Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Pepatah itu tepat sekali menggambarkan bakat muda Ummi Umairah Saiful Anuar, lebih dikenali sebagai Umai atau pun sapaan mesranya. Maira, anak saudara kepada penyanyi tersohor negara, Dato’ Seri Siti Nurhaliza.
Baharu berusia 14 tahun, Maira sudah pun menampilkan aura bintang yang membuat ramai terpegun, termasuk para komposer dan penerbit muzik yang bekerjasama dengannya.
Sejak mula sesi rakaman, produser yang membimbingnya melahirkan rasa kagum terhadap sikap Maira yang hadir dengan persiapan penuh, seakan-akan sudah berpengalaman sebagai seorang artis profesional.
“Apa sahaja yang saya minta, Maira beri. Dia datang dengan penuh jiwa, walaupun usianya baru 14 tahun. Itulah yang menjadikan proses ini menyenangkan,” ujar komposer Farouk Roman pada majlis pelancaran single solo pertama dan video muzik 'Sayap' nyanyian Umairah selaku artis di bawah naungan SN Legacy Sdn Bhd, milik ibu saudaranya, Mak Iti atau Tok Ti yang turut hadir di sebuah pusat karaoke di Bukit Bintang pada 17 September 2025.

Umairah bersama pendokong 'sayap' nya yang kukuh, Mak Iti dan Farouk Roman. - Kredit foto: Siti Dimiati.
Sebelum ini, Maira pernah mencuri perhatian menerusi lagu raya sulungnya, ‘Tak Balik Raya’ dan terbaharu ‘Sayap’ adalah hasil ciptaan dua komposer iaitu Resa Husin dan Farouk Roman.
Lagu berkenaan menggambarkan perjalanan cinta yang membuat seseorang terbang tinggi penuh harapan, namun akhirnya akur bahawa cinta tersebut bukan miliknya.
Meskipun lagu ini bertemakan kisah cinta namun Umairah dapat menghayatinya kerana terpikat dengan melodi ‘Sayap’ yang menyentuh perasaan.
Sebagai anak saudara kepada penyanyi legenda, sudah pastinya Maira sedar dia membawa nama besar dalam dunia seni.
Namun bagi dirinya, itu bukan sekadar beban, sebaliknya satu bentuk inspirasi waima katanya, ‘Mak Iti sendiri pernah berpesan bahawa perjalanan seni tidak hanya soal suara, tetapi juga soal disiplin, ketekunan, dan kerendahan hati. ‘
Nasihat itulah yang kini menjadi pegangan Maira untuk terus melangkah ke hadapan.
Jelas sekali, kehadiran Maira bukan sekadar mewarisi darah seni daripada “Suara Emas Malaysia”, tetapi juga sedang mencorakkan identitinya sendiri.
Dengan bakat, disiplin, dan imaginasi kreatif yang ditonjolkan, Maira akui bersedia menulis babak baharu dalam legasi keluarganya – satu langkah kecil yang mungkin menjadi permulaan kepada kisah besar dalam dunia hiburan tanah air.
Menyampaikan sebuah lagu balada berkisar kisah cinta dalam usia belasan tahun, Umairah anggap ia satu cabaran apatah lagi beliau belum mengalami rasa cinta yang meresahkan.
“Lagu balada selalu orang kaitkan dengan kesedihan, tetapi saya cuba membawanya dengan cara yang segar. Saya mahu orang rasa gembira juga walaupun liriknya sarat galau. Bila saya nyanyi, saya nak orang sama-sama tergalau macam saya,” jelasnya.
Menurutnya, dia perlu menghayati dan memahami makna lirik yang dibawanya agar tidak sekadar menyanyi tetapi benar-benar menjiwai.

“Cerita dalam lagu ini tentang cinta yang membuat kita berasa tinggi dengan harapan, tapi akhirnya menjatuhkan kita semula ke bumi. Ia mengingatkan bahawa kita hanyalah tersenyum antara mereka walaupun hati sarat dengan rasa.
“Liriknya menggambarkan indahnya kejayaan cinta, tapi juga kehilangan, seperti tubuh yang hanyut dalam samudera yang bukan sepenuhnya milik kita. Saya sendiri banyak buat rujukan, malah sempat berbincang dengan semua untuk lebih memahami nuansanya,” cerita Maira puas dengan detik pengalaman yang dilalui kala di studio rakaman.
Dari belajar teknik vokal sehingga mendalami cara menyampaikan emosi, setiap cabaran ditempuhi dengan sabar.
Bagi Umairah, peluang merakamkan ‘Sayap’ adalah satu pengalaman yang berharga. Jika sebelum ini dia muncul di pentas persembahan menyampaikan lagu penyanyi lain, kini sudah memiliki lagu sendiri.
``Saya sangat teruja kerana diberi peluang untuk menyanyikan 'Sayap'. Lagu ini begitu menyentuh jiwa saya kerana menceritakan betapa indahnya jatuh cinta tetapi pedihnya menerima kehilangan.
"Saya berharap agar pendengar dapat merasakan emosi yang saya sampaikan walaupun sejujurnya saya sendiri belum ada teman cinta’,” tambah Umairah.

“Sebenarnya lagu ini kami buat untuk pitch kepada Datuk Siti, tapi ketika itu beliau sangat sibuk, jadi kami tangguhkan dulu dan akhirnya bertemu penyanyi muda yang sesuai. Jodoh lagu ini memang untuk Maira,” tambah Farouk dalam sesi menjawab persoalan media yang diacarakan oleh Dayah Bakar.
Begitu pun, dengan suara yang matang dan karisma yang meyakinkan, Maira dilihat berpotensi besar untuk mewarnai dunia hiburan tanah air, sekaligus membuktikan usia bukan penghalang untuk mencipta impak besar di pentas seni. Mendengar kematangan suaranya persis sebagaimana nyanyian Tok Ti pada usia remajanya dahulu.
Tidak disangkal, pelancaran ‘Sayap’ bukan sahaja memperkenal Umairah sebagai wajah baharu industri muzik Malaysia, tetapi juga membuktikan kesungguhan SN Legacy Sdn Bhd dan Universal Music Malaysia dalam mencungkil bakat daripada kalangan generasi muda.
Demo awal lagu ini juga melalui transformasi besar. Jika tajuk asalnya bersifat lebih gelap seperti sebuah dongeng jahat, kini ia disesuaikan agar sesuai untuk khalayak pelbagai generasi.
Malah gaya dan penampilan turut diberi sentuhan khas untuk menyerlahkan pesona Maira di pentas, sekali gus menampilkan sisi segarnya sebagai bintang baharu. - KitaReporters