Dalam usia 46 tahun, penghibur tersohor ini telah diiktiraf agensi media antarabangsa SeaAsia Stats sebagai antara Legenda Muzik Asia Tenggara selepas meraih lebih 300 anugerah sepanjang lebih dua dekad bergelar anak seni.

SeaAsia Starts menamakan seorang bintang penghibur di setiap negeri di rantau Asia Tenggara untuk menerima anugerah itu.
Menurut Siti, 46, dia tidak pernah terlintas untuk mengejar anugerah kerana segala usaha dilakukan selama ini hanya atas dasar cinta mendalam terhadap bidang muzik.
“Alhamdulillah, terima kasih… saya pun tak fikir pasal ini kerana sibuk dengan aktiviti dan kerja. Kalau ada pihak yang menghargai, saya bersyukur, “katanya.

Tambahnya, status legenda yang diberikan tidak akan sesekali membebankan dirinya, sebaliknya dianggap sebagai satu suntikan semangat untuk terus berkarya dan mengekalkan kualiti terbaik dalam setiap persembahan.
Siti turut menitipkan pesanan buat penyanyi generasi baharu agar tidak mudah berputus asa dan sentiasa berusaha meningkatkan diri.
Siti telah menerima pelbagai anugerah dalam negara.
Terbaharu ialah Anugerah Sri Wirama pada Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24). Siti pernah diiktiraf sebagai artis Malaysia paling banyak menerima anugerah sehingga direkodkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) pada 2001.

Siti turut menerima Anugerah Khas Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024 (ASN 2024) dan masih aktif menghasilkan karya baharu termasuk kolaborasi dengan artis tempatan serta antarabangsa di samping aktif dalam perniagaan dan kerja amal.

Sementara itu, Maria Aires dari Brunei dipilih kerana membawa muzik pop dan RnB Brunei ke taraf tertinggi.
Preap Sovath dari Kemboja pula dipilih kerana menjadi bintang pop yang paling menonjol di Kemboja dan menjadi juri pertandingan Vioce of Cambodia.
Pemuzik dan penyanyi veteran Indonesia, Ivan Fals dipilih kerana terus mencipta dan mendendangkan lagu berbentuk protes sejak muda sehingga kini.
Alexandra Bounxouei dari Laosdipilih kerana menjadi bintang pop yang berjaya menggabungkan irama rakyat dengan pop.
May Sweet dari Myanmar sudah lebih 40 tahun dari seni dan menjadi ikon budaya.
Regine Velasquez dari Filipina merupakan penyanyi yang mempunyai kelantangan suara luar biasa dan menjadi idola.
Stefanie Sun dari Singapura berjaya menjual lebih 30 juta album di rantau Asia.
Bird Thongchai dari Thailand pula adalah artis rakaman paling tinggi jualan albumnya di negaranya iaitu lebih 20 juta salinan.
