Sejak ‘melabuhkan’ diri dari kerjaya kewartawanan daripada syarikat ternama yang kini tinggal nama, Utusan Melayu (M) Bhd, setelah hampir 28 tahun berkhidmat, sudah lama juga penulis aka Kak Fas tidak menyertai sebarang program pembangunan diri.


Penyanyi Datuk Khadijah Ibrahim (tengah) yang merupakan artis idola dan inspirasi buat Soma (tujuh dari kanan), turut diundang menyampaikan siji penyertaan kepada peserta, tamat malam akhir program di Port Dickson.
Cuma sekali sekala sahaja ada juga berkesempatan mengikuti program motivasi untuk pemberitaan sebagai ‘blogger’ atau penulis bebas KitaReporters ini. Itu pun hanya sekadar melaporkan apa yang berlaku bukannya menyertai.
Tetapi siapa sangka aturan Allah SWT mendorong penulis untuk buat sekian lamanya dapat bersama mengikuti program ‘team building’ yang dianjurkan Somma Productions selama 3 Hari 2 Malam di Port Dickson pada 11 hingga 13 September 2025, lalu..
Detiknya bermula apabila Soma atau nama sebenarnya, Rosmah S. Sengari @ Basar, seorang penyanyi lama, tetapi baharu sahaja dikenali sejak 9 bulan lalu kala beliau melahirkan album sulongnya ‘Perjalanan’ ciptaan komposer Allahyarham S. Atan pada Disember 2024, mengundang Kak Fas.
.

Throwback.... Soma sewaktu majlis pelancaran albumnya 'Perjalanan' pada Disember 2024.
Selepas menerima mesejnya berbunyi, “Kak Fas jom kita healing kat Port Dickson', terasa diri dihargai walaupun baharu dua tiga kali Kak Fas menulis mengenainya. Rupanya Soma meminati gaya penulisan Kak Fas yang diibaratnya menyentuh jiwanya. Terima kasih Soma!
Selepas berfikir beberapa hari, Kak Fas terima pelawaannya. memandangkan sesi percutian sekolah pun hampir, jalan raya belum sesak, malah belum ada ‘event’ lain yang perlu didahulukan.
Barangkali kelak, ia akan menjadi salah satu kenangan yang mencetuskan impak maksima dalam kerjaya yang paling dirasai sepanjang melayari kehidupan sebagai seorang wartawan. Jadi kata hati,"why not?" (kenapa tidak).
Bertemakan “Cipta Memori, Jati Diri Kualiti’, Kak Fas melihat para peserta yang hadir dalam kumpulan kecil seramai lebih kurang 20 orang kesemuanya terdiri daripada pelbagai latar belakang bagi meneroka potensi diri, meningkatkan keyakinan serta memperkukuh semangat kerjasama.
Bagi Soma, katanya, inisiatif julung kalinya ini bukan sahaja menandakan permulaan baharu, malah menjadi langkah penting bagi syarikat produksinya memperkaya portfolionya yang kini memberi tumpuan kepada pembangunan insan melalui pendekatan interaktif dan inovatif selain kesenian.

Soma mengundang Dr. Ahmad Yusri Bani Hashim (kiri) sebagai pembimbing pembangunan diri program bertemakan 'Cipta Memori, Jati Diri Kualiti'.
Kem motivasi hanya dibimbing oleh pakar pembangunan diri, Dr. Ahmad Yusri Bani Hashim, seorang pemegang Ijazah Kedoktoran dalam Perubatan Alternatif dari Open International University of Colombo, Sri Lanka, yang lazimnya lebih cendurong membimbing bilangan kumpulan kecil agar lebih fokus, katanya.
Program yang dirangka dilihat menekankan keseimbangan mental, fizikal dan rohani agar peserta dapat meraih pengalaman pembelajaran yang menyeluruh serta memberi impak jangka panjang dalam pembentukan jati diri.
Hari pertama dimulakan dengan sesi suai kenal tetapi menariknya ia bukan seperti kebiasaan di mana masing-masing memperkenal diri sendiri tetapi Dr Yusri membuat kelainan dengan menggunakan pendekatan ‘reverse approach’.
Cara itu menyaksikan peserta lain yang membacakan maklumat ringkas rakan kumpulan sebelum diteka siapakah gerangannya? Pendekatan itu ternyata mampu membantu mengurangkan rasa gementar, sekali gus memecahkan rasa malu dan canggung pada awal perkenalan.
Sesi ‘public speaking’ pada hari kedua membawa pengisian yang lebih mendalam tetapi santai bersama pengasas produk kecantikan De’Wajah, Datuk Junaidah Kitting yang memberi pencerahan tentang bagaimana berdepan dengan netizen, isu fitnah, dan fenomena viral dalam dunia digital.
Sesi ini bukan sahaja memberi ilmu baharu kepada peserta yang berada dalam linkungan usia belasan tahun hingga 50-an, tetapi juga menggalakkan peserta untuk tampil lebih yakin berucap di hadapan khalayak.

Sesi 'public speaking' turut diadakan bersama Junaidah Kitting (kanan).
Pendekkan cerita, tiga hari 2 malam yang diisi dengan modul pengajaran seperti ‘Hukum Daya Tarikan’, “Energi dan Getaran’ sehingga ke ‘River of Life’ di mana peserta diundang untuk melakukan releksi diri sepanjang perjalanan hidup mereka, memang menepati objektif program.
'River of Life’ menyaksikan peserta dikehendaki melakar lima peristiwa penting dalam hidup mereka di atas sehelai kertas, seolah-olah mengalirkan semula memori kehidupan.
Ternyata impak modul ini menyentuh emosi peserta. Ada yang menitiskan air mata dan ada yang tersenyum mengenang perjalanan yang dilalui.
Ia menjadi pengajaran bahawa setiap cabaran yang dihadapi telah menjadikan mereka lebih kuat daripada yang disangka.



Secara keseluruhannya, Kak Fas dapat merasakan impak positif yang ingin disampaikan pada peserta Kem Motivasi Jati Diri 2025 ini sama ada daripada keinginan Dr. Yusri atau pun daripada pihak penganjur sendiri.
Ia adalah percutian berinspirasi -- menggabungkan suasana resort pantai yang menenangkan, hidangan enak yang menyatukan, serta modul penuh makna yang membekas di hati.
Setiap momen meninggalkan memori indah yang Kak Fas percaya akan kekal di hati setiap yang hadir sekali gus terus mengiringi langkah menuju destinasi kebahagiaan yang diimpikan masing-masing.

Sebelum malam berlabuh, merakamkan kenangan bersama kumpulan bikers kental yang turut menyertai kem motivasi anjuran Soma. - Foto: FAS.

Tarian 'poco-poco' mengakhiri malam inspirasi dengan pemuh kenangan indah.
Dan bagi Soma, ini bukan pengakhiran tetapi satu perjuangan yang akan diteruskan bagi melahirkan generasi muda yang perkasa dan tidak mudah putus asa tetapi terus melangkah sebagaimana dirinya mengidamkan menjadi seorang penyanyi sejak belasan tahun namun hanya dikabulkan impiannya dalam usia di awal 50an.
“Perjalanan saya pun masih panjang,” akhiri Soma seolah membayangkan masih banyak lagi yang perlu dilaksanakan namun yang pasti kerjaya seninya akan tetap diteruskan dengan perancangan melahirkan beberapa lagi single terbaharu. - KitaReporters