BUAH durian bertaburan di atas jalan selepas lori muatan raja buah itu terbabas dan terbalik di Kilometer 279.9 Lebuh Raya Utara Selatan (arah utara) berhampiran Nilai. - Kredit foto: Sinar Harian
HAMPIR satu tan buah durian bertaburan di atas jalan selepas lori muatan raja buah itu terbabas sebelum terbalik di Kilometer 279.9 Lebuh Raya Utara Selatan (arah utara) berhampiran Nilai pada Rabu, 23 Jun 2021.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab
Rahman berkata, lori berkenaan dari Tangkak, Johor yang menghala ke Kuala Lumpur itu dikatakan hilang kawalan dipercayai kerana tayar belakang sebelah kiri pecah sebelum
terbabas dan terbalik di lorong kiri.
"Akibat kemalangan, pemandu lori dan seorang kelindan masing-masing berumur 25 dan 52 tahun mengalami kecederaan ringan dan luka pada bahagian bahu," katanya seperti dipetik oleh Sinar Harian pada Rabu, 23 Jun 2021.
Keadaan tersebut mengakibatkan muatan durian yang dibawa lori berkenaan turut bertaburan di atas lebuh raya berkenaan.
"Kes seterusnya disiasat oleh Unit Siasatan Lebuh Raya Bukit Aman dan dibuka di bawah Rule 10 LN 166/59. Siasatan lanjut masih diteruskan," katanya. - KitaReporters
Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter
PETUGAS Lebuhraya membersihkan durian yang bertaburan selepas lori muatan itu terbabas sebelum terbalik . kredit Utusan Malaysia