Seni & Sukan 28 Jul, 2020

Luqman Hakim disambar Maloney! Adam Nadzmi pula digugurkan?

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

PERGI atau tidak Luqman Hakim Shamsudin ke KV Kortrijk, Belgium? Status penghijrahannya ke kelab milik saudagar Malaysia, Tan Sri Vincent Tan itu masih berteka-teki sejak Jun 2020. Dalam ketidakpastian itu apatah lagi dengan sekatan kerajaan terhadap rakyat keluar masuk negara tertentu ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dan Covid-19, Bradley Maloney pula cepat-cepat menyambarnya. : KitaReporters

LUQMAN Hakim Shamsudin masih menjadi harapan utama Bradley Maloney ke Kejohanan B-19 AFC, Oktober 2020. - Kredit foto FAM


Lagi cerita-cerita berkaitan bola sepak:

https://kitareporters.com/tag/bola%20sepak


Ketua jurulatih skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara itu mengotakan janji awalnya untuk memanggil ‘Si Budak Ajaib’ itu ke dalam skuad 30 pelatih bagi latihan pusat fasa kedua menjelang Kejohanan B-19 AFC 2020 di Uzbekistan, Oktober ini.

Penyerang Selangor 2 yang berusia 18 tahun ini terdahulu seperti ‘terpinggir’ ketika panggilan latihan fasa pertama dari 6 hingga 26 Julai 2020, mungkin kerana kerap digembar-gemburkan akan berkelana ke kelab Liga Jupiler Belgium itu, tidak lama lagi.

Dia juga menjadi antara tonggak kemaraan skuad remaja negara ke Uzbekistan selepas menjuarai Kumpulan G kelayakan tanpa kalah di Phnom Penh, Kemboja pada November 2019.

Bradley, warga Australia, turut menyenaraikan kembali Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal, perantara Akademi St. Louis, Missouri, Amerika Syarikat yang juga adik kepada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fahsyal Wan Ahmad Kamal.

BRADLEY Maloney (tengah) mengetepikan Adam Nadzmi Zamri tetapi memanggil Luqman Hakim dalam skuad 30 pelatih bawah 19 tahun negara. - Kredit foto FAM


Namun agak mengejutkan ialah ‘gugurnya’ nama Muhammad Adam Nadzmi Zamri, penyerang yang berpangkalan di Phuket, Thailand dengan kelab Brazil, Akademi BISP Cruzeiro daripada skuad pelatih fasa kedua dari 3 hingga 30 Ogos 2020 ini.

Siaran media Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini, Selasa 28 Julai 2020 tidak pula menyatakan sebab ketiadaan Adam, 18, setelah tersenarai antara 35 pelatih bagi fasa pertama lalu.

MUHAMMAD Adam Nadzmi Zamri, penyerang Akademi BISP Cruzeiro yang diketepikan seketika oleh Maloney.  - Kredit foto FAM


Harimau Remaja diundi dalam Kumpulan D Kejohanan B-19 AFC yang turut menjadi kelayakan ke pusingan akhir Piala Dunia B-20 dengan akan menentang Tajikistan, 16 Oktober 2020, Qatar (19 Oktober 2020) dan Yemen (22 Oktober 2020) di Stadium AGMK, Olmalik.

Jika berjaya mara ke separuh akhir, skuad Maloney akan meraih satu daripada empat slot Asia ke Piala Dunia B-20 anjuran Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di Indonesia pada 2021.

Namun sekiranya tuan rumah turut ke separuh akhir, slot gantian itu akan diberikan kepada satu daripada empat pasukan yang kalah dalam suku akhir Kejohanan B-19 AFC yang memenangi pusingan play-off khas.  

WAN Ahmad Fahsyal Wan Ahmad Kamal (dua dari kanan) memberi kata-kata perangsang kepada adiknya, Wan Kuzri. - Kredit foto FAM


“Penjaga gol, Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri dari Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD B-17), Gambang, Pahang yang dipanggil pada minggu terakhir kem latihan pusat fasa pertama, turut disenaraikan oleh Maloney kali ini.

“Menyertainya ialah dua pemain baharu iaitu penjaga gol, Ahmad Irfan Ibrahim dari Terengganu FC; perantara, Ziad Al Basheer Norhisham dari AMD B-17.

“Maloney masih dalam proses penilaian pemain sebelum meneruskan kem latihan pusat fasa akhir pada September 2020 bagi menyenaraikan 23 pemain terbaik yang ke Uzbekistan,” lapor siaran itu. - KitaReporters

1
0
1
0
0
You will be interested