DENGAN kejayaan mempertahankan kejuaraan Liga Super dan Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah pada musim 2020, Johor Darul Ta’zim (JDT) jelas berpeluang cerah untuk menguasai kebanyakan kategori Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2020 atau digelar ABK20 Maya. : KitaReporters
Lagi cerita-cerita berkaitan bola sepak:
https://kitareporters.com/search?search=bola+sepak
Malah kategori seperti Penjaga Gol Terbaik, Benteng Terbaik, Perantara Terbaik dan Penyerang Terbaik tampak kian pasti menjadi milik deretan tonggak Harimau Selatan seperti Farizal Marlias, Aidil Zafuan Abd. Radzak, La'Vere Corbin-Ong, Gonzalo Cabrera mahupun Safawi Rasid yang juga Pemain Paling Bernilai ABK18 dan ABK19.
Mereka merupakan antara 50 calon yang tersenarai bagi kelima-lima kategori ABK Ke-15 yang hanya dilangsungkan secara maya atau dalam talian sebagai langkah berwaspada dengan penularan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Sebanyak 567 pemain Liga Super dan Perdana 2020 dinilai Jawatankuasa Saringan ABK, namun hanya 344 yang didapati memenuhi prasyarat beraksi sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kesemua perlawanan musim ini.
‘Ballon d’Or Malaysia’ yang dijadualkan pada 30 Disember 2020 ini, turut akan menilai 10 calon bagi kategori Jurulatih Terbaik Liga Malaysia 2020.
IFEDAYO Olusegun mampu memecahkan penguasaan JDT bagi kategori ini sekali gus mengaut anugerah berganda selain Kasut Emas Liga Super 2020. - Kredit foto MFL.
AIDIL Zafuan Abd. Radzak dan Shahrul Saad, bek tengah serasi Harimau Malaya namun berentap bagi JDT dan Perak kali ini. - Kredit foto MFL.
Sebanyak 70 peratus undi panel profesional (24 ketua jurulatih, 24 ketua pasukan dan 24 wakil media) dan 30 peratus undi peminat, akan menentukan para pemenangnya.
Anugerah Pasukan Terbaik pula akan diputuskan sebuah Jawatankuasa Teknikal ABK20.
Undi para penyokong yang diperkenalkan kali ini, boleh dibuat menerusi platform Elfo dengan pautan laman media sosial Facebook, Instagram dan Twitter MFL selama lima hari mulai hari ini, 21 Disember 2020.
Kategori Jurulatih Terbaik ABK20 turut terarah kepada pengendali JDT, Benjamin Mora dari Mexico sambil disaingi Aidil Sharin Sahak (Kedah), Akira Higashiyama (Kuching FA) dan Frank Bernhardt (UiTM FC).
Enam lagi calon ialah Manzoor Azwira Abd. Wahid (Pulau Pinang), Mehmed Durakovic (Perak), Michael Feichtenbeiner (Selangor), Nafuzi Zain (Terengganu FC), Nidzam Adzha Yusoff (Kuala Lumpur) dan Yusri Che Lah (Kelantan).
BENJAMIN Mora tampak terlalu kukuh tetapi Aidil Sharin Sahak mampu menggugatnya. - Kredit foto MFL.
ABK20 turut akan menyampaikan anugerah Kasut Emas 2020 kepada Penjaring Terbanyak Liga Super, Ifedayo Omosuyi yang menyumbat 12 gol bersama Selangor, musim ini.
Penyerang negara, Shahrel Fikri Md. Fauzi yang muncul penjaring 10 gol bersama Perak, akan menerima anugerah Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super 2020.
Sembilan gol milik penyerang Pulau Pinang, Casagrande meletakkannya selaku Penjaring Terbanyak Liga Perdana 2020, manakala Ahmad Danial Ahmad Asri dari Selangor 2, meraih gelaran Penjaring Terbanyak Tempatan dengan tujuh gol.
YANG terdekat mampu menyaingi Farizal Marlias ialah Khairulazhan Khalid dan Suhaimi Husin. - Kredit foto MFL.
SAFAWI Rasid dijangka mengulangi pencapaian seperti ABK 2019. - Kredit foto MFL.
ABK kali ini tampil dengan kelainan atau norma baharu ekoran saingan musim 2020 yang menyaksikan penundaan Liga Super dan Perdana dari 16 Mac hingga 28 Ogos 2020 lalu dan pembatalan langsung Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Pencabar.
“Perjalanan saingan musim 2020 tidak berjalan sebaiknya dengan para penyokong tidak dibenarkan ke stadium akibat bimbang dengan penularan Covid-19 dan PKPB yang dikenakan kerajaan.
“Namun MFL tidak mahu elemen penyokong diketepikan langsung justeru inilah kali pertama mereka diberikan peranan untuk mengundi pemain yang diminati,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan.
AB. Ghani Hassan. - Kredit foto MFL.
Namun lebih 10 kategori edisi lalu, tidak dipertandingkan semula dalam ABK Ke-15 ini iaitu Pemain Muda Harapan, Pemain Import Terbaik, Pemain ASEAN Terbaik, Penyokong Terbaik, Pilihan Kesebelasan Peminat dan Pemain Paling Popular.
Turut ditiadakan ialah Laman Sesawang Terbaik, Media Sosial Terbaik, Anugerah Mesra Media, Anugerah Komuniti, Anugerah Persahabatan, Pasukan Terbaik Liga M3, Pemain Terbaik Liga M3, Pengadil Berpotensi dan Anugerah Permainan Adil. - KitaReporters