Seni & Sukan 08 Oct, 2021

Video| AC Mizal tak berani jadi pelawak! Tabik kumpulan Maharaja Lawak Mega! Malu kalau kalah!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


“MAHARAJA Lawak Mega ibarat ‘world cup’ bagi semua pelawak,” begitu pendapat figura yang cukup versatil dalam industri seni tanah air, khususnya sebagai pengacara beberapa program lawak terbitan Astro, Dato AC Mizal.

Pendek kata, AC Mizal, 49,  sinonim dengan Astro waima beberapa rancangan dalam saluran Astro melibatkan beliau sebagai teraju utamanya antaranya 'Punchline DAC', ‘The Masked SInger Malaysia’, “All Together Now Malaysia’ dan banyak lagi.

Pun begitu, pemilik nama penuh Mizal Zaini ini mengakui tidak berani untuk tampil sebagai seorang pelawak walaupun mampu mengendalikan program lawak selama ini.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Maharaja Lawak Mega


“Sebenarnya saya pun takut kalau tak kelakar dan orang tak ketawa. Malu oi… kalau kalah,” ujar AC ketika menjawab pertanyaan pernahkah ada mana-mana kumpulan yang mengajaknya menyertai mereka?

Bercakap lanjut pada sidang akhbar program ‘Maharaja Lawak Mega 2021’  (MLM 2021) secara virtual pada 7 Oktober 2021, AC berkata,”bukan mudah nak jadi pelawak kerana itu saya tabik dan beri penghormatan buat pelawak-pelawak semua. Apa yang mereka lakukan saya tidak mampu melakukannya.”

Turut hadir bersama AC Mizal, Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Salleh (gambar bawah, kiri) serta beberapa ahli kumpulan pelawak terlibat termasuk pengacara belakang tabir, Dina Nadzir serta Yasmin Aziz yang memegang peranan sebagai pengacara program ‘Live Plus' (Live +).  



11 kumpulan yang bakal berentap di pentas MLM 2021 terdiri daripada Kumpulan Boro (dianggotai Achey, Atu & Fad); Kumpulan Puteh (Mamak, Vicha & Ali); Kumpulan 3otak (Phoon Chi Ho, Farid Azmier & Parakash Daniel); Kumpulan R&R (Man & Rahim); Kumpulan Tobat (Shuk Sahar, Bell Ngasri & Ropie); Kumpulan Otai (Azlee, Ieda Moin & Acong); Kumpulan Orix (Achok, Yassin & Abu Mamu); Kumpulan Cawan (Aliff Yasraf, Wan Gegau & Che Mat Raja Lawak); Kumpulan Tiro (Sharif (Botak), Syaiful (Melati) & Danial Zaini); Kumpulan Bahye (Zahid, Nizam Jentik Jentik & Shashic) dan akhir sekali Kumpulan Taici terdiri daripada trio Chiwan, Tapai & Ilham.



“Saya amat mengagumi kesemua mereka ini yang berani tampil khususnya apabila nama dipanggil sebagai tiga yang terbawah, saya dapat rasakan perasaan mereka, Itu yang saya paling takut,” tambah AC Mizal sambil bersyukur terus diberi peluang mengacara program MLM sejak ia diperkenalkan pada tahun 2011.

Dalam pada itu, untuk musim ini selain Yasmin Aziz, beliau turut digandingkan dengan penyampai radio Gegar, Issey Fazlisham sebagai teman mengacarakan program Live Plus (Live +). 



Namun, apakah kelainan musim norma baharu MLM 2021 kali ini?

“Untuk produksi tahun ini, antara kelainannya, kami  memperkenalkan karakter juri misteri atau Naga Juri, yang juga merupakan salah seorang dari empat (4) orang lagi Juri Tetap,” ujar Norzeha Mohd Salleh sambil merahsiakan nama-nama empat juri tetap terbabit sehingga siaran pertamanya berlangsung mulai 15 Oktober 2021, setiap Jumaat, jam 9.00 malam, ditayangkan eksklusif di Astro Warna (saluran 107) dan untuk pilihan lebih fleksibel, ia boleh distrim melalui platform Astro GO dan On Demand.

Menariknya, watak Naga Juri itu akan hanya didedahkan siapa gerangannya secara rasmi apabila MLM 2021 melaburkan tirainya pada 17 Disember 2021 kelak.

Namun sementara itu, dengan wujudnya aplikasi Dunia AR (Augmented Reality) pada program kali ini, penonton boleh menonton video-video menarik MLM 2021 menerusi pengambaran AR tersebut.

“Melalui  video-video itu, mereka boleh mendapatkan petunjuk atau klu siapakah di sebalik karakter juri misteri atau Naga Juri. Di minggu terakhir, penonton yang menjawab dengan betul akan menerima hadiah istimewa MLM 2021,” kata Norzeha mengenai penglibatan penonton.


Satu-satunya kumpulan wajah baharu yang dianggotai tiga kaum - Kumpulan 3otak


Atu telah menyahut cabaran untuk bersama dengan bekas Juara MLM 2016, kumpulan Bocey meninggalkan

abang-abangnya, Sharif dan Saiful Zero yang bersama Danial Zaini menubuhkan Kumpulan Tiro (bawah).


Format pemarkahan MLM 2021 kekal - 70% jumlah pemarkahan akan diberikan oleh barisan juri tetap manakala 30% daripada undian penonton, menerusi platform digital, www.gempak.com/maharajalawakmega atau imbas kod QR di skrin televisyen masing-masing sambil menerokai Dunia AR (Augmented Reality) MLM 2021.

Untuk musim ini juga, MLM 2021 memperkenalkan ‘Anugerah Lawak Pedas’, pengiktirafan mingguan kepada kumpulan terbaik pada minggu tersebut. 

Kemenangan ini ditentukan oleh kesemua juri tetap bersandarkan kepada persembahan setiap kumpulan dan pemenang akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,000 dan hamper barangan Adabi bernilai RM500. 

Jadi, bagi mereka yang suka program komedi, boleh menonton MLM 2021 yang dijangka akan disiarkan secara langsung mulai 15 Oktober 2021 ini dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada kapasiti 150 orang penonton dengan SOP ketat iaitu pada kedudukan 1.5 meter di antara satu sama lain. 

Mengangkat tema ‘Aura Baharu, Lawak Terpadu’, program realiti pertandingan komedi yang dinantikan ramai ini pasti menjanjikan persembahan lawak yang berapi-api, sarat dengan‘punchline’  yang cukup padu selama sepuluh (10) minggu. - KitaReporters


18
8
0
18
1
You will be interested