Seni & Sukan 03 Feb, 2022

Usrah Wanita IKRAM! Eratkan hubungan kejiranan! Bantu waktu kesusahan! Latih generasi muda soleh!

@kartini mohd noor
Pernah berkhidmat sebagai 1. Stringer Berita Harian 2. Wartawan Berita Harian 3 . Penyunting Harian Metro 4. Grup Editor Majalah IBUBAPA

Share this

Ustazah Nor Hafizah (tengah) bertanya khabar Ukhti Zuliana


HIDUP di bandar besar dan sibuk seperti kota metropolitan mendorong banyak keluarga lebih suka menyendiri. Tambah-tambah lagi jika memilih untuk mendiami di kondo, taman perumahan yang dikawal oleh sistem kawalan keselamatan yang canggih. Macam-macam alasan diberi apabila diajak bermasyarakat.  

Sibuk bekerja dan penatlah, membuatkan adakalanya, sesama jiranpun pun boleh tidak saling kenal mengenali.

Apatah lagi ramai yang takut dan bimbang dengan anggapan hidup berjiran ini lebih kepada 'kaki bergosip', suka jaga tepi kain orang dan 'kaki gaduh'  yang cuba dielakkan oleh setiap penghuni di taman perumahan. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan NGO IKRAM



Sebagai usaha menghapuskan anggapan itu dan perlunya silaturahim dalam kalangan jiran tertangga diakrabkan, mendorong kumpulan wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia atau lebih dikenali sebagai Wanita IKRAM untuk mengadakan sesi usrah dan juga program-program ziarah ahli atau kejiranan dengan tujuan mengeratkan ukhuwah.

Itulah yang dilakukan oleh Naqibah (ketua usrah) Ustazah Nor Hafizah Daud bersama ahli kumpulannya yang membuat lawatan ke rumah ukhti Zuliana Zulkifli. 'Ukhti' merupakan panggilan mesra kepada ahli usrah yang bermaksud 'saudara perempuanku'.

Katanya, usaha mengeratkan kejiranan itu adalah kewajiban utama Pertubuhan IKRAM yang menubuhkan cawangan di setiap negeri , kawasan (daerah) dan juga lokaliti. Setiap lokaliti mempunyai beberapa kumpulan usrah bergantung kepada bilangan ahlinya di lokaliti tersebut. 

Turut serta ukhti Erna Yenti, ukhti Hasniati Mat Idris atau lebih dikenali sebagai Kak Has Urban serta Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ukhwah Fillah (Pkuf) ukhti Murniati Usman. Kesemua mereka merupakan ahli usrah di lokaliti Rawang.


Ukhti Zuliana dua dari kiri bersama anaknya yang sudah menjalani pembedahan membetulkan kantung zakarnya.


Kali ini kumpulan usrah menziarahi anak lelaki Zuliana, 5 tahun, yang baru keluar wad setelah menjalani satu pembedahan

Ustazah Nor Hafizah berkata kumpulan IKRAM sangat prihatin terhadap kebajikan masyarakat terutama dalam kalangan ibu-ibu muda yang kadangkala memerlukan sokongan moral dan semangat ketika mereka ditimpa kesulitan.

"Lawatan ini juga sebagai mengeratkan ukhuwah dalam kalangan jiran tertangga dan saling bertanya khabar mengenai keadaan kawan-kawan yang ditimpa kesusahan seperti sakit, banjir,  dan lain-lain kesusahan dan untuk melihat bentuk bantuan yang perlu dihulurkan," katanya yang turut menyampaikan sumbangan barangan makanan dan wang tunai daripada tabung usrah kepada ukhti Zuliana.

Katanya disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hampir dua tahun, kumpulan itu mengadakan pertemuan usrah hanya secara dalam talian sahaja. Maka peluang bersemukakembali dengan ahli-ahli kumpulan menjadi sangat bermakna.

Kumpulan usrah dalam IKRAM ini dibahagikan kepada beberapa marhalah (tahap) seperti 01, 02 dan seterusnya mengikut silibus yang telah mereka lalui. 

Silibus merangkumi beberapa pembelajaran asas agama antaranya termasuk pengajian al-Quran, Hadith, Seerah, Fiqh Wanita dan Fiqh Dakwah. Ahli usrah perlu mengikuti  sillibus yang ditentukan, serta hadir pertemuan usrah dengan konsisten sebelum dinaikkan ke marhalah  yang seterusnya.

"IKRAM  mahu mewujudkan takungan individu dalam masyarakat yang bermaklumat mengenai agama dan mampu menjadi ejen perubahan. Setiap kawasan dan lokaliti mempunyai naqibah masing-masing. Hari ini, dalam ziarah kali ini naqibah kepada ukhti Zuliana , ukhti Isnaini bekerja dan saya menggantikannya." katanya.


Cara kampung... Balik saja ahli rombongan dapat oleh-ole buah kelapa


Menurut Ustazah Nor Hafizah, Pertubuhan IKRAM merupakan sebuah pertubuhan Dakwah, Tarbiah dan Kebajikan. Dakwah disebarluaskan kepada masyarakat, mendidik dan mentarbiah ahli-ahlinya , serta mengambil peduli hal-hal kebajikan.  

Usrah merupakan satu daripada wasilah tarbiah dalam IKRAM.  Selain usrah wasilah tarbiah yang lain adalah Katibah (menghidupkan malam),  Nadwah (majlis mesyuarat) , Daurah (seminar) , Rehlah (aktiviti luar), Mukhayyam (perkhemahan),  Muktamar (perhimpunan) dan Dakwah di Medan (turun padang bersama masyarakat).

Menurut beliau yang juga mantan Ketua Wanita IKRAM Hulu Selangor, IKRAM merangka program yang mencakupi usia kanak-kanak sehingga dewasa. Contohnya, pada musim cuti sekolah atau hujung minggu, biasanya anak-anak dihantar untuk menyertai beberapa program perkhemahan, rehlah dan usrah  yang di rancang bawah IKRAM Teens (untuk 13 - 18 tahun) dan IKRAM Junior ( untuk 5 - 12 tahun).

Tujuannnya untuk mendidik anak-anak dengan cara hidup adab Islam dan pupuk sifat kepimpinan dalam kalangan generasi muda bagi menggalas tugas sebagai khalifah di bumi Allah ini.

"Sebab itu juga IKRAM menyediakan silibus yang tersusun untuk semua ahlinya, dan mungkin satu-satunya pertubuhan yang buat demikian.  Kita hendak didik individu supaya boleh menjadi ejen perubahan dalam masyarakat," katanya lagi.


Berkumpul, belajar agama, sejarah Islam dan bersedekah sebahagian daripada program usrah wanita IKRAM.


Sementara itu Ustazah Nor Hafizah juga bersyukur kerana ahli-ahli usrahnya mula bergiat dalam masyarakat. Ukhti Erna, 50,  menjadi peneraju utama menubuhkan Tabung Subuh di Taman Bersatu yang berjaya membuat kutipan daripada lebih 40 penabung untuk membantu orang ramai setiap bulan.

Erna yang berkahwin dengan rakyat tempatan pada tahun 2000 kini berniaga goreng pisang paling sedap di taman berkenaan dan menjadikan perniagaannya sebagai asas untuk berdakwah dan mengumpul wang derma.

Sementara itu, Kak Has Urban pula adalah tenaga pengajar orang mengurut dan kini mula membuka bengkel melatih tenaga muda yang berminat untuk menimba ilmu dalam bidang urutan.

Kini dia dalam proses mencari ramai pelatih baru dan sesiapa yang berminat mempelajari boleh menghubunginya melalui nombor telefon  +60 19-233 5732.

Ukhti Murniati pula telah menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Ukhuwah Fillah (PKUF)  yang banyak membantu masyarakat  dan menyediakan sekolah tahfiz untuk anak-anak tanpa warganegara.

"Alhamdulillah ada beberapa orang lagi ahli usrah saya  yang tiada dalam pertemuan hari ini, giat dan aktif dalam ngo masing-masing membantu masyarakat. Mudah-mudahan Allah SWT memberikan kami kekuatan untuk terus beramal dan semoga segala usaha diterima sebagai amal soleh di sisi-Nya," katanya mengakhiri perbualan. - KitaReporters


13
21
0
8
0
You will be interested