RAMAI yang tak tahu, Republik China dan Nepal sebenarnya 'bergaduh' sesama mereka dalam mencari kesepakatan angka sebenar ketinggian Gunung Everest. Rupa-rupanya, pertelingkahan ini telah berlaku sejak berdekad-dekad lalu sehinggalah tahun 2020 ini. : KitaReporters
Lagi kisah-kisah berkaitan Gunung Everest:
https://kitareporters.com/search?search=everest
Sekarang, kedua-dua buah negara itu mencapai kata sepakat setelah dua negara berkenaan menghantar juruukur untuk mengukur dari bahagian gunung masing-masing pada tahun 2019 dan 2020.
Memetik laporan Daily Mail, ketinggian Gunung Everest sebenarnya mencecah 8,848.86 meter iaitu 86 sentimeter, berbanding ukuran Nepal adalah 8,848 meter.
Ini bermakna, ukuran dari negara China lebih tinggi berbanding ukuran Nepal sebelum ini.
Kenapa boleh meningkat tinggi sebanyak 86 sentimeter?
Menurut Daily Mail, ia berlaku kerana pasukan juruukur dari China mengukur sehingga ke penghujung batu di puncak, tidak seperti bacaan sebelum ini yang turut mengukur ketinggian lambakan salji dan ais yang melekat pada bahagian puncak gunung tersebut.
Sebelum itu, juruukur dari negara China pernah mengukur ketinggian gunung tertinggi di dunia itu pada tahun 2005, sehingga ke puncak batu tertinggi yang dikenali dalam bahasa tempatan sebagai Gunung Chomolungma (China) dan Gunung Sagarmartha (Nepal).
Pada waktu itu, mereka mencatatkan ketinggian Everest adalah setinggi 8,844,43 meter, kira-kira 3.7 meter kurang daripada anggaran pada tahun 1954. Walaupun begitu, gunung berkenaan masih tetap dinobatkan sebagai kawasan tertinggi di dunia selepas Gunung K2, dengan perbezaan ketinggian sebanyak 237 meter, sekali gus menjadikan K2 sebagai gunung kedua tertinggi di dunia sehingga ke hari ini.
Kredit foto: DNA India
Damodar Dhakal, jurucakap Jabatan Tinjauan Nepal mengatakan bahawa, juruukur Nepal telah menggunakan Sistem Satelit Navigasi Global untuk mendapatkan "ketinggian tepat" dari puncak raksasa berkenaan. Justeru, mereka amat yakin dengan dapatan angka yang diperoleh negara berkenaan.
Menurut laporan The Guardian, Menteri Luar Nepal, Pradeep Kumar Gyawali mengumumkan hasil penemuan terkini itu dengan rakan sejawatannya dari China, Wang Yi melalui video konferen.
"Everest adalah simbol abadi... persahabatan antara Nepal dan China", kata Pradeep.
Pada tahun 2019 dan 2020 ini, Kedua-dua negara berkenaan telah menghantar pasukan masing-masing untuk mendaki Everest menggunakan GPS dan juga trigonometri untuk membuat pengiraan akhir yang tepat.
"Setelah suar juruukur diletakkan di puncak, juruukur di stesen di sekitar puncak mengukur jarak dari enam titik ke suar, yang bererti sekurang-kurangnya enam segi tiga dapat dihitung untuk menentukan ketinggian gunung," Jiang Tao, penyelidik bersekutu di Akademi Tinjauan dan Pemetaan China, memberitahu media tempatan, China Daily.
Kredit foto: DiscoveryWorldTrekking.com
Terdapat pendapat menyatakan, gempa bumi berkekuatan 7.8 skala hektar yang berlaku pada tahun 2015 telah mengubah ketinggian Gunung Everest. Gempa bumi berkenaan juga telah mengorbankan hampir 9,000 orang di Nepal.
Gunung tertinggi di dunia itu mengambil nama sempena juruukur jeneral India, George Everest, walaupun beliau hanya melakukan tinjauan dan mengukur wilayah Himalaya, bukan mengukur gunung berkenaan.
Namun atas perintah Royal Geographical Society, gunung berkenaan dinamakan Everest sebagai salah satu penghargaan terhadap juruukur jeneral India tersebut. - KitaReporters