Bermula dari tunas, tercetuslah karya seni yang mekar. Projek mural Tunas Seni anjuran Vale Malaysia bersama pelajar Tunas Seni dan Lakar by Mekar hadir sebagai platform untuk anak muda Manjung menzahirkan kreativiti mereka dalam suasana penuh kebersamaan.
Bertemakan “Conservation Through Art” (Pemuliharaan menerusi Seni), mural ini bukan sekadar lukisan di dinding, tetapi simbol perpaduan, harapan dan identiti komuniti.
Melalui siri bengkel seni yang dikendalikan oleh artis wanita dari Lakar by Mekar, pelajar Tunas Seni diberi pendedahan tentang lakaran, warna dan komposisi sebelum melakar idea mereka pada dinding Stadium MPM.
Mural ini meliputi keluasan kira-kira dua blok dan menampilkan rekaan yang diinspirasikan oleh alam semula jadi, keharmonian dan semangat komuniti.
Sorotan utama program ini adalah Hari Melukis Komuniti pada Sabtu. 20 September 2025, yang akan menyaksikan pelajar, artis, kakitangan Vale dan orang awam berganding bahu menyempurnakan mural bersama-sama.
Detik ini dijangka menjadi pengalaman yang menyeronokkan, penuh warna dan mengakar rasa bangga dalam kalangan penduduk Manjung.

Ketua Pegawai Eksekutif Vale Malaysia, Leonardo Paiva pula berkata, “Kami percaya seni adalah jambatan yang menghubungkan masyarakat. Melalui projek mural Tunas Seni, Vale berharap dapat memperkasakan generasi muda, meraikan peranan wanita dalam seni, serta meninggalkan satu warisan visual yang akan terus dikenang di Manjung.”
Projek mural ini dijangka siap pada penghujung September dan akan kekal sebagai mercu tanda baharu Manjung, sebuah cerita seni yang dilukis bersama, demi masa hadapan yang lebih baik.
Projek ini merupakan sebahagian daripada Program Pembangunan Komuniti Vale 2.0 (Vale CDP 2.0), inisiatif pelaburan komuniti holistik bernilai RM16 juta selama tiga tahun yang bertujuan untuk memperkasa komuniti Manjung melalui pendidikan, pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan sosioekonomi.
Mural ini mencerminkan komitmen jangka panjang CDP 2.0 dalam membina masa depan yang lebih cerah dan inklusif buat daerah Manjung. - KitaReporters/Kenyataan Media
