Seni & Sukan 07 Dec, 2021

Harimau ratah Kemboja! Farizal dipanggil ganti Khairulazhan? Cheng Hoe masih tunggu Cools lagi?

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this


SUDAH terhantuk, baru hendak terngadah! 

Ketika mengumumkan pemilihan 28 pemain ke latihan pusat bagi menghadapi Piala AFF 2020 (2021) pada 17 November 2021, nama Farizal Marlias tercicir lagi buat kali kedua.

Kata Tan Cheng Hoe, ketua jurulatih Harimau Malaya, penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT) FC itu dikhuatiri kepenatan kerana kerap bermain sepanjang musim 2021 dalam Liga Super, Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia, Liga Juara AFC dan Piala Malaysia.  

Farizal, 35, juga diketepikan daripada siri persahabatan tahap 1 antarabangsa menentang Jordan dan Uzbekistan di Amman pada 6 dan 9 Oktober 2021. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Piala AFF

FARIZAL Marlias (kiri), Khairulazhan Khalid (21) dan jurulatih penjaga gol negara, Azmin Azram Aziz serta Samuel Sommerville. - Kredit foto: FAM


Nama Penjaga Gol Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2021 (ABK21) ini tiba-tiba meniti bibir barisan jurulatih negara yang kini di Singapura dalam kempen Piala AFF 2021.  

Semuanya gara-gara penjaga gol utama Malaysia, Khairulazhan Khalid dan sayap kiri, Faisal Abdul Halim disahkan positif Covid-19 dan dikuarantin 10 hari setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura


HARIMAU Malaya meraikan gol terhadap Kemboja dalam perlawanan pertama Kumpulan B Piala AFF. - Kredit foto: AFF


Harimau Malaya sudah pun menyingkap tirai Kumpulan B dengan langkah kanan setelah menumpaskan Kemboja 3-1 di Stadium Bishan, Singapura pada 6 Disember 2021.

Misi tiga mata tercapai menerusi jaringan Safawi Rasid, Akhyar Abdul Rashid dan Kogileswaran Raj Mohana Raj pada minit ke-23, 61 dan 79 biarpun dirapatkan pemain Kemboja, Sath Rosib, minit ke-90.

Safawi meledakkan gol sepakan penalti, Akhyar menggelecek dan merembat kencang gol kedua sebelum tolakan kaki kiri Kogileswaran memastikan kemenangan selesa.

Fahmi atau Apek pula dipersalahkan pengadil kerana mengangkat kaki terlalu tinggi yang memberikan gol sagu hati menerusi tendangan penalti Sath.


SAFAWI Rasid (11) cuba mengawal bola di udara di depan pemain Kemboja manakala Syafiq Ahmad mengawasi dari jauh. - Kredit foto: AFF


Laporan Bernama menyebut, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) cuba mengajukan pertukaran penjaga gol atas alasan luar dugaan seperti kecederaan atau penyakit, kepada penganjur, Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

Mana mungkin skuad negara bergantung penuh kepada dua penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat dan Kalamullah Al-Hafiz Rowi sedangkan khidmat Khairulazhan mungkin cuma dapat diperoleh sebelum berdepan Indonesia pada 19 DIsember 2021 selepas tempoh kuarantin.


AKHYAR Abdul Rashid (19) begitu lincah menggelecek dan menjaringkan gol sehingga diumum Pemain Terbaik Perlawanan menentang Kemboja. - Kredit foto: AFF


KOGILESWARAN Raj Mohana Raj melonjak meraikan gol ketiga Malaysia hasil umpanan lintang Luqman Hakim Shamsudin dari sebelah kanan. - Kredit foto: AFF


Harimau Malaya akan berdepan Laos dalam perlawanan kedua pada 9 Disember 2021 juga di Stadium Bishan untuk meneruskan rentak kemenangan  demi tiket ke separuh akhir kejohanan edisi ke-13 ini.

Peliknya, Cheng Hoe masih mahu menunggu kehadiran Dion-Johan Cools sehingga selepas menentang Vietnam pada 12 Disember 2021 kerana bek berdarah kacukan Belgium itu perlu menyelesaikan tugasnya dengan kelab kelab FC Midtjylland, Denmark terlebih dulu.

Sedangkan sebelumnya jurulatih kelahiran Kedah ini pernah menamakan Rodney Celvin Akwensivie, pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam senarai menunggu sekiranya berlaku keadaan luar dugaan seperti kes Covid-19 Yan. 

Skuad negara dikhuatiri hanya membuang masa dengan terus menunggu Cools sekiranya dua keputusan perlawanan dengan Laos dan Vietnam nanti bertukar menjadi genting atau tidak memihak Malaysia. - KitaReporters


DION-JOHAN Cools (5) masih di kelab FC Midtjylland, Denmark dan hanya akan menyertai Harimau Malaya selepas menentang Vietnam, 12 Disember 2021. - Kredit foto: FAM 


Kesebelasan Malaysia menentang Kemboja: Khairul Fahmi Che Mat, Shahrul Saad, Syahmi Safari, Junior Eldstal (Mukhairi Ajmal Mahadi), Aidl Zafuan Abd. Radzak, Baddrol Bakhtiar, Guilherme de Paula (Luqman Hakim Shamsudin), Safawi Rasid (Arif Aiman Hanapi), Rizal Ghazali, Akhyar Abdul Rashid (Kogileswaran Raj Mohana Raj) dan Syafiq Ahmad (Shahrel Fikri Fauzi). 


KESEBELASAN utama Harimau Malaya di Singapura sekarang bukanlah yang terbaik jika dibandingkan ketika Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia 2019 atau Piala AFF 2018. - Kredit foto: AFF 

10
9
0
17
0
You will be interested