Seni & Sukan 22 Sep, 2025

Busana sopan ke pentas global! Dapat jana perdagangan, pendapatan! IFCM mahu jadi pemacu industri!

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this

Dunia fesyen negara bakal memasuki dimensi baharu menerusi penyediaan platform bersepadu dan kerjasama strategik bagi mengembangkan industri itu di pentas antarabangsa. 


Rekaan fesyen Malaysia yang sopan mampu menembusi pasaran antarabangsa. - Kredit foto: Penganjur.

Usaha tersebut akan direalisasikan oleh Dewan Fesyen Antarabangsa Malaysia (IFCM) yang bersedia menjadi penggerak utama industri fesyen tempatan ke peringkat global. 

Pengasas ICFM, Dr. Leena Al-Mujahed berkata, ia dapat dibuktikan menerusi kerjasama strategik termasuk menerusi penganjuran Modest Fashion Show & Forum (Forum dan Pertunjukan Fesyen Sopan) dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2025).

“Kerjasama ini menjadi titik perubahan penting untuk mempromosi fesyen sopan sebagai warisan budaya dan menjana sektor ekonomi negara ke pasaran global. 

“Slogan kami adalah untuk menghubungkan kreativiti dengan perdagangan. Kami melihat keperluan untuk satu platform tunggal yang menghubungkan pereka dan menyediakan mereka sumber untuk berkembang,” katanya. 


Dr. Leena Al-Mujahed.


Dr. Leena ditemui ketika Modest Fashion Show & Forum di MIHAS 2025, Kuala Lumpur pada Khamis 18 September 2025 lalu. 

Antara pereka tempatan yang tampil ialah Arlina Ayou dengan sentuhan batik Malaysia; Bill Keith (Gurun Sahara) serta Casalwa hasil idea Datin Sharifah Salwa Syed Shafie yang menggabungkan motif bunga raya dan pakaian tradisional.

Rekaan 3G pula dibawa oleh Icha Key USA dari Indonesia dengan tema 'Kebangkitan Sriwijaya', meraikan seni songket Palembang dan keagungan Empayar Sriwijaya. 

Donahue oleh Tanti dengan tema 'Kesopanan Harian Jogja' menampilkan batik yang diinspirasikan dari Yogyakarta, beg kulit kambing dan kasut buatan tangan yang menggabungkan tradisi dengan gaya hidup moden. 


Donahue oleh Tanti dengan tema 'Kesopanan Harian Jogja' menampilkan batik yang diinspirasikan dari Yogyakarta. - Kredit foto: Penganjur.

Kerjasama pertama IFCM ini adalah menerusi peranannya sebagai rakan strategik untuk Modest Fashion Show di MIHAS 2025. 

Dr. Leena menganggap kerjasama tersebut sebagai langkah penting bagi mempromosi industri fesyen secara tersusun kerana ia merupakan sektor yang menguntungkan.

“Menyokong fesyen sopan adalah sangat penting. Ia merupakan perniagaan bernilai bilion dolar dan kerjasama ini akan membawa lebih banyak hubungan antarabangsa serta pendedahan untuk pereka tempatan,” katanya.

Sejak membuka keahlian pada Jun 2025, IFCM telah menyaksikan pertumbuhan yang mantap dan ia menunjukkan permintaan yang tinggi terhadap inisiatifnya. 

Justeru Dr. Leena berharap IFCM dapat mengembangkan keahliannya, mendapatkan lebih banyak kerjasama strategik dan meneruskan misinya untuk meningkatkan fesyen tempatan ke peringkat global. 


Arlina Ayou tampil dengan sentuhan batik Malaysia. - Kredit foto: Penganjur.

MIHAS Modest Fashion Show (Pertunjukan Fesyen Sopan MIHAS) turut dimeriahkan dengan beberapa forum dan sesi pembentangan berinformasi yang merangkumi pelbagai aspek industri fesyen seperti Forum Perniagaan Fesyen Melangkaui Sempadan. 

Ia menampilkan penceramah daripada Kraftangan Malaysia, Persatuan Fesyen Muslimah (PEFEM) dan Majlis Perniagaan Malaysia-Pakistan. 

Forum tersebut membincangkan topik berkaitan warisan, keusahawanan serta peluang perdagangan merentas negara. 

MIHAS 2025 yang dianjurkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan dikendalikan oleh MATRADE berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur dari 17 hingga 20 September. - KitaReporters


Industri fesyen dunia mencecah nilai bilion dolar. - Kredit foto: Foto Penganjur.

12
14
0
12
0
You will be interested