dua dari kanan) dan anaknya, Joffey Jolly ketika Kejohanan Gusti Lengan Dunia IFA 2019 di Rumia, Poland. Abigail Kee, naib juara kategori remaja dunia (dua dari kiri) dan Safuan Asif. - Kredit foto: MyArm


Sebanyak 42 kategori berat badan dipertandingkan buat 201 atlet dari 14 negeri pada kejohanan dari pukul 9 pagi hingga 6 petang itu di Hab Rekreasi Aman Tropicana, Teluk Panglima Garang, Selangor pada 11 Disember 2021.

Kategori berat badan bagi Senior lelaki ialah 57, 63, 70, 78, 86, 95, 105 dan 105 kilogram ke atas (kiri dan kanan).



Selain senior lelaki dan wanita (hanya 75 dan 75kg ke atas), terdapat kategori Belia Bawah 21 Tahun, Remaja Bawah 18 Tahun dan Master (70, 86 dan 86kg ke atas).

Menariknya ialah kejohanan kali ini menawarkan setiap pemenang kategori senior, slot mewakili Malaysia pada Piala Dunia Zioty Tur di Kuching, Sarawak pada Mac 2022.

SENARAI kategori berat badan yang dipertandingkan dalam Kejohanan Gusti Lengan Kebangsaan 2021 di Hab Rekreasi Aman Tropicana, Teluk Panglima Garang, Selangor. - Kredit foto: MyArm 


Presiden MyArm, Mohd. Zil Fadli Abd. Halim berkata, Kejohanan Gusti Lengan Kebangsaan turut dijamin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Belia dan Sukan berkaitan pencegahan pandemik COVID-19.


MOHD. Zil Fadli Abd. Halim (depan, tengah), wakil penaja Restoran Dar Al Arab (kiri) dan Jake Chia Jun Kit. - Kredit foto: MyArm


"SOP ini bertujuan memastikan setiap orang yang terlibat dalam kejohanan ini terhindar daripada penularan pandemik Covid-19.

"Antaranya kawasan sekitar venue tidak boleh melebihi 250 orang termasuk atlet, pegawai, petugas teknikal dan media," katanya.



Dalam pada itu, Zil turut menaruh keyakinan dan harapan, gusti lengan dapat diterima sebagai sukan berpingat dalam Sukan SEA Kemboja 2023 sekali gus meningkatkan popularitinya.

"Malaysia kuasa terkuat gusti lengan di rantau Asia Tenggara. Sukan ini ada prospek pingat emas yang besar buat negara. MyArm dapati, Filipina, Singapura dan Thailand ialah antara negara jiran yang mampu menyaingi.

"MyArm juga mempunyai hubungan rapat dengan Persekutuan Gusti Lengan Kemboja (CAF). Presidennya juga merupakan pegawai kanan Jawatankuasa Olimpik Kemboja. Awal tahun depan, mungkin kami boleh panjangkan kerjasama ini ke arah membida gusti lengan masuk Sukan SEA 2023," katanya. - KitaReporters


PEGAWAI-PEGAWAI MyArm dan wakil penaja serta atlet-atlet menggayakan teknik gusti lengan kiri dan kanan pada sidang media Kejohanan Gusti Lengan Kebangsaan 2021. - Kredit foto: MyArm


9
5
0
10
0
You will be interested